NORSHAHRUL bakal mengetuai jentera serangan Kelantan pada pertemuan menentang Terengganu malam ini. |
SELEPAS kempunan memungut mata penuh ketika bertandang ke Kota Kinabalu (Rabu lalu), skuad The Red Warriors berpeluang mengatasi kekecewaan itu di hadapan penyokong sendiri di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini.
Namun, apa yang pasti rentak perjuangan Kelantan untuk memungut mata tidak semudah yang disangka apabila mereka dijangka turun berdepan musuh tradisi, Terengganu.
Pertembungan dua gergasi Pantai Timur yang sentiasa menjadi tumpuan sejak sekian lama bakal membuktikan siapa lebih jaguh selepas kedua-dua pasukan itu hanya dipisahkan dengan satu mata dan masing-masingnya menghuni tangga kedua dan ketiga liga ketika ini.
Pengurus pasukan, Azman Ibrahim tanpa berselindung mahu semua pemain Kelantan fokus serta memberikan persembahan yang terbaik dalam misi utama untuk merampas semula kedudukan selaku pendahulu liga daripada pasukan Perak.
Menurutnya, pertembungan kali ini juga membawa misi menebus maruah selepas Kelantan tewas dalam perlawanan Piala FA dan suku akhir Piala Malaysia musim lalu. Pemain perlu ingat, kita turun dengan misi melangsaikan hutang lalu. Biarpun ia sekadar tiga mata bukannya perlawanan merebut piala, namun kita tidak boleh tewas, terutama ketika beraksi di gelanggang sendiri.
“Terengganu sebuah pasukan yang hebat dan mantap di semua posisi dan saya yakin semua pemain menyedari perkara tersebut. Justeru, mereka perlu berusaha untuk membenam cabaran Terengganu kali ini,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, kehadiran penyerang import Terengganu, Francis Doe Forkey yang bergandingan bersama Abdul Manaf Mamat dan Ashaari Samsudin perlu diberi perhatian oleh benteng pertahanan Kelantan.
Katanya, Terengganu juga mempunyai pemain yang seimbang di segenap posisi terutama dua pemain kebangsaan di benteng pertahanan, Muslim Ahmad dan Zubir Azmi.
“Muhammad Ghaddar dan Shakir Shaari mengalami sedikit kecederaan dan kita harap kedua-dua mereka mampu pulih dalam tempoh terdekat dan boleh diturunkan malam esok (malam ini).
“Kita juga mengharapkan sentuhan Ghaddar akan lebih kemas dan mengharapkan gandingannya dengan Norshahrul Idlan Talaha mampu memusnahkan gawang lawan,” ujarnya.
Beliau juga menaruh harapan supaya pemain import yang beraksi di posisi pertahanan, Obinna Nwaneri dapat beraksi dengan baik dan memberikan impak kepada pasukan selain mampu menyaingi kelincahan Forkey Doe.
Bagaimanapun, apa yang meresahkan beliau adalah faktor keletihan selepas para pemain terpaksa mengharungi tempoh penerbangan yang panjang selepas aksi menentang Sabah di Kota Kinabalu tempoh hari.
“Mereka semua pemain profesional dan saya harap semua pemain dapat rehat secukupnya, makan dan tidur yang cukup untuk kembali cergas ketika menentang Terengganu.
Saya juga ingin mengambil kesempatan menyeru para penonton supaya menjaga disiplin dan tingkah laku. Jangan melakukan provokasi, terutamanya kepada pemain sendiri kerana ia tidak memberikan sebarang keuntungan, malah merugikan pasukan,” jelasnya.
Ditulis oleh : Khairi Mohamad
Sumber : Kosmo! Online - Sukan
No comments:
Post a Comment