Sunday, February 12, 2012

Ghaddar Tepis Andaian.





Mohammed Ghaddar.

NAMA Mohammed Ghaddar bukan asing bagi penyokong The Red Warriors (TRW), malah sering menjadi perhatian peminat di negeri Cik Siti Wan Kembang ketika beraksi di padang.

Bekas penyerang kebangsaan Lubnan itu berhijrah ke Kelantan dengan semangat baru serta mahu menimba pengalaman beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) malah kehadirannya bersama Kelantan seperti membawa tuah apabila pasukan dari pantai timur itu berada di kedudukan teratas Liga Super setakat ini. 

Walaupun menerima kritikan berhubung persembahan hambarnya bersama Kelantan selaku juara Liga Super 2011 selepas hanya mampu menjaringkan dua gol sepanjang enam perlawanan musim ini melalui sepakan penalti, dia tidak berputus asa untuk membuktikan kehebatannya bagi menepis semua andaian buruk terhadapnya.

Mohammed Ghaddar atau lebih mesra dengan nama ‘Mat Dar’ di kalangan penonton Kelantan yang mula menyertai pasukan kebangsaan Lubnan bawah 20 tahun pada 1999 sebelum diserap ke pasukan seniornya pada 2005 akan menegaskan tujuannya berhijrah ke Kelantan bukan untuk ‘makan angin’ atau mencari nama, tetapi mahu memberi khidmat sebagai pemain yang mampu mengemudi jentera serangan bersama penyerang sensasi TRW, Norshahrul Idlan Talaha dengan cemerlang.

Katanya, walaupun prestasinya sering dibandingkan dengan Norshahrul atau Matyo, namun ia tidak melemahkan semangatnya untuk beraksi bersama pemain Kelantan lain di bawah bimbingan jurulatih, Peter James Butler.

“Saya akan menggunakan segala pengalaman yang ada untuk membantu Kelantan bagi mengadapi saingan Liga Super selain Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang bakal berlangsung Mac depan.

“Saya akan membuktikan kemampuan saya,” katanya yang hanya boleh berbahasa Arab dan perlu dibantu juru bahasa ketika ditemubual. Pemain yang menyarung jersi bernombor 22 itu berkata, selepas menyertai pasukan Kelantan beliau mula merasai pasukan barunya itu mempunyai daya tarikan tersendiri malah dengan jumlah penyokong yang ramai, ia menanam azam tinggi buat dirinya.

Katanya, dia seboleh-bolehnya tidak mahu menghampakan pasukannya yang menjadi antara pasukan yang digeruni dalam saingan Liga M.

“Saya datang dengan tekad untuk membantu Kelantan dan saya tidak akan putus asa walaupun hanya mampu menjaringkan dua gol melalui sepakan penalti sepanjang musim ini malah saya juga tidak mahu menghampakan pasukan setiap kali beraksi.

“Saya akui mempunyai masalah berkomunikasi dengan rakan sepasukan. Namun selepas berlatih bersama dan diturunkan dalam setiap perlawanan, saya mula memahami trentak permainan yang diterapkan dan akan mencuba sedaya upaya untuk membantu pasukan,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu, baru-baru ini.

Selepas mengharungi enam perlawanan dalam saingan Liga Super, pemain berusia 28 tahun itu terpaksa bekerja keras untuk menyaingi rakan sepasukan yang dilihat mampu menggugat kedudukannya apatah lagi jika berdepan pihak lawan yang pasti akan mengawal ketat pergerakannya.

Bagaimanapun, Kelantan tidak boleh melupakan sumbangan keringat Mohammed Ghaddar yang banyak membantu pasukan terbabit dalam enam perlawanan sejak saingan bermula 7 Januari lalu.

Mohammed Ghaddar mengumpul dua jaringan peribadi melalui sepakan penalti pada perlawanan pertama menentang kelab Singapura Lions XII di Stadium Jalan Besar, Singapura 10 Januari lalu dan di Stadium Darul Aman ketika berdepan Kedah 20 Januari lalu.

Foto oleh : J Photography
Dipetik dari : Support Malaysia League (MSL)

No comments:

Post a Comment