Wednesday, November 23, 2011

Ong Kim Swee Tagih Sokongan.




Para pemain menyanyikan lagu Negaraku.

PENGENDALI Harimau Muda, Ong Kim Swee menagih sokongan seluruh rakyat Malaysia agar turun beramai-ramai ke Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini untuk menyokong anak buahnya yang akan bertemu Syria dalam aksi kedua Kumpulan C saingan Kelayakan Olimpik London 2012.

Menurut Kim Swee tidak dinafikan anak buahnya keletihan kerana baru sahaja sampai dari Indonesia untuk temasya Sukan Sea 2011 pagi semalam dan terus beraksi dan berlatih untuk perlawanan malam ini.

“Kami akan cuba lakukan yang terbaik nanti tetapi saya dan pasukan memohon agar kesemua rakyat Malaysia dapat memenuhi stadium pada malam ini.

“Kehadiran dan sokongan penyokong dapat menaikkan semangat pemain yang memang keletihan dan ada antara mereka yang masih belum pulih dari kecederaan,” katanya.

Selain itu, Kim Swee mengakui perlawanan menentang Syria merupakan satu lagi ujian berat yang perlu dilalui anak buahnya.

Dalam pada itu, jurulatih berusia 41 tahun itu berang dan kecewa terhadap sikap tuan rumah selepas insiden petugas anti-doping meluru masuk ke dalam padang itu membuat ujian rambang terhadap pemain Malaysia.

“Saya marah dan memang geram kerana mereka langsung tidak membenarkan anak buah saya meraikan kemenangan sebaliknya mereka ingin terus menjalankan ujian doping ke atas pemain.

“Ini memang tidak boleh diterima akal langsung seolah-olah ada sahaja dilakukan mereka untuk menafikan kemenangan kita,” katanya.

Ditulis oleh : Iqlil Dhania Mohamad
Sumber : Sinar Harian Online - Sukan | Harimau Malaya

No comments:

Post a Comment