Thursday, February 16, 2012

Butler Tetap Pertahan Kelantan.





BALABAN (tengah) cuba meloloskan diri daripada kawalan dua pemain Kelantan
di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin.


KEKALAHAN pertama yang direkodkan Kelantan musim ini selepas tewas 1-2 kepada Selangor pada saingan Liga Super di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin ternyata merencatkan momentum gergasi Pantai Timur itu.

Diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan tersebut ketika mereka berada dalam mood yang cukup baik selepas menewaskan jiran tetangga, Terengganu, Sabtu lalu, skuad The Red Warriors dilihat gagal mempamerkan aksi sebenar di gelanggang lawan kelmarin.

Bagaimanapun, pengendali Kelantan, Peter James Butler masih lagi tenang dan tetap mempertahankan para pemainnya yang disifatkan beraksi lebih bagus, namun nasib tidak menyebelahi mereka.

Menurutnya, sepanjang 20 minit pertama, Kelantan kerap mengancam kubu Selangor dan mencipta beberapa gerakan berbahaya, namun ketumpulan jentera hadapan menggagalkan usaha mencipta jaringan.

“Dalam bola sepak, kekalahan adalah suatu yang biasa dan semalam (kelmarin), ia kekalahan kita yang pertama dan kita menerimanya. Kekalahan ini memberi saya peluang untuk melakukan penilaian terhadap pemain.

“Saya tahu ia suatu yang me- ngecewakan bagi seluruh peminat (Kelantan) tetapi peminat juga harus mengetahui saya juga sangat kecewa,” kata Butler ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tambahnya, kesilapan yang dilakukan barisan pertahanan memberi peluang kepada Selangor menjaringkan gol pertama menerusi Safiq Rahim. Keghairahan mencari gol penyamaan menyebabkan para pemain saya terperangkap dan terpaksa melepaskan gol kedua,” jelasnya.

Butler berkata, jentera penggempurnya tidak berfungsi dengan baik dan beliau tidak menolak kemungkinan faktor keletihan selepas berhempas pulas menewaskan Terengganu tempoh hari merupakan antara penyebab mereka beraksi hambar.

Mengulas mengenai dua pemain import baharunya, Butler memberitahu, Obinna Nwaneri masih dalam proses mencapai tahap kecergasan yang optimum, manakala Nwoha Onyekachi pula dalam pemantauannya dan belum mencapai prestasi sebenar.

“Beberapa usaha yang lebih keras perlu dilakukan dalam persiapan menentang Sarawak pada aksi Piala FA Sabtu ini, dan saya mahu pemain lebih fokus dan melupakan kekalahan malam tadi (kelmarin).

“Perjalanan masih banyak, ia bukan suatu yang sudah berakhir selepas perlawanan menentang Selangor. Kita pasti akan bangkit dan mempamerkan permainan sebenar selepas ini,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai ‘ribut’ yang melanda kem The Red Warriors kononnya beliau akan meletak jawatan ekoran tekanan daripada beberapa pihak, Butler menafikan mengenai perkara tersebut.

“Saya tidak tahu dan tidak pasti dari mana cerita ini timbul. Saya punya reputasi yang baik di sini (Kelantan) dan saya tidak ada masalah dengan pemain atau pihak pengurusan.

“Tetapi sekiranya mereka (pihak pengurusan) tidak senang dengan saya, mereka boleh melakukannya (memecat) tetapi mereka kena tahu saya sentiasa bekerja keras dan memberikan yang terbaik untuk pasukan,” jelasnya.

Ditulis oleh : Khairi Mohamad
Sumber : Kosmo! Online - Sukan

1 comment: