Wednesday, July 11, 2012

Kelantan Idam Piala AFC.






Trofi Piala AFC


KUALA LUMPUR - Setelah menjuarai Piala FA dan Liga Super musim ini, Kelantan kini mengidam pula untuk merangkul Piala AFC. Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak berkata beliau sedang memfokus kepada perlawanan suku akhir untuk menentang pendahulu liga Iraq, Arbil FC September ini.
   
"Para pemain Kelantan kini memerlukan rehat dan kami telah memenangi liga. Jadi saya memberi peluang rehat kepada tiga pemain muda dan menurunkan penjaga gol simpanan (dalam perlawanan Liga Super malam tadi)," katanya yang dipetik dalam laman web AFC (Persekutuan Bola Sepak Asia).
   
Namun kemenangan 24 kali berturut-turut Kelantan dalam Liga Super tercalar sedikit malam tadi apabila tewas 0-1 kepada Felda United di Stadium Hang Jebat, Melaka. Jurulatih berumur 41 tahun ini berkata beberapa pemain utamanya akan diberi rehat sebelum menjelang perlawanan menentang Arbil FC.

"Ia sesuatu yang kami tidak mahu (kalah dalam perlawanan akhir Liga Super), tetapi pada masa yang sama untuk mengekalkan ketahanan fizikal pemain saya turut merupakan cabaran," kata bekas pemain kelab Singapura, Balestier Khalsa ini.
   
"Mencipta kejayaan di Asia sudah tentu akan meningkatkan profil kelab kami di benua ini dan kami akan mencuba yang terbaik untuk terus mara dalam Piala AFC," katanya.
   
Hodak berkata kebimbangan beliau sekarang ialah jangka masa suku akhir Piala AFC kerana pasukannya tidak mempunyai sebarang pertandingan sehingga akhir Ogos ini tetapi terpaksa melalui jadual padat kemudiannya kerana kejohanan Piala Malaysia dijangka bermula.
    
"Piala Malaysia merupakan kejohanan yang berprestij tinggi dan sangat komptetatif di Malaysia, tetapi pada masa yang sama yang lebih penting ialah perlawanan menentang Arbil FC, jadi kami ingin merayu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk meminda beberapa jadual jadual perlawanan bergantung kepada keadaan," katanya.
   
"Arbil ialah antara pasukan terbaik yang masih tinggal dalam perlawanan. Saya tahu mereka sentiasa memenangi perlawanan dan saya pasti untuk bertandang ke Iraq dan bermain dengan Arbil merupakan cabaran yang sukar untuk kami, namun kami akan bersedia dan berharap dapat masuk ke separuh akhir," katanya.

Kelantan akan menghadapi Arbil dalam perlawanan pertama di Stadium Francouse Al Hareeri pada 18 Sept sebelum perlawana timbal-balik pada 25 Sept di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Baharu.

Sumber : Bernama - SH

Saturday, July 7, 2012

Kelantan Pertahan Maruah Negara.






Kesebelasan utama TRW semasa menentang Lions XII di Stadium Jalan Besar.


MALAM ini menjadi detik paling ditunggu tunggu oleh penyokong setia The Red Warriors. Tempoh 90 minit perlawanan menentang Perak di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu bakal menjadi penentu sama ada Kelantan berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super lebih awal musim ini.

Sekiranya perlawanan berakhir dengan kemenangan kepada Kelantan, ini bermakna The Red Warriors menjadi pasukan ketiga selepas Kedah (2006/07 dan 2007/08) dan Selangor (2009 dan 2010) menjadi juara Liga Super Malaysia (MSL) buat kali kedua berturut-turut.

Tidak seperti ketika saingan penentuan kejuaraan Liga Super musim lalu, di mana Kelantan perlu menunggu sehingga perlawanan terakhir sebelum menewaskan Sabah 2-1 di Kota Kinabalu, kali ini skuad bimbingan Bojan Hodak memilih mahu meraikan lebih awal biarpun masih berbaki dua perlawanan.

Dan lebih manis, kejayaan ini bakal diraikan di hadapan puluhan ribu penyokong mereka sendiri di gelanggang keramat malam ini. Namun sekiranya keputusan berkesudahan seri atau kalah, juara Piala FA musim ini perlu membuat perhitungan wajib menang ke atas Felda United FC di Stadium Hang Jebat, Melaka (10 Julai) atau bertemu Sarawak di Kota Bharu pada perlawanan terakhir 14 Julai ini.

Tidak ada sesuatu yang mustahil berlaku dalam bola sepak, seandainya trofi Liga Super berjaya diraih pasukan berstatus kelab jemputan, Lions XII, ia sudah pasti bakal menyeberangi Tambak Johor buat pertama kali.

Ketika ini, Kelantan dilihat satu-satunya pasukan yang menjadi penghalang kepada cita-cita skuad bimbingan V Sundramoorthy itu setelah empat negeri iaitu Perak, Selangor, Terengganu dan Negeri Sembilan sudah pun mengucapkan ‘selamat tinggal’ untuk misi bergelar juara musim ini.

Namun berdasarkan situasi semasa, ramai pemerhati bola sepak meramalkan Kelantan mempunyai peluang cerah untuk mengulangi sejarah musim lalu. Bagi Kelantan, meraih kejuaraan Liga Super bererti mereka menyelamatkan maruah negara daripada membenarkan piala liga paling berprestij itu terlepas kepada wakil Singapura itu.

Dengan kali terakhir Singapura berjaya membawa keluar piala (Piala Malaysia) daripada bumi Malaysia pada 1994 setelah menewaskan Pahang 4-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, apakah kita mahu melihat trofi Liga Super pula diusung ke Kota Singa buat pertama kali?


GANJARAN RM1 JUTA MENANTI

Tidak cukup habuan RM750,000 selaku Juara Liga Super, Kelantan juga berpeluang menerima insentif tambahan daripada Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) sebanyak RM325,024 jika bergelar juara musim ini.

Menerusi insentif yang diperkenalkan badan induk bola sepak kebangsaan awal musim ini, kesemua pasukan Liga Super bakal menerima habuan berdasarkan kedudukan liga sebaik musim berakhir dengan nilai paling rendah diterima pasukan tercorot sebanyak RM23,216.

Sebelum ini, hadiah wang tunai bagi juara Liga Super ialah RM500,000 namun bermula musim ini nilai tersebut dinaikkan menjadi RM750,000. Ini bererti secara automatik, Kelantan akan meraih ganjaran lebih daripada RM1 juta sekiranya berjaya muncul juara.


HODAK CEMERLANG BIMBING KELANTAN

Sesuatu yang menarik untuk diperkatakan, sejak mengambil alih tugas membimbing Kelantan daripada Peter Butler awal Mac lalu, Bojan Hodak mungkin boleh dinobatkan satu-satunya jurulatih paling cemerlang sepanjang Liga Super musim ini.

Dengan rekod 11 kemenangan dan empat seri (tidak termasuk kempen Piala AFC dan Piala FA) dalam Liga Super setakat ini, Hodak jelas memacu Kelantan di landasan sebenarsetelah Butler mengambil keputusan menamatkan kontraknya lebih awal penghujung Februari lalu.

Malah kejayaan Kelantan menewaskan musuh tradisinya, Selangor 1-0 pada 29 Jun lalu mengakhiri penguasaan Lions XII selama 88 hari menerajui carta liga musim ini. Dengan berbaki tiga perlawanan (termasuk malam ini), Hodak kini dalam catatan peribadi tersendiri untuk melakarkan sejarah menjadi ‘jurulatih import’ kedua selepas Datuk M Karathu melakukannya musim lalu.

Sumber : Sinar Harian Online

Thursday, February 16, 2012

Butler Tetap Pertahan Kelantan.





BALABAN (tengah) cuba meloloskan diri daripada kawalan dua pemain Kelantan
di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin.


KEKALAHAN pertama yang direkodkan Kelantan musim ini selepas tewas 1-2 kepada Selangor pada saingan Liga Super di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin ternyata merencatkan momentum gergasi Pantai Timur itu.

Diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan tersebut ketika mereka berada dalam mood yang cukup baik selepas menewaskan jiran tetangga, Terengganu, Sabtu lalu, skuad The Red Warriors dilihat gagal mempamerkan aksi sebenar di gelanggang lawan kelmarin.

Bagaimanapun, pengendali Kelantan, Peter James Butler masih lagi tenang dan tetap mempertahankan para pemainnya yang disifatkan beraksi lebih bagus, namun nasib tidak menyebelahi mereka.

Menurutnya, sepanjang 20 minit pertama, Kelantan kerap mengancam kubu Selangor dan mencipta beberapa gerakan berbahaya, namun ketumpulan jentera hadapan menggagalkan usaha mencipta jaringan.

“Dalam bola sepak, kekalahan adalah suatu yang biasa dan semalam (kelmarin), ia kekalahan kita yang pertama dan kita menerimanya. Kekalahan ini memberi saya peluang untuk melakukan penilaian terhadap pemain.

“Saya tahu ia suatu yang me- ngecewakan bagi seluruh peminat (Kelantan) tetapi peminat juga harus mengetahui saya juga sangat kecewa,” kata Butler ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tambahnya, kesilapan yang dilakukan barisan pertahanan memberi peluang kepada Selangor menjaringkan gol pertama menerusi Safiq Rahim. Keghairahan mencari gol penyamaan menyebabkan para pemain saya terperangkap dan terpaksa melepaskan gol kedua,” jelasnya.

Butler berkata, jentera penggempurnya tidak berfungsi dengan baik dan beliau tidak menolak kemungkinan faktor keletihan selepas berhempas pulas menewaskan Terengganu tempoh hari merupakan antara penyebab mereka beraksi hambar.

Mengulas mengenai dua pemain import baharunya, Butler memberitahu, Obinna Nwaneri masih dalam proses mencapai tahap kecergasan yang optimum, manakala Nwoha Onyekachi pula dalam pemantauannya dan belum mencapai prestasi sebenar.

“Beberapa usaha yang lebih keras perlu dilakukan dalam persiapan menentang Sarawak pada aksi Piala FA Sabtu ini, dan saya mahu pemain lebih fokus dan melupakan kekalahan malam tadi (kelmarin).

“Perjalanan masih banyak, ia bukan suatu yang sudah berakhir selepas perlawanan menentang Selangor. Kita pasti akan bangkit dan mempamerkan permainan sebenar selepas ini,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai ‘ribut’ yang melanda kem The Red Warriors kononnya beliau akan meletak jawatan ekoran tekanan daripada beberapa pihak, Butler menafikan mengenai perkara tersebut.

“Saya tidak tahu dan tidak pasti dari mana cerita ini timbul. Saya punya reputasi yang baik di sini (Kelantan) dan saya tidak ada masalah dengan pemain atau pihak pengurusan.

“Tetapi sekiranya mereka (pihak pengurusan) tidak senang dengan saya, mereka boleh melakukannya (memecat) tetapi mereka kena tahu saya sentiasa bekerja keras dan memberikan yang terbaik untuk pasukan,” jelasnya.

Ditulis oleh : Khairi Mohamad
Sumber : Kosmo! Online - Sukan

Wednesday, February 15, 2012

Rekod Tanpa Kalah Kelantan Lebur.





Pemain Selangor meraikan kejayaan menewaskan Kelantan 2-1.


PENAMPILAN sulung pemain import Selangor dari Croatia, Bosko Balaban nyata menjadi apabila menjaringkan satu gol membantu menewaskan Kelantan 2-1 pada saingan Liga Super di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Dua gol Selangor dijaringkan Mohd Shafiq Rahim pada minit ke-46 sebelum Selangor melebarkan cengkaman gol melalui Bosko Balaban pada minit ke-61 yang bijak melepasi perangkap offside sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol pelawat, Khairul Fahmi Che Mat.

Gol sagu hati pelawat diperolehi pada minit ke-91 melalui Subramaniam yang menolak masuk bola dalam keadaan kelam kabut di depan gawang gol tuan rumah.

Selangor memulakan gerakan untuk mencari gol pendahuluan melalui beberapa serangan dijelmakan oleh Safiq yang melorongkan bola kepada jentera pemusnah baru mereka yang berjaya mengawal bola dan membuat hantaran, namun gagal di sudah rakan.

Kelantan turut mencipta beberapa peluang melalui Norshahrul Idlan Talaha bersama gandingannya Indra Putra Mahyudin namun hampa apabila benteng pertahanan dikawal Ramez Dayoub bijak membaca hantaran.

Selepas seminit babak kedua bermula, Selangor akhirnya memperolehi jaringan pendahuluan melalui rembatan Shafiq di luar kotak penalti yang terus menerjah jaring kiri gol pelawat menewaskan Khairul Fahmi.

Tersentak dengan jaringan berkenaan Kelantan melakukan serangan bertali arus dan mempunyai beberapa peluang terhidang namun sekali lagi gagal memecah kebuntuan mendapatkan gol penyamaan.

Ketika Kelantan ghairah melancarkan serangan memburu gol penyamaan, tindakan Shafiq yang melambungkan bola pada minit ke-61 kepada Bosko yang berjaya melepasi perangkap offside melebarkan jaringan selepas Bosko melepaskan rembatan menewaskan Khairul Fahmi.

Kelantan akhirnya mendapat gol sagu hati pada minit ke-91 apabila Subramaniam menolak masuk bola bola ketika situasi kelam kabut di hadapan gawang Selangor. Usaha pelawat untuk mendapatkan gol penyamaan nyata tidak kesampaian apabila terpaksa berpuas hati dan menerima kekalahan pertama dalam Liga Super 2012.

Ditulis oleh : Subkhi Sudaji
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia

Tuesday, February 14, 2012

Apex Janji Tak Bolos.





Khairul Fahmi Che Mat.


KOTA BHARU – Penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat berjanji mahu memastikan gawang golnya tidak dibolosi ketika Kelantan bertemu musuh tradisinya, Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Khairul Fahmi atau dikenali Apex tidak melepaskan sebarang gol sepanjang aksi 270 minit dalam tiga perlawanan lalu. Namun beliau gagal mempertahankan rekod tersebut, apabila gawang golnya bolos menerusi jaringan Abdul Manaf Mamat pada masa tambahan ketika The Red Warriors menewaskan Terengganu 2-1 di Kota Bharu Sabtu lalu.

“Saya tahu pertemuan menentang Selangor sememangnya menjanjikan aksi sengit bagi kedua-dua pasukan dan saya sudah bersedia 100 peratus untuk memastikan pintu gol Kelantan tidak dibolosi malam ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Namun semua itu tidak dapat dilakukan sekiranya tanpa bantuan daripada rakan sepasukan yang lain. Jadi saya berharap rakan sepasukan terutamanya dibenteng pertahanan bekerja keras mengekang asakan pemain Selangor.

Penjaga gol utama kebangsaan berusia 23 tahun itu berkata, pasukan yang terkenal dengan jolokan Red Giants itu sudah pasti mahu bangkit daripada terus mempamerkan aksi hambar dan berazam menjadikan Kelantan sebagai mangsanya dalam pertemuan ini.

“Kita tahu Selangor dikalahkan oleh PKNS FC 2-0 dalam pertemuan terakhir tempohari. Sudah pasti mereka tidak mahu kecundang lagi dan kita kena berhati-hati serta tidak terperangkap dengan percaturan taktikal pasukan mereka.

“Kita tidak ada pilihan selain perlu menewaskan Selangor malam ini andai mahu terus mengukuhkan kedudukan di persada liga. Kita tidak boleh tercicir mata kerana dua pencabar terdekat iaitu Perak dan Terengganu sentiasa memberi tekanan kepada kita,” katanya.

Pada masa sama, Apex turut melaungkan keazaman untuk memberikan fokus sepenuhnya ketika turun beraksi malam ini meskipun dihimpit pelbagai kontroversi termasuk terbaru insiden simbahan cat hitam di pejabatnya, Khairul Fahmi Resources (KFR) Sdn Bhd di Jalan Sri Cemerlang, dekat sini semalam.

“Sama ada gosip atau apa-apa fitnah yang dilemparkan selama ini, semuanya saya tolak ke tepi. Semua perkara itu tidak ada dalam minda saya setiap kali beraksi di atas padang. Saya hanya mahu fokus mengenai kerjaya saya selaku penjaga gol Kelantan.

“Mengenai insiden simbahan cat hitam itu, saya sudah membuat laporan polis. Jadi saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Foto oleh : Shazli @ Dunia Warriors
Ditulis oleh : Wartawan Sinar Harian
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia