Sunday, February 12, 2012

TRW Kembali Terajui Liga Super.





Kapten Kelantan, Piya meraikan gol kedua Kelantan hasil jaringan beliau.


KOTA BHARU – The Red Warriors kembali merampas gelaran pendahulu liga setelah mengalahkan musuh tradisinya Terengganu 2-1 dalam aksi perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.

Kejayaan menumbangkan seteru utamanya itu ternyata memberikan signifikan tersendiri bagi Kelantan yang berjaya membalas dendam setelah dikecewakan dalam perlawanan akhir Piala FA dan saingan suku akhir Piala Malaysia pada musim lalu.

Tempoh 20 minit pertama perlawanan jelas penguasaan milik Kelantan yang melakukan asakan bertali arus menerusi dua rembatan kencang pemain sayap, S Chanturu pada minit kelapan dan m-11 namun mudah diselamatkan oleh penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Empat minit kemudian, gerakan menarik di antara Norshahrul Idlan Talaha dan Indra Putra Mahayuddin turut berakhir dengan kehampaan apabila Mohd Sharbinee Allawee terlebih dahulu pantas meluru keluar menyelamatkan keadaan di gawang golnya.

Meski pun tertekan dengan asakan pemain tuan rumah namun pasukan dilihat Terengganu cuba mengimbangi perlawanan dan lima minit kemudian Abdul Hadi Yahaya terlepas peluang untuk menghadirkan gol bagi pasukannya apabila rembatan kencangnya sempat dihadang Mohamad Ab Aziz Ismail di depan pintu gol Kelantan.

Terengganu terus melancarkan serangan balas pantas dua minit kemudian apabila hantaran lintang Abdul Hadi pantas disambar bek kiri, Muhammad Zubir Mohd Azmi namun rembatan kencangnya sempat ditepis keluar oleh penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Pada m-34, Indra Putra terlepas peluang untuk meletakkan Kelantan di depan apabila rembatannya berpunca hantaran jauh Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi hanya tersasar beberapa meter di sebelah kiri pintu gol Terengganu.

Tiga minit kemudian, penyerang yang terkenal dengan jolokan ‘The Linesman’, Norshahrul Idlan Talaha menggamatkan sorakan hampir 15,000 penyokong setia The Red Warriors apabila merembat masuk gol pertama Kelantan dalam perlawanan malam tadi.

Berpunca hantaran pendek Mohd Nurul Azwan di dalam kotak penalti, Norshahrul Idlan pantas melakukan rembatan yang menyaksikan bola terkena salah seorang pemain pertahanan Terengganu dan mengelirukan Mohd Sharbinee Allawee di gawang golnya.

Bersambung babak kedua, Kelantan hanya memerlukan tujuh minit untuk menggandakan jaringan. Berpunca tandukan pendek Indra Putra di dalam kotak penalti, Mohd Badhri Radzi mudah menanduk masuk menewaskan Mohd Sharbinee Allawee untuk gol kedua Kelantan.

Ternyata gol kedua tersebut terus menyemarakkan semangat anak buah Peter Butler untuk menambahkan jaringan dan Indra Putra terlepas peluang untuk mencetak nama selaku penjaring gol apabila tandukannya pada m-55 perlawanan dibatalkan setelah dikesan berada dalam kedudukan ofsaid terlebih dahulu.

Ketinggalan dua gol ternyata memberi tekanan kepada pasukan pelawat untuk kembali bangkit merapatkan jurang. Kelibat penyerang import mereka, Francis Forkey Doe yang digembar-gemburkan cukup berbisa nyata tenggelam setelah dibayangi kehebatan S Subramaniam dan Obinna Nwaneri di benteng pertahanan Kelantan.

Malah Forkey Doe wajar dinobatkan selaku ‘pakar ofsaid’ dalam perlawanan malam tadi apabila tidak kurang 10 gerakan menarik yang direncananya sering terjerat dengan perangkap ofsaid oleh benteng pertahanan Kelantan.

Begitu pun pasukan pelawat tetap menjelmakan asakan merbahaya pada m-63 perlawanan menerusi rembatan pemain gantian, Abdul Manaf Mamat yang hanya tersasar beberapa meter di sebelah kanan pintu gol manakala percubaan Mohamad Ashari Samsudin lima minit kemudian jauh tersasar.

Selebihnya kemudian, giliran Kelantan pula kembali mendominasi perlawanan apabila Norshahrul Idlan mempunyai dua peluang terbaik pada m-70 dan 76 perlawanan namun gerakan menariknya memperdayakan dua pemain pasukan pelawat berakhir dengan bola rembatannya terus ke dakapan Mohd Sharbinee Allawee.

Tindakan Ketua Pasukan Terengganu, Mohd Mazuki Yusoff menarik penyerang import Kelantan, Mohammed Ghaddar pada m-85 perlawanan di dalam kotak penalti akhirnya mengundang padah apabila pengadil tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada Kelantan.

Namun Ghaddar yang diberi tanggungjawab menyempurnakan sepakan tersebut gagal menghadiahkan gol ketiga untuk Kelantan apabila sepakannya ke penjuru sebelah kiri ditepis keluar Mohd Sharbinee Allawee.

Usaha berterusan Terengganu untuk merapatkan kedudukan bagaimana berhasil apabila Abdul Manaf berjaya merembat masuk hasil sepakan penjuru rakan sepasukan untuk gol saguhati pasukannya dalam masa kecederaan.

Foto oleh : Shazli @ Dunia Warrios
Ditulis oleh : Wartawan Sinar Harian
Sumber : Sinar Harian Edisi Kelantan

No comments:

Post a Comment