Albert Banning, bekas pemain Skuad Olimpik 2008 Cameroon. |
SELEPAS berjaya memburu tiga pemain import, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menguji seorang lagi pemain dari Cameroon, bagi memperkuatkan pasukan dalam menghadapi perlawanan musim depan, termasuk Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang disertai oleh skuad Kijang buat pertama kali.
Setakat ini, Kafa mengikat tiga pemain iaitu Muhammed Ghaddar Mahmoud dari Lebanon selaku penyerang dan dua pemain dari Ghana Emannuel Okine (tengah) serta Denny Antwi (penyerang untuk Piala AFC).
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, Albert Baning adalah bekas pemain skuad Olimpik 2008 Cameroon yang baru tiba di negara ini dan akan menjalani ujian di bawah jurulatih Peter Butler.
“Sekiranya beliau menepati kriteria, kita akan ikat kontrak dengan pemain itu kerana AFC membenarkan empat pemain import. Kami akan pilih dua pemain import terbaik untuk bermain dalam Liga Malaysia,” katanya.
Mengulas persediaan The Red Warriors dalam saingan musim depan, Annuar berkata pihaknya sudah mengatur perlawanan persahabatan tempatan dan juga antarabangsa.
Beliau berkata, antaranya pertemuan dengan Negeri Sembilan (hari ini) dan Perak pada 1 Disember di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 15 dan 16 Disember dan menentang kelab dari Qatar dan Syria serta pertemuan dengan Terengganu pada 31 Disember.
“Semua perancangan untuk musim depan berjalan baik dan pemain kini sedang berlatih di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, ekoran banjir di Kelantan,” katanya.
Oleh : Bernama
Sumber : Sinar Harian Online - Sukan | Liga Malaysia
No comments:
Post a Comment