Aksi Amri & Piya ketika perlawanan sumbangsih 2011. |
KOTA BHARU – Tiada belas kasihan, sebaliknya pendahulu liga, Kelantan bersedia untuk menghadirkan sekali lagi kekecewaan kepada Selangor, apabila kedua-dua musuh utama bola sepak tempatan itu berentap dalam perlawanan Liga Super di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Meskipun menyedari Selangor ibarat harimau terluka gara-gara dimalukan kekalahan 0-2 oleh pasukan adik, PKNS FC tempohari, namun bagi The Red Warriors jelas tidak ada sedikit pun belas kasihan diberikan kepada musuh tradisinya itu untuk bangkit mencatatkan kemenangan dalam pertemuan ini.
Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim berkata, tidak ada sebab untuk pasukannya tidak dapat menumbangkan Gergasi Merah itu, jika aksi yang dipamerkan ketika membenamkan musuh tradisinya, Terengganu tempohari dipamerkan pada pertemuan malam ini.
“Selain Terengganu, permusuhan kita dengan Selangor sebenarnya tidak dapat dielakkan. Tidak sah jika kita tidak bertemu Selangor dan ia seumpama kita menjulang kejuaraan sekiranya dapat menewaskan mereka malam ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian sebelum berlepas ke ibu negara semalam.
“Perlawanan ini bukan sahaja ditunggu barisan pemain malahan penyokong setia kedua-dua pasukan. Begitupun saya mengingatkan pemain kita supaya tidak mengambil mudah perlawanan ini.
“Rekod musim lalu membuktikan ia berpihak kepada kita namun itu sudah menjadi sejarah. Malam ini cerita lain dan sudah pasti Selangor mahu membuktikan mereka masih sebuah pasukan yang kuat meskipun mempamerkan aksi hambar pada awal saingan liga musim ini,” katanya.
Menurutnya, skuad kendalian Peter Butler tetap menampilkan barisan terkuat bagi menghadapi Selangor meskipun turun tanpa tonggak pertahanan, Mohd Daudsu Jamaluddin yang terpaksa diketepikan kerana menjalani hukuman penggantungan satu perlawanan.
“Tempat beliau akan diisi oleh Mohd Farisham (Ismail) di posisi bek kanan itu. Sementara itu, Mohammed Ghaddar yang masih belum pulih daripada kecederaan kecil tetap menyertai rakan pasukan ke ibu negara,” katanya.
Pada masa sama, Azman jelas tidak mahu memikirkan mengenai percaturan taktikal di kem Selangor, yang sudah pasti kehilangan khidmat pemain import barunya, Bosco Balaban yang difahamkan masih gagal memperoleh Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) daripada kelab lamanya setakat ini.
“Sama ada Balaban diturunkan atau tidak itu bukan masalah kepada kita. Bukan dia yang menjadi perhatian tetapi kelibat pemain seperti Mohd Amri (Yahyah) yang perlu disekat oleh benteng pertahanan kita,” katanya.
Ditulis oleh : Maram Idzam Ridzal Mahmud
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia
No comments:
Post a Comment