Apex. |
JAKARTA - Penjaga gawang kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat meminta rakan sepasukan supaya bangkit dari keletihan menutup tirai tahun 2011 dengan mempertahankan pingat emas perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA edisi ke-26 menentang tuan rumah, Indonesia petang esok.
Perlawanan akhir tersebut akan berlangsung pada pukul 7 petang waktu tempatan (8 malam di Malaysia) esok di Stadium Gelora Bung Karno, Senayan.
Malah perlawanan tersebut menyaksikan perlawanan ulangan Indonesia menentang Malaysia, di mana tuan rumah tewas 0-1 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan A sebelum masing-masing berjaya melayakkan diri ke separuh akhir.
Menurut Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek, sekiranya kemenangan ini berjaya dipertahankan, skuad B-23 ini pastinya akan membawa bekalan moral yang tinggi untuk menentang Syria pada perlawanan kelayakan Olimpik di Kuala Lumpur.
Malaysia akan bertemu Syria pada Rabu ini, pukul 8.45 malam di Stadium Nasional Bukit Jalil.
"Saya cuma mengharapkan kami semua (pemain) dapat memberikan pingat emas dan seterusnya mempertahankan kejuaraan ini sebagai hadiah kepada rakyat Malaysia," katanya kepada Bernama ketika ditemui di lobi hotel penginapan skuad bola sepak negara di sini hari ini.
Pemain kelahiran Kelantan ini berkata beliau percaya terhadap rakan sepasukan dapat menjulang maruah negara ke tahap tertinggi di stadium keramat pada malam esok di hadapan penyokong tuan rumah yang pastinya sering membuat provokasi dan ejekan terhadap Malaysia.
"Kita semua tidak akan tunduk dengan ejekan penonton mereka dan 'boo' itulah menjadikan kita lebih bersemangat bermain bagi tunjukkan siapa lebih hebat.
"Apa yang penting adalah fokus. Kami semua tidak mahu terlepas peluang meraih emas kerana rata-rata pemain bawah-23 ini adalah pertama kali menyertai temasya ini," katanya.
Beliau berkata tumpuan pastinya akan diletakkan ke atasnya kerana Indonesia pastinya akan cuba merobek gawang negara menerusi trio penyerang dari Papua New Guinea, Patrick Wanggai, Titus Bonai dan Oktovianus Maniani yang dilihat berbahaya buat gawang negara.
"Saya harapkan rakyat Malaysia doakan kami semua untuk berjaya dan saya percaya pertahanan kita masih terbaik dan saling 'backup'. Sebarang kesilapan pastinya mereka akan peroleh peluang gol," katanya.
Pemain berusia 22 tahun ini berkata semangat tidak kenal erti putus asa seperti yang dipamerkan ketika menang ke atas tuan rumah dan Myanmar semalam perlu dikekalkan jika mahu mengulangi kejayaan membenam Indonesia.
"Kami semua agak keletihan mengharungi tiga perlawanan berturut-turut dengan tempoh rehat, hanya selang sehari tetapi menang pingat emas ini menjadi keutamaan buat kami kerana kami menggalas cabaran besar buat negara.
"Menang bola sepak ibarat kita menang keseluruhan acara Sukan SEA ini dan juga maruah negara," katanya.
Bermula dengan perlawanan menentang Indonesia pada perlawanan akhir peringkat Kumpulan A pada Khamis, skuad tersebut kemudian menentang Myanmar pada penentuan separuh akhir, malam tadi dan akan bertemu Indonesia, malam esok.
Skuad negara kemudian akan menentang Syria di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu ini dalam kempen kelayakan Olimpik.
Sumber : Sinar Harian Online - Sukan
No comments:
Post a Comment