Pingat Emas Sukan SEA Laos 2009 & Sukan SEA Indonesia 2011 acara Bola Sepak. |
TIDAK keterlaluan untuk mengatakan ramai pihak meragui kemampuan skuad bawah 23 tahun negara untuk mempertahankan pingat emas Sukan Sea Indonesia sebaik undian peringkat kumpulan dikeluarkan.
Diundi dalam ‘kumpulan maut’ Kumpulan A bersama pasukan tuan rumah, Thailand, Singapura dan Kemboja peluang skuad kendalian Ong Kim Swee agak sukar apabila kehilangan pemain tonggak seperti Wan Zack Haikal Wan Noor dan Gary Steven Robbart akibat kecederaan.
Namun pemain negara mempamerkan peningkatan dalam setiap perlawanan biarpun seri 0-0 dalam aksi pembukaan sebelum bangkit menewaskan Thailand 2-1, Kemboja 4-1 sebelum muncul juara kumpulan dengan kemenangan ke atas Indonesia 1-0.
Tanpa memiliki penyerang yang benar-benar mantap, Kim Swee bijak mengatur strategi dengan melakukan pertukaran pemain serta rombakan posisi yang menyaksikan gol kemenangan hadir daripada pemain berbeza.
Dua pemain yang dikritik hebat Izzaq Faris Ramlan muncul wira menjaringkan gol kemenangan ke atas Thailand manakala jaringan Ahmad Fakri Saarani pula memastikan Malaysia mara ke final hasil kemenangan ke atas Myanmar.
Ketika cemuhan penyokong Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno terpaksa dijadikan pembakar semangat serta Barracuda menjadi kenderaan rasmi skuad negara, final menentang Indonesia tampak sulit buat Kim Swee yang dihimpit kecederaan Izzaq, Syahrul Azwari Ibrahim dan Mohd Fandi Othman.
Namun Baddrol Bakhtiar cekal memimpin rakan sepasukan untuk berjuang dalam tempoh 120 minit permainan yang cukup memenatkan mental dan fizikal apabila kedudukan kekal 1-1. Emas terus menjadi milik negara menerusi kemenangan 4-3 penentuan sepakan penalti sekali gus mengulangi pencapaian skuad Datuk K Rajagobal di Laos 2009.
‘Ibu Emas’ yang diraih skuad negara ini sememangnya menyentap kegembiraan Indonesia yang muncul juara keseluruhan edisi ke-26 ini.
Sumber : myMetro Online - Arena
Credit : Harian Metro, Pemilik Foto
No comments:
Post a Comment