Saturday, November 26, 2011

"Kami Mahu Menang...!!!" - Harimau Muda.




Skuad Harimau Muda giat menjalani latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

KAMI masih ada peluang untuk terus memberi cabaran dalam saingan Kumpulan C. Walaupun tewas kepada Syria baru-baru ini, saya tetap yakin bahawa peluang Malaysia untuk meneruskan saingan dalam aksi Kumpulan C kelayakan Olimpik 2012 peringkat Zon Asia tetap ada.

Itu keyakinan yang dilontarkan oleh jurulatih skuad Harimau Muda, Ong Kim Swee menjelang aksi menentang Bahrain di Stadium Nasional, Bukit Jalil esok.

Kim Swee memberitahu bahawa perlawanan ‘hidup mati’ menentang Bahrain itu amat penting buat Malaysia dan tiga mata perlu diperoleh bagi menghidupkan kembali peluang untuk memburu tempat kedua peringkat Kumpulan C.

Jelasnya, jika pasukannya mampu melakarkan kemenangan menentang Bahrain yang dibimbing oleh Salman Shareeda esok, ia bakal memberikan impak kepada barisan pemain Malaysia untuk terus melontarkan saingan dalam Kumpulan C yang turut disertai Jepun dan Syria.

“Saya masih percaya kami masih mempunyai peluang untuk memburu tempat kedua dalam Kumpulan C dengan syarat kami berjaya menewaskan Bahrain di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Ahad ini (esok).

“Malah, selain mahu memburu tiga mata pertama di laman sendiri, perlawanan ini boleh diibaratkan sebagai misi ‘hidup mati’ buat kami. Jika gagal mencapai kemenangan, ia akan menutup peluang kami untuk menduduki tempat kedua dalam kumpulan.

“Namun, sekiranya kami berjaya menewaskan Bahrain, ia sudah tentu menjadi satu motivasi yang cukup bagus dan memberikan impak yang sangat baik untuk kami meneruskan saingan yang lebih baik dan hebat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada masa yang sama, Kim Swee juga berkata, kehadiran tiga tonggak utamanya yang kembali menjalani latihan, Syahrul Azwari Ibrahim, Mohd. Fadhli Shas dan Irfan Fazail akan memberinya banyak pilihan menjelang aksi menentang Bahrain, namun tahap kecergasan mereka tetap dipantau.

“Kehadiran tiga pemain itu (Syahrul, Fadhli dan Irfan) adalah berita baik buat kami, namun saya tidak mahu terburu-buru membuat sebarang keputusan (sama ada mereka akan diturunkan atau sebaliknya).

“Selepas meneliti tahap kecergasan mereka, saya akan nilai prestasi mereka sebelum aksi menentang Bahrain.

“Apa yang paling penting ialah kami tidak akan berputus asa untuk meneruskan perjuangan walaupun saya menyedari misi Bahrain adalah untuk mencari kemenangan,” ujarnya.

Sebelum ini, Bahrain tewas dua kali kepada Jepun iaitu 1-3 (aksi pertama) dan 0-2 pada aksi kedua. “Saya yakin mereka sudah terdesak untuk mencari kemenangan,” tambah Kim Swee.

Ditulis oleh : Ahmad Fazli Mohd Yadi
Sumber : Kosmo! Online - Sukan

No comments:

Post a Comment