Sunday, November 27, 2011

Mesti Tumpaskan Bahrain Malam Ini.




Jurulatih skuad Olimpik Negara, Ong Kim Swee.

SKUAD Olimpik negara tiada sebarang pilihan kecuali perlu mencatat kemenangan ke atas pasukan Bahrain dalam aksi ketiga Kelayakan Sukan Olimpik Londin 2012 peringkat Kumpulan C di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Pengendali pasukan, Ong Kim Swee berkata, andai anak didiknya gagal mengatasi pasukan Timur Tengah itu, peluang ke peringkat seterusnya boleh dianggap sudah tertutup.

“Kami sudah kalah dalam dua perlawanan terdahulu. Jadi, pertemuan dengan Bahrain amat penting bagi membuka peluang kami mengintai slot ke London.

“Saya lihat, gaya permainan pasukan Bahrain sama seperti Syria, tidak banyak bezanya. Mereka gemar bermain laju dan mengamalkan corak hantaran jauh. Jadi, setiap pemain harus berhati-hati ketika berdepan mereka malam ini,” katanya di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Sementara itu, Kim Swee berkata, pemain kini dalam keadaan lebih cergas kecuali Muslim Ahmad, Irfan Fazail dan Syahrul Azwari Ibrahim yang masih belum 100 peratus sembuh daripada kecederaan.

“Kita akan tunggu sehingga esok (hari ini), jika mereka tidak turun menjalani latihan, berkemungkinan bakal disisihkan,” katanya.

Malaysia dijangka bermain secara menyerang dalam usaha memburu gol awal, sekali gus merakam kemenangan pertama peringkat kumpulan, selepas tewas kepada Jepun dan Syria.

Dalam pada itu, jurulatih Bahrain, Salman Shareeda bertekad meraih tiga mata daripada pasukan negara selepas turut kalah dua perlawanan sebelum ini.

Ditulis oleh : Mohd Fahmi Ismail
Sumber : Sinar Harian Online - Sukan | Harimau Malaya

No comments:

Post a Comment