Monday, November 28, 2011

Kelantan Laung Amaran Awal.




Imbas Kembali...Kelantan ketika menjuarai Piala Malaysia pada 2010.

JUARA Liga Super musim ini, Kelantan melaungkan amaran awal bukan sahaja mahu mempertahankan kejuaraan dimenangi, tetapi mensasarkan untuk mara ke perlawanan akhir dalam dua lagi pertandingan pada musim hadapan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, sasaran tersebut bukan sekadar omongan kosong kerana berdasarkan pemerhatian, beliau melihat pasukan Kelantan yang dibentuk untuk musim depan, ternyata lebih kuat berbanding pada musim ini.

“Saya fikir dengan persiapan dilakukan dan melihat senarai pemain yang ada sekarang, kita akan menjadi pasukan terkuat di musim hadapan. Sasaran kita mahu ke final dalam semua pertandingan musim hadapan.

“Kita hendak pertahankan kejuaraan Piala Liga Super dimenangi musim ini. Kita mahu ke final Piala FA sekali lagi setelah gagal pada tahun ini, malah kita bersedia ke Bukit Jalil (perlawanan akhir) dalam pertandingan Piala Malaysia, setelah tersingkir awal pada musim ini.

Menurutnya, semua pemain dan jurulatih perlu memenuhi aspirasi ditetapkan, memandangkan mereka dibayar gaji yang lumayan dan pihak KAFA akan melakukan penilaian berdasarkan Prestasi Petunjuk Utama (KPI) ke atas setiap pemain dan pegawai pasukan sepanjang musim depan.

Kelantan kini mengadakan latihan pra-musim di luar Kota Bharu dan mencatat keputusan memberangsangkan dalam tiga perlawanan persahabatan mengalahkan skuad kebangsaan Maldives 2-1, menang 3-0 ke atas Balistier Khalsa FC (Singapura) selain menewaskan pasukan Liga Perdana, ATM menerusi kemenangan 4-2 malam semalam.

Foto : Nick Hafiz
Ditulis oleh : Mazram Idzam Ridzal Mahmud
Sumber : Sinar Harian Edisi Kelantan - Sukan

No comments:

Post a Comment