Monday, November 28, 2011

Padah Lalai 10 Minit Terakhir.




Kapten & Penjaga Gol Harimau Muda, Khairul Fahmi Che Mat terbaring kecewa setelah
gagal menepis sepakan percuma bahrain sekaligus menyamakan kedudukan 2 - 2.

LANGKAH ke Olimpik London yang bersinar pada awalnya secara tiba-tiba terpadam dalam tempoh 10 minit terakhir apabila skuad Olimpik negara kecundang buat kali ketiga berturut-turut di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Rembatan pemain muda yang semakin meningkat, Mohamad Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-30 serta jaringan Mahali Jasuli pada babak kedua cukup menceriakan penyokonng tempatan dan Bahrain yang dikendalikan Salman Shareeda kelihatan sudah bersedia untuk pulang hampa.

Mohamad Nazmi Faiz, pemain tengah berusia 17 tahun itu berjaya melepaskan rembatan kencang di luar kotak penalti sekali gus menewaskan penjaga gol pelawat, Ashraf Waheed.

Kegagalan meraih tiga mata berharga itu menyebabkan peluang kini amat tipis untuk menjadi dua pasukan terbaik dari Kumpulan C Kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia.

Jepun yang menewaskan Syria di 2-1 di Stadium Nasional, Tokyo semalam menguasai kumpulan dengan maksimum sembilan mata diikuti Syria (enam mata), Bahrain (tiga mata) dan Malaysia tanpa sebarang mata.Pada perlawanan yang disaksikan kira-kira 30,000 penyokong skuad negara, skuad kendalian Ong Kim Swee jelas menguasai permainan walaupun kehilangan beberapa tonggak utama akibat kecederaan dan penggantungan.

Tahap permainan Bahrain jelas berbeza berbanding Syria, pasukan yang menewaskan Malaysia 0-2 pada Rabu, apabila sering gagal mengawal bola dengan baik.

Situasi terbabit membuka peluang kepada skuad negara kendalian Ong Kim Swee untuk lebih banyak mengawal perlawanan dan melancarkan beberapa serangan berbahaya ke kubu lawan.

Pemain sayap kanan, Wan Zack Haikal Wan Nor sebenarnya berpeluang membuka jaringan awal pada minit kelapan selepas hanya berdepan dengan Ashraf namun sekadar melepaskan rembatan lemah.

Ia diikuti peluang terbuka pelawat menerusi gandingan Sami Mohamed dan Abdul Wahab yang berjaya mengelirukan barisan pertahanan negara yang diketuai Mohd Fadhli Shas namun berjaya dinafikan kapten negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Situasi bertambah sukar untuk pelawat pada babak kedua apabila Fahad Tareq dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan keras ke atas pemain tengah negara, Mohd Affize Faisal Mamat pada minit ke-59.

Kelebihan seorang pemain dimanfaatkan sepenuhnya skuad negara apabila meledak gol kedua menerusi cubaan tonggak pertahanan kanan, Mahali selepas penjaga gol lawan gagal menangkap kemas bola dalam kotak penalti pada minit ke-67.

Namun Bahrain akhirnya mempamerkan kekuatan sebenar apabila mendapat gol pembukaan pada minit ke-81 menerusi pemain gantian, Saad Sazah. Seorang lagi pemain gantian, Isa Ahmed pula meledak dua gol dalam masa dua minit bermula minit ke-84 menewaskan Khairul Fahmi untuk keputusan akhir skuad negara tewas 2-3.

Pesanan Penulis : Kepada skuad Harimau Muda Malaysia, jangan kecewa dengan apa yang berlaku sebaliknya jadikan pengajaran untuk tidak melakukannya di masa hadapan, berjuanglah sehingga ke tiupan wisel penamat...!!! Go Young Tigers...!!! Selamanya Harimau Malaya...!!!

Foto : Dunia Warriors
Sumber : myMetro Online - Arena Sukan

No comments:

Post a Comment