Monday, February 6, 2012

Nota Untuk Peter Butler.





The Red Warriors.


KOTA BHARU - Kelab Penyokong The Red Warriors di sini mahu ketua jurulatih Kelantan, Peter Bulter memperbaiki kelemahan pasukan jika mahu memberikan saingan dalam Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan mempertahankan kejuaraan Liga Super.

Perkara itu dibangkitkan oleh Presidennya, Mohd. Zainy Mohd. Zain selepas Kelantan dimalukan oleh Kelab Singapura, Balestier Khalsa dalam aksi persahabatan di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.

Mohd. Zainy berkata, kekalahan tersebut jelas menunjukkan masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki jika mahu kejuaraan Liga Super terus kekal di bumi Cik Siti Wan Kembang.

"Walaupun perlawanan dengan Balestier Khalsa hanyalah aksi pemanas badan, bagi saya jurulatih tidak sepatutnya mengambil mudah pertemuan ini. Ini peluang terbaik untuk menguji keupayaan sebenar pasukan dengan mempertaruhkan barisan terkuat dalam kesebelasan utama.

"Berdasarkan persembahan semalam saya tidak nampak Kelantan mampu bersaing di peringkat AFC dan mungkin akan menjadi pasukan belasahan pada pertandingan itu," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Tambahnya, Kelantan musim ini mempunyai ramai pemain yang berkualiti dan jurulatih sepatutnya sudah tahu siapakah yang harus dalam senarai utama.

"Kami penyokong mengakui ada sesetengah pemain yang menunjukkan komitmen yang tinggi setiap kali turun beraksi dan ada juga yang seakan-akan masih mencari rentak jadi harapan kami jurulatih dapat membuat pilihan bijak untuk menyenaraikan pemain terbaik dalam setiap perlawanan," ujarnya.

Mohd. Zainy memberitahu keupayaan skuad bimbingan Butler masih belum diuji sepenuhnya apabila bertemu dengan pasukan di kelompok pertengahan liga sahaja.

Ditanya mengenai persembahan dua tonggak import baharu Kelantan iaitu Obinna Nwaneri dan Samad Okocha Awudu Mohd. Zaini berkata, pihaknya kecewa dengan aksi kedua-dua pemain terbabit dan menyifatkannya tak ubah seperti 'indah khabar dari rupa'.

"Saya harap Persatuan Bola Sepak Kelantan mengkaji semua pengambilan kedua-dua pemain ini yang mana sumbangan mereka cukup mengecewakan," jelasnya.

Wallpaper : OrenKecik | Graphic
Ditulis oleh : Yatimin Abdullah
Sumber : Utusan Online - Sukan

No comments:

Post a Comment