Wednesday, November 23, 2011

Jaga Kelakuan Di Stadium.




Harimau Malaya Supporters.

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, memberi amaran kepada penonton bola sepak yang hadir menyaksikan perlawanan antara Malaysia menentang Syria di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini, menjaga kelakuan dan emosi serta bersikap profesional dengan tidak menimbulkan tindakan yang boleh menjejaskan perlawanan penting itu.

Malah, katanya, peluang skuad Olimpik untuk mempamerkan aksi terbaik mungkin ‘terhalang’, sekiranya pasukan lawan membuat bantahan jika berlaku situasi kurang enak sepanjang berlangsungnya, perlawanan kedua pusingan ketiga kelayakan Olimpik 2012 itu.

“Saya berharap media dapat menyampaikan rayuan saya kepada penyokong bola sepak agar tidak bertindak di luar batasan hingga membolehkan perlawanan dihentikan, sekali gus menyaksikan Malaysia tersingkir lebih awal.

“Justeru, saya berharap semua penonton yang hadir malam ini dapat bersikap lebih profesional serta menunjukkan semangat kesukanan tinggi,” katanya.

Menurutnya, penyokong Malaysia juga perlu mengambil iktibar daripada insiden yang dialami Indonesia baru-baru ini, di mana perlawanan terpaksa dihentikan setelah pasukan lawan membantah berikutan ada segelintir penyokong yang melontar objek ke dalam padang.

Sehubungan itu, penonton diminta tidak berkelakuan tidak sepatutnya, sama ada melontar objek berupa botol air atau membaling mercun ke dalam padang dalam perlawanan penting malam ini kerana tindakan itu boleh dianggap menderhaka kepada negara.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, pihaknya belum memutuskan mengenai ganjaran atau habuan yang bakal diberikan kepada pasukan bola sepak negara yang berjaya meraih emas, setelah mengalahkan tuan rumah Indonesia, malam kelmarin.

“Kita belum memutuskan apa-apa lagi sama ada beri ganjaran atau tidak kerana kita perlu melihat perkara ini dalam konteks Sukan Sea kerana atlet dalam acara lain turut menyumbang emas kepada negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau enggan mengulas lanjut ketika ditanya reaksi peribadi beliau berhubung perlawanan penuh debar antara Malaysia bertemu tuan rumah yang dilihat tidak profesional. Bagaimanapun, kehebatan nyata milik Malaysia, apabila berjaya mengalahkan Indonesia menerusi penentuan sepakan penalti 4-3.

Ditulis oleh : Nurul Huda Husain
Sumber : Sinar Harian Online - Sukan | arimau Malaya

No comments:

Post a Comment