Kesebelasan utama Kelantan semalam. |
KUALA LUMPUR - Kelantan kembali menerajui kedudukan teratas Liga Super hasil kejayaan menewaskan Terengganu 2-1 di Stadium Sultan Mohamad IV, Kota Baharu malam tadi.
Pasukan terkenal dengan jolokan 'The Red Warriors' itu kini mengutip 17 mata iaitu dua mata di hadapan pencabar terdekat Perak selepas mengharungi tujuh perlawanan. Penyerang berbisa Norsharul Idlan Talaha memecah kebuntuan pasukan tuan rumah hasil jaringan pada minit ke-37 menerusi hantaran kemas Mohd Nurul Azwan Roya.
Kelantan kemudiannya menggandakan kedudukan 2-0 menerusi kapten pasukan Mohd Badhri Mohd Radzi pada minit ke-52. Gol tunggal Terengganu hanya hadir pada pada minit terakhir perlawanan menerusi jaringan Mohd Ashari Shamsudin.
Sementara itu, harapan Perak untuk terus menduduki tangga teratas liga berkecai apabila tewas 0-2 kepada T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Dua gol T-Team dijaringkan Bojan Petric pada minit ke-56 dan sepakan penalti Zairo Anuar Zailani (minit ke-88).
Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Kelana Jaya, pasukan Selangor seperti hilang bisa apabila tewas 0-2 kepada pasukan bertaraf kelab, Selangor PKNS. Gol Selangor PKNS dijaringkan oleh Rudie Ramli pada minit ke-33 dan Helmi Remeli (minit ke-60).
Sarawak pula menewaskan Felda United 2-1 di Stadium Negeri Sarawak, Kuching. Gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Vedran Murotovic pada minit ke-45 dan Asri Chuchu pada minit ke-84, Manakala gol tunggal Felda United di
sumbangkan oleh Mohd Firdaus Faudzi.
Pasukan Lions XII mengalahkan Negeri Sembilan 3-1 di Stadium Jalan Besar, Singapura. Dua tuan rumah dijaringkan oleh Mohd Shahril Ishak pada minit ke-31 dan minit ke-60 dan Shahdan Sulaiman menjaringkan gol ketiga pada minit ke-50. Negeri Sembilan memperoleh gol tunggal hasil jaringan Mohd Firdaus Azizul pada minit ke-90.
Kedah pula seri 2-2 dengan Sabah di Stadium Darul Aman, Alor Setar.Gol kedah dijaringkan oleh Mohd Khyril Muhymeen Zambri pada minit ke-38 dan Mohd Faizal Abu Bakar (minit ke-39) manakala dua gol Sabah disumbangkan oleh Sharudin Yakup pada minit 21 dan 56.
Pasukan tercorot, Kuala Lumpur terus dihantui kekalahan setelah tumpas 0-2 kepada Johor FC di Stadium Hang Jebat, Melaka. Gol Johor FC dijaringkan Mohd Haris Safuan Mohd Kamal pada minit keenam dan Jasazrin Jamaluddin pada minit ke-83.
Foto oleh : J Photography
Ditulis oleh : Wartawan Sinar Harian
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia
No comments:
Post a Comment