Monday, November 14, 2011

Malaysia Mudah Ratah Kemboja.




Baddrol Bakhtiar & Wan Zaharul Nizam meraikan gol kedua negara pada perlawanan
bola sepak menentang Kemboja di Jakarta petang semalam.

JAKARTA - Atas kertas, skuad bola sepak Bawah 23 (B-23) Tahun negara kini berada di landasan terbaik untuk menjejakkan kaki ke peringat separuh akhir temasya Sukan SEA 2011. Semalam, skuad Harimau Muda itu mengutip tiga lagi mata berharga apabila melakar kemenangan 4-1 ke atas Kemboja.

Kemenangan itu menyaksikan mereka mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan dan sekali seri. Pada aksi ketiga Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno, barisan Harimau Muda tampak mudah menguasai tempo permainan dengan menguasai setiap penjuru padang.

Seawal minit kelima, pemain tengah, Muhd. Nazmi Faiz Mansor telah menguji benteng Kemboja, mujur percubaannya ditepis penjaga gol, Sou Yaty. Berselang dua minit kemudian, giliran penyerang tinggi lampai, Izzaq Faris Ramlan pula menguji gawang Kemboja, namun percubaannya sedikit tersasar di penjuru kanan pintu gol lawan.

Bagaimanapun, Izzaq kembali menebus kesilapannya itu apabila menanduk masuk gol pembukaan Harimau Muda seminit kemudian selepas menyudahkan hantaran lintang pemain sayap, Yong Kuong Yong. Dengan penguasaan di bahagian tengah yang diterajui kapten Baddrol Bakhtiar, Kemboja jelas sekali sukar menembusi kawasan penalti Harimau Muda sehingga Khairul Fahmi Che Mat tidak perlu bekerja keras menjaga gawang.

Pada minit ke-36, Baddrol berjaya merobek gawang Kemboja apabila rembatannya dari jarak 25 meter gagal ditangkap kemas Sou Yaty. Baddrol menambah koleksi jaringannya pada temasya Sukan SEA 2011 apabila meledak gol ketiga Harimau Muda menerusi sepakan penalti pada minit ke-40.

Sepakan penalti tersebut berpunca selepas Izzaq dijatuhkan pemain pertahanan Kemboja, Sok Rithy dalam kotak penalti. Berbeza dengan skrip pada babak pertama, benteng Harimau Muda yang diterajui Mohd. Muslim Ahmad dan Mohd. Fadhli Shas terpaksa bekerja keras bagi mengekang asakan Kemboja di babak kedua.

Kemboja dilihat lebih garang dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya ke kubu Harimau Muda sehingga menyebabkan Khairul Fahmi 'tidak senang duduk'. Gawang Harimau Muda akhirnya bocor juga apabila Khairul Fahmi gagal menyelamatkan rembatan kencang Chhin Chhoeun pada minit ke-59.

Pemain sayap lincah, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria melengkapkan gol keempat Harimau Muda pada penghujung babak kedua. Sementara itu, Indonesia mara ke separuh akhir selepas menewaskan Thailand 3-1 malam tadi. Kekalahan itu menyaksikan Thailand sekali lagi gagal melayakkan diri ke semi final selepas turut mengalami nasib yang sama pada Sukan SEA 2009 di Laos.





Sumber : Kosmo! Online - Sukan

1 comment: