Nurul Azwan Roya cemerlang dalam perlawanan malam kelmarin. |
KOTA BHARU - Tiga mata yang diraih ketika menumbangkan musuh tradisi Terengganu 2-1 di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi jelas membuktikan gelaran Gergasi Pantai Timur wajar menjadi milik Kelantan.
Bukan sahaja kemenangan tersebut menggembirakan Ketua Jurulatih, Peter Butler malah aksi yang dipamerkan oleh barisan pemain The Red Warriors juga disifatkan yang terbaik setelah mengharungi tujuh perlawanan setakat ini.
Jurulatih yang pernah melatih kelab Persiba Balikpapan dalam Liga Indonesia itu menyifatkan kemenangan tersebut hadir dengan pakej yang lengkap apabila pemainnya dilihat sentiasa bekerja keras dan menampilkan disiplin tertinggi sepanjang perlawanan itu.
“Sudah pasti saya gembira dengan keputusan ini. Pemain kita bermain mengikut arahan dan saya fikir itu sebahagian daripada faktor kemenangan kita ke atas Terengganu malam ini.
“Terengganu merupakan sebuah pasukan yang sukar ditewaskan dan mereka mempunyai pemain yang berkualiti dan merbahaya. Tetapi kita sudah membuat 'kerja rumah' terlebih dahulu sebelum menghadapi mereka,” katanya ketika ditemui pemberita sejurus perlawanan berakhir malam tadi.
Ditulis oleh : Mazram Idzam Ridzal Mahmud
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia
No comments:
Post a Comment