Monday, November 21, 2011

Tekad Harimau Muda Menghadapi Gelora 90 Minit.




Skuad Harimau Muda Malaysia.

SEGALA halangan peringkat kumpulan berjaya dilalui skuad Harimau Muda, termasuk menamatkan cabaran Myanmar 1-0 pada aksi separuh akhir, kelmarin. Dalam tempoh itu, pelbagai tekanan dan dugaan dihadapi pemain negara dalam menempah slot ke final, berdepan Indonesia, hari ini.

Bermula dengan ejekan penonton tuan rumah, setiap kali pasukan Malaysia turun ke gelanggang hinggalah setiap kali pasaukan negara mendapat bola. Kemudian, provokasi tidak bermoral turut dilakukan sebahagian besar penyokong Garuda yang membuat bising dan menghina lagu Negaraku setip kali dimainkan.

Namun begitu, kecekalan mental dan fizikal dimiliki anak didik Ong Kim Swee itu berjaya menterbalikkan segala cemuhan dilemparkan sejak tiba ke Jakarta, awal bulan ini.

Kini, perhitungan terakhir memburu emas menentang skuad Garuda Muda tiba di kemuncak, sememangnya satu perlawanan getir kerana mereka pasti menerima sokongan padu penonton Merah Putih di Stadium Utama Gelora Bung Karno, malam ini.

Pada peringkat kumpulan, Malaysia menconteng arang ke muka anak buah Rahmad Darmawan, selepas mencatat kemenangan bergaya 1-0 hasil jaringan Syahrul Azwari Ibrahim.

Bagi rekod, stadium tersebut pernah merakamkan kenangan manis buat Malaysia, apabila jaringan tunggal Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari atau Supermokh memastikan pingat emas milik negara pada kejohanan Sukan Sea Jakarta 1979.

Skuad Negara ketika menentang Myanmar di separuh akhir.

Malam ini skuad Bawah 23 Tahun negara kendalian Ong Kim Swee bakal berdepan tuan rumah Indonesia pada aksi final acara bola sepak lelaki Sukan Sea ke-26 di stadium Utama Gelora Bung Karno.

Skuad Harimau Muda turun dengan misi mahu mempertahankan kilauan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu di Laos. Manakala, skuad Garuda Muda pula pastinya mahu membalas dendam terhadap kekalahan mereka pada aksi peringkat kumpulan, Khamis lalu.

Apa pun, dijangkakan lebih 90,000 penyokong Merah Putih bakal memberi tekanan dan provokasi melampau kepada barisan pemain negara seperti yang dilakukan mereka sebelum ini.

Semoga ejekan dan cemuhan dilemparkan kepada anak buah Kim Swee menjadi pembakar semangat buat mereka menampilkan aksi terpuji seterusnya memadam ego Sang Garuda di bumi sendiri.

Ayuh Malaysia, jangan gentar...!!! Go Tigers...!!! Selamanya Harimau Malaya...!!!

Ditulis oleh : Afdah Bin Mujap, Mohd Fahmi Ismail
Sumber : Sinar Harian Online - Sukan

No comments:

Post a Comment