Harimau Muda mamah Thailand. |
JAKARTA - Harimau Muda mula mengaum di Stadium Gelora Bung Karno. Selepas menampilkan rentak hambar ketika seri tanpa jaringan dengan Singapura pada aksi pembukaan Kumpulan A, Isnin lalu, skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) negara kembali menemui sentuhan 'sang juara' apabila membenam musuh tradisi, Thailand 2-1 semalam.
Kemenangan tersebut dianggap cukup bermakna buat skuad kendalian Ong Kim Swee itu dalam misi mereka memburu slot lebih awal ke peringkat separuh akhir. Lebih manis, kejayaan itu mengulangi pencapaian skuad negara kendalian Datuk K. Rajagobal ketika melakar kemenangan dengan keputusan yang sama ke atas Thailand pada aksi peringkat kumpulan pada temasya Sukan SEA 2009 di Laos.
Pada aksi di Stadium Gelora Bung Karno yang disaksikan hampir 1,000 penonton semalam, penyerang gantian, Izzaq Faris Ramlan muncul wira Harimau Muda apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-85. Izzaq yang masuk menggantikan pemain sayap lincah, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria pada minit ke-80, tidak perlu menunggu lama untuk merobek gawang Thailand apabila bijak menyudahkan umpanan kapten Baddrol Bakhtiar.
Sebelum itu, Baddrol meletakkan skuad Harimau Muda di hadapan apabila rembatannya gagal diselamatkan penjaga gol Thailand, Ukrit Wongmeema pada minit ke-25. Gol itu berpunca dari gerakan di bahagian tengah padang hasil umpanan tonggak pertahanan kiri negara, Mohd. Asraruddin Putra Omar.
Syahrul Azwari cuba melepaskan rembatan ke arah kubu Thailand pada aksi di Stadium Gelora Bung Karni petang semalam. |
Berselang lima minit kemudian, skuad negara berpeluang menambah jaringan, namun Syahrul Azwari Ibrahim gagal mengawal bola dengan baik sekalipun dia berada dalam situasi terbaik. Pada minit ke-35, gawang Harimau Muda pula hampir dibolosi, mujur tandukan kapten Thailand, Ronnachai Rangsiyo sekadar mengenai tiang gol.
Dua minit sebelum babak pertama tamat, pemain tengah, Irfan Fazail hampir meletakkan namanya selaku penjaring kedua Harimau Muda, namun tandukan hasil hantaran lintang Mohd. Fandi Othman sedikit tersasar. Bersambung babak kedua, skuad negara dilihat lebih garang memburu gol. Bagaimanapun, rembatan kencang Baddrol dari luar kotak penalti pada minit ke-50 berjaya ditepis Ukrit Wongmeema.
Berselang dua minit kemudian, Kim Swee memasukkan K. Gurusamy bagi menggantikan pemain tengah berusia 17 tahun, Muhd. Nazmi Faiz Mansor yang mengalami kecederaan. Wan Zaharul Nizam terlepas peluang menambah jaringan Harimau Muda apabila percubaannnya mengenai tiang gol sebelah kiri Thailand pada minit ke-59.
Ketika skuad negara ghairah menambah jaringan, Thailand pula berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Natarid Thammroddodpon pada minit ke-76. Bagaimanapun, jaringan penyamaan Thailand itu tidak melunturkan semangat juang barisan Harimau Muda, sebaliknya mereka terus mengasak kubu lawan hingga akhirnya skuad Negara berjaya memperoleh gol kemenangan menerusi ledakan Izzaq Faris.
Sumber : Kosmo! Online - Sukan
No comments:
Post a Comment