Sunday, February 5, 2012

OKS Yakin Kalahkan Bahrain.





Pemain skuad Olimpik Negara.


BAKAL memulakan misi membalas dendam ke atas Bahrain selepas tewas dalam pusingan pertama peringkat kumpulan kelayakan Olimpik malam nanti, Ong Kim Swee kini memikul tanggungjawab cukup besar terutama apabila menduduki tangga tercorot Kumpulan C tanpa sebarang mata.

Mengakui pasukannya kini berdepan dengan situasi yang turut menjadi perhatian penyokong, Kim Swee bagaimanapun tetap optimis meskipun ada yang menganggap skuad Harimau Muda sudah terlebih dahulu terkeluar dari saingan pusingan ketiga biarpun masih mempunyai baki tiga perlawanan lagi.

“Kalah atau menang itu adat perlawanan. Bagi saya, kita perlu mengambil segala cabaran dan risiko dengan cara positif dan bukannya bertindak secara melulu. “Oleh sehubungan itu juga, saya berharap penyokong skuad negara dapat membuang sikap negatif jika ingin terus melihat arena sukan bola sepak Malasyai berjaya,” katanya kepada Sinar Harian di Manama.

Tidak mahu rakyat Malaysia cepat melatah sekiranya skuad negara gagal memberikan kemenangan seperti yang mereka inginkan, Kim Swee melihat suatu kemenangan tidak mungkin bermakna jika dia tidak berpuas hati dengan prestasi pemain pada keseluruhan perlawanan.

“Sekiranya tewas, kita perlu melihat kekalahan tersebut dari pelbagai aspek. Jangan terlalu mudah terbawa-bawa dengan kekalahan tersebut tidak kira dengan lawan mana sekali pun,” katanya yang mahu penyokong mencontohi sikap penyokong Garuda yang tetap menyokong penuh pasukan kebangsaan mereka meskipun tewas kepada Malaysia di Sukan Sea tahun lalu.

Masih belum mengaku kalah, jurulatih kelahiran Tengkera, Melaka ini tetap menjanjikan persembahan yang terbaik meskipun pernah tewas 2-3 kepada Bahrin sebelum ini. Malaysia turut akan berdepan Jepun (22 Februari) dan Syria (14 Mac) bagi baki perlawanan kempen kelayakan.

Merupakan wakil tunggal Asia Tenggara beraksi di peringkat kumpulan kelayakan Olimpik, Malaysia kini menduduki tangga tercorot Kumpulan C selepas tewas 0-2 kepada Jepun, Syria (0-2) dan Bahrin (2-3). Bagi rekod, kali terakhir Malaysia layak ke temasya sukan terbesar itu di Sukan Olimpik Moscow 1980 selepas beraksi di Sukan Olimpik Munich 1972.

Ditulis oleh : Noorashikin Leman
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Harimau Malaya

No comments:

Post a Comment