Thursday, November 24, 2011

Selangor Pikat Bonai, Wanggai...???




Titus Bonai dikhabarkan mendapat perhatian pengurusan skuad Selangor.

KEHEBATAN dua tonggak Indonesia, Titus Bonai dan Patrich Wanggai sememangnya mencuri tumpuan ramai pihak ketika temasya Sukan SEA baru-baru ini.

Malah, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd. Amin juga mengakui pada awalnya berminat untuk mendapatkan khidmat pemain itu bagi menyarung jersi Gergasi Merah musim depan.

Menurut beliau, aksi bertenaga kedua-dua pemain kelahiran Papua itu terutamanya ketika membelasah Kemboja 6-0 pada aksi pertama pasukan itu jelas menarik minatnya untuk mendapatkan salah seorang daripada mereka menjadi pemain import selepas mengikat tonggak Lubnan, Ramez Dayoub sebelum ini.

Malah, Hamidin juga telah berjumpa keluarga kedua-dua pemain itu dan memberitahu hasratnya yang mahu memikat mereka bagi memperkasakan Merah Kuning.
“Begitupun, hasrat itu akhirnya dibatalkan apabila saya melihat mereka tidaklah sehebat mana sebenarnya.

“Malah, ketika menentang kita dalam aksi final, kelibat kedua-dua mereka juga dilihat tenggelam dan kurang menyinar, jadi saya rasa masih belum tiba masanya buat kedua-dua pemain itu beraksi buat Selangor,” katanya kepada Kosmo!

Ketika mengulas sama ada seorang lagi pemain import Selangor ialah bekas penyerang Chelsea, Mateja Kezman, Hamidin begitupun enggan mengesahkan perkara itu, sebaliknya cuma membayangkan pemain itu mungkin berasal dari benua Afrika.

Dalam pada itu, Hamidin juga enggan menerima kredit meskipun cadangannya supaya meletakkan bek kiri, Asraruddin Putra Omar di bahagian sayap dilihat berbaloi apabila pemain itu berjaya meledak gol penyamaan menerusi tandukan menarik pada minit ke-34 pada aksi final Sukan SEA Isnin lepas.

“Asra (Asraruddin) memang cukup cemerlang di posisi sayap ketika bersama Selangor, saya hanya memberi cadangan kepada Ong Kim Swee yang kekurangan pemain di posisi itu gara-gara kecederaan pemain, tak sangka taktik itu menjadi,” katanya.

Ditulis oleh : Nan Hidayat nan Azmie
Sumber : Kosmo! Online - Sukan

No comments:

Post a Comment