TRW jamin aksi garang malam ini. |
KELANTAN bakal menghadapi musuh tradisi dan perlu tampil dengan aksi garang untuk merampas kembali takhta liga ketika berdepan Terengganu dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.
Kelantan yang tewas kepada Terengganu pada saingan final Piala FA tahun lalu perlu memberi perkhabaran gembira kepada penyokong setia pada perlawanan malam ini selain tidak mahu keciciran mata dan kecundang di laman sendiri.
Pengurus Kelantan, Azman Ibrahim berkata, pemain perlu tampil dengan aksi mantap ketika berdepan ‘Sang Penyu’ yang dibarisi pemain berpengalaman selain awang importnya, Francis Forkey Doe yang pasti akan cuba mengucar-kacirkan benteng The Red Warriors Katanya, walau apa cara sekalipun, pemain di bawah kendalian jurulatih, Peter James Butler itu perlu menang dan mendapatkan tiga mata selain membalas dendam kekalahan merebut Piala FA musim lalu.
“Kita bukan saja perlu menang untuk mendapatkan tiga mata, malah kemenangan ini akan memastikan Kelantan kembali merampas takhta liga. Kita tahu Terengganu mempunyai pemain berpengalaman dan mantap di semua posisi dan kita harap pemain Kelantan juga mempamerkan aksi lebih mantap,” katanya.
Bagaimanapun, Azman mengingatkan pemain supaya tidak begitu ghairah untuk mencari gol malah perlu waspada terhadap asakan lawan supaya tidak melakukan kesilapan yang boleh membawa padah.
Azman yang juga Setiausaha Agung, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berkata, semua pemain perlu fokus dan bekerjasama supaya dapat melaksanakan arahan jurulatih dengan baik. Kita harap pemain memberi perhatian sepenuhnya pada perlawanan kerana kita sedar, Terengganu adalah pasukan yang mampu mencabar kemampuan kita,” katanya
Foto : Shazli Shamsuddin Photography
Ditulis oleh : Mohd Nor Asri Yaacob
Sumber : myMetro Online - Arena
No comments:
Post a Comment