Wednesday, November 30, 2011

Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2011.




Kelab Terbaik : Selangor PKNS FC
FA Terbaik : Selangor FA
Pemain Harapan : Wan Zack Haikal - HMA
Jurulatih Terbaik : Irfan Bakti Mohd Salim - TER
Penyerang Terbaik : Norshahrul Idlan Talaha - KEL
Midfield Terbaik : Safiq Rahim - SEL
Defender Terbaik : NorHafiz Zamani Misbah - NS
Penjaga Gol Terbaik : Khairul Fahmi Che Mat - KEL
Pemain Paling Bernilai Supermokh : Norshahrul Idlan Talaha - KEL

Oleh : Nick Hafiz
Sumber Logo : Blog Rizal Hashim

N. Sembilan Dedah Kepincangan Kelantan.




Kesebelasan utama Kelantan semalam.

Kekalahan pertama di alami oleh pasukan Kelantan dalam perlawanan persahabatan Pra Musim 2012 apabila tewas 1 – 3 kepada N. Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi semalam. Beraksi di atas padang yang becak menyukarkan pasukan Kelantan untuk melakukan serangan – serangan ke arah pintu gol Negeri Sembilan.

Jika dilihat dari gol – gol yang dijaringkan oleh pasukan Negeri Sembilan semalam, terdapat kepincangan berlaku di bahagian pertahanan & penjaga gol. Dengan ketiadaan Khairul Fahmi Che Mat & Sharizan Ismail, posisi itu masih belum dapat disisi oleh pengganti yang betul – betul berkaliber.

Beraksi tanpa tonggak utama seperti Norshahrul Idlan Talaha, Shakir Shaari, Indraputra Mahayuddin, Norfarhan Muhammad, Azizi Matt Rose dan pemain import dari Lubnan, Muhammad Ghaddar yang baru tiba dari Beirut semalam mendedahkan kepincangan pasukan Kelantan apabila ketiadaan pemain utama.

Tetapi perkara itu tidak boleh dijadikan alas an apabila pasukan mengalami kekalahan kerana pasukan Kelantan akan bertanding dalan saingan diperingkat Asia iaitu dalam pertandingan Piala AFC tahun depan, ke semua 25 pemain hendaklah mempunyai taraf keupayaan yang sama.

Tetapi dalam perlawanan semalam jurulatih Peter James Butler lebih kepada mencuba pemain – pemain muda dari skuad Piala Presiden untuk digandingkan dengan pemain – pemain import. Setakat ini pemain import posisi penyerang dari Ghana, Deeny Antwi menunjukkan prestasi yang baik apabila telah menjaringkan 6 gol dalam empat perlawanan persahabatan.

Diharap sebelum sepak mula Perlawanan Sumbangsih Januari tahun hadapan, pasukan Kelantan dapat menubuhkan satu pasukan yang digeruni dan mampu mencabar setiap pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Malaysia dan juga peringkat Asia dalam pertandingan Piala AFC.

Ditulis oleh : Nick Hafiz

Nazmi Bintang Dalam Pembikinan.




Nazmi Faiz meraikan jaringanya bersama Fandhi Othman.

NAMA penyerang Harimau Muda B, Muhamad Nazmi Faiz Mansor sebelum ini mungkin tidak dikenali ramai dan langsung tidak diberi perhatian oleh peminat serta media tempatan.

Namun, pentas Sukan Sea Jakarta yang berakhir baru-baru ini mengubah skrip pemain kelahiran Kuala Lumpur yang baru berusia 17 tahun itu.

Nazmi yang masih menuntut di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), mendapat kepercayaan jurulatih skuad Olimpik, Ong Kim Swee apabila menyenaraikannya pada aksi berdepan Syria dan Bahrain dalam pusingan Kelayakan Sukan Olimpik London 2012, baru-baru ini.

Dia membalas kepercayaan diberikan Kim Swee selepas muncul penjaring termuda negara dalam kejohanan berkenaan dengan meledak salah satu gol ketika Malaysia kalah 2-3 di ta­ngan Bahrain, Ahad lalu.

Kini, dengan usianya yang masih muda, tidak keterlaluan me­nganggap Nazmi sebagai permata berharga sukan bola sepak tanah air.

Barangkali, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), boleh menghantar Nazmi berlatih di kelab luar negara bagi menimba pengalaman kerana prestasi semasa dipamerkan beliau cukup memberangsangkan.

Ditulis oleh : Mohd Fahmi Bin Ismail
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Harimau Malaya

Tuesday, November 29, 2011

Semangat Ultras Malaya Wajar Dicontohi.




Ultras Malaya since '07.

WISEL penamat sudah 30 minit ditiup tetapi sekumpulan hampir 1,000 penyokong negara yang menamakan kumpulan mereka Ultras Malaya (UM), tidak berganjak dari bangku penonton, berdiri sambil terus menyanyikan lagu semangat untuk pemain.

Bagi mereka, angka ‘Malaysia 2 Bahrain 3’ yang terpampang pada layar di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas tamat perlawanan, bukan penamat sokongan terhadap skuad Harimau Muda kerana yakin kesebelasan anak buah Ong Kim Swee sudah melakukan yang terbaik pada perlawanan kumpulan Kelayakan Olimpik itu.

Kumpulan UM membeli tiket bukan untuk duduk, sebaliknya mereka yang hadir berpakaian kuning dan hitam dengan skaf kuning hitam, lebih gemar berdiri sambil bernyanyi lagu semangat sebagai tanda sokongan terhadap pemain yang berjuang di tengah padang.

Penulis yang berkesempatan bersama kumpulan itu turut menyertai mereka menggerakkan `ombak Mexico' dari sebelah kiri sebelum disambut puluhan ribu penyokong lain sehingga melengkapkan satu pusingan stadium.

Pernah bersama mereka ketika awal pergerakan UM pada 2007 yang dikenali sebagai Harimau Malaya.Com (HMC) sebelum ini, pertambahan jumlah penyokong kumpulan itu amat ketara apabila kini berkembang ke seluruh negara.

Penyokong UM dari Melaka, Darwin Mohd Arif, 18, berkata dia dan rakannya menerima kekalahan itu secara positif kerana yakin skuad negara mampu mara lebih jauh jika pemain terus dipupuk dengan semangat juang tinggi.

“Kami tetap bersama Harimau Muda dan Malaya walaupun ketika kalah,” kata penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Lendu di Melaka itu.


Wallpaper : Ultras Malaya '07
Dipetik dari : Klik Disini

Kelantan Uji Pemain Cameroon.




Albert Banning, bekas pemain Skuad Olimpik 2008 Cameroon.

SELEPAS berjaya memburu tiga pemain import, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menguji seorang lagi pemain dari Cameroon, bagi memperkuatkan pasukan dalam menghadapi perlawanan musim depan, termasuk Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang disertai oleh skuad Kijang buat pertama kali.

Setakat ini, Kafa mengikat tiga pemain iaitu Muhammed Ghaddar Mahmoud dari Lebanon selaku penyerang dan dua pemain dari Ghana Emannuel Okine (tengah) serta Denny Antwi (penyerang untuk Piala AFC).

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, Albert Baning adalah bekas pemain skuad Olimpik 2008 Cameroon yang baru tiba di negara ini dan akan menjalani ujian di bawah jurulatih Peter Butler.

“Sekiranya beliau menepati kriteria, kita akan ikat kontrak dengan pemain itu kerana AFC membenarkan empat pemain import. Kami akan pilih dua pemain import terbaik untuk bermain dalam Liga Malaysia,” katanya.

Mengulas persediaan The Red Warriors dalam saingan musim depan, Annuar berkata pihaknya sudah mengatur perlawanan persahabatan tempatan dan juga antarabangsa.

Beliau berkata, antaranya pertemuan dengan Negeri Sembilan (hari ini) dan Perak pada 1 Disember di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 15 dan 16 Disember dan menentang kelab dari Qatar dan Syria serta pertemuan dengan Terengganu pada 31 Disember.

“Semua perancangan untuk musim depan berjalan baik dan pemain kini sedang berlatih di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan, ekoran banjir di Kelantan,” katanya.


Oleh : Bernama
Sumber : Sinar Harian Online - Sukan | Liga Malaysia

"Kritikan Biar Membina." - Ultras Malaya.




Ultras Malaya bersama Banner "Road To London."

“SEBAGAI penyokong kita perlu realistik. Menang atau kalah adat permainan dan kita tidak perlu malu, jika tewas sedangkan pemain sudah memberikan aksi terbaik di atas padang." Itu reaksi wakil Ultras Malaya (UM) Arif Billah Idris selepas menyaksikan skuad Olimpik negara kendalian Ong Kim Swee tewas 2-3 kepada Bahrain pada aksi Kelayakan Olimpik London 2012 di stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

Arif berkata, tindakan pihak tertentu menyelar secara keterlaluan kekalahan Harimau Muda kelmarin, tidak sepatutnya berlaku sebaliknya pihak terbabit perlu melontarkan kritikan membina agar kelemahan dalam skuad muda Kim Swee mampu dibaiki.

“Jika ingin mengkritik sekalipun, biarlah berpada-pada kerana skuad negara juga telah berusaha melakukan yang terbaik pada perlawanan itu.

“Kritikan yang disampaikan perlulah membina dan bukannya terus menghukum pemain seolah-olah mereka tidak pernah mencapai kejayaan sebelum ini.

“Mereka yang mengkritik jika tak mampu nak menyokong ketika kalah, jangan bersorak ketika skuad negara menang,” katanya.

Menyifatkan kekalahan skuad negara kelmarin sesuatu yang positif, Arif menegaskan penyokong tidak perlu rasa malu dengan keputusan itu dan memastikan sokongan berterusan supaya perlawanan akan datang dimanfaatkan sepenuhnya.

“Tercalon dalam peringkat kumpulan sudah cukup memadai kerana kami percaya Olimpik masih terlalu jauh dan sokongan perlu terus diberikan untuk perlawanan akan datang.

“Apa pun, menang atau kalah kami tetap setia di belakang Harimau Malaya,” katanya.

Bagi rekod, Malaysia merupakan satu-satunya negara rantau Asia Tenggara yang layak ke p

Ditulis oleh : Intan Athirah Rebuwang
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Harimau Malaya

Monday, November 28, 2011

Kelantan Laung Amaran Awal.




Imbas Kembali...Kelantan ketika menjuarai Piala Malaysia pada 2010.

JUARA Liga Super musim ini, Kelantan melaungkan amaran awal bukan sahaja mahu mempertahankan kejuaraan dimenangi, tetapi mensasarkan untuk mara ke perlawanan akhir dalam dua lagi pertandingan pada musim hadapan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, sasaran tersebut bukan sekadar omongan kosong kerana berdasarkan pemerhatian, beliau melihat pasukan Kelantan yang dibentuk untuk musim depan, ternyata lebih kuat berbanding pada musim ini.

“Saya fikir dengan persiapan dilakukan dan melihat senarai pemain yang ada sekarang, kita akan menjadi pasukan terkuat di musim hadapan. Sasaran kita mahu ke final dalam semua pertandingan musim hadapan.

“Kita hendak pertahankan kejuaraan Piala Liga Super dimenangi musim ini. Kita mahu ke final Piala FA sekali lagi setelah gagal pada tahun ini, malah kita bersedia ke Bukit Jalil (perlawanan akhir) dalam pertandingan Piala Malaysia, setelah tersingkir awal pada musim ini.

Menurutnya, semua pemain dan jurulatih perlu memenuhi aspirasi ditetapkan, memandangkan mereka dibayar gaji yang lumayan dan pihak KAFA akan melakukan penilaian berdasarkan Prestasi Petunjuk Utama (KPI) ke atas setiap pemain dan pegawai pasukan sepanjang musim depan.

Kelantan kini mengadakan latihan pra-musim di luar Kota Bharu dan mencatat keputusan memberangsangkan dalam tiga perlawanan persahabatan mengalahkan skuad kebangsaan Maldives 2-1, menang 3-0 ke atas Balistier Khalsa FC (Singapura) selain menewaskan pasukan Liga Perdana, ATM menerusi kemenangan 4-2 malam semalam.

Foto : Nick Hafiz
Ditulis oleh : Mazram Idzam Ridzal Mahmud
Sumber : Sinar Harian Edisi Kelantan - Sukan

Ultras Malaya '07 Positif Terima Kekalahan.




Ultras Malaya since 2007.

KESETIAAN Ultras Malaya (UM) tidak perlu diperkenalkan lagi, apabila sentiasa berdiri teguh bersama barisan pasukan negara untuk menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi di samping menyuntik motivasi pemain supaya berusaha mencapai kemenangan.

Kekalahan skuad Harimau Muda ke atas Bahrain 3-2 semalam, bukanlah penamat sokongan Ultras terhadap skuad negara kerana anak-anak didik Ong Kim Swee telah melakukan yang terbaik dalam perlawanan tersebut.

Wakil Ultras, Arif Billah Idris berkata, tercalon dalam peringkat kumpulan juga sudah cukup baik untuk membuktikan skuad bola sepak negara kini sudah berubah dan mampu melangkah lebih jauh.

“Kami terima kekalahan ini secara positif kerana percaya skuad negara mampu melangkah lebih jauh sekiranya peluang akan datang dimanfaatkan sepenuhnya.

“Kami akan terus menyokong skuad negara dan momentum ini akan diteruskan kerana jatuh bangun bola sepak bukan hanya terletak di bahu pemain, tetapi peminat juga harus memikul tanggungjawab itu biarpun pelbagai rintangan dan halangan perlu ditempuh.

“Kami di UM bertekad terus menyatakan sokongan padu pada Harimau Muda dan berkongsi setiap detik tidak kira detik indah, mahupun pahit kerana Malaysia tanah tumpah darah kami,” katanya.

Kehadiran Ultras di stadium sering mencuri perhatian penonton yang sering terjentik untuk turut serta dalam sorakan sokongan yang dilaungkan secara beramai-ramai itu.

Ditulis oleh : Wartawan Sinar Harian
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Harimau Malaya

Disebalik Kekalahan Kepada Bahrain.




Menang dipuji, Kalah dikeji.

Bola Sepak Malaysia macam biasa selalu memainkan perasaan para peminat. Pada perlawanan kelayakan olimpik menentang Bahrain, kita amat perlukan kemenangan untuk membuka peluang kita terus bersaing merebut slot ke peringkat akhir yang akan berlangsung di London 2012. 

Malaysia mendahului perlawanan dengan dua gol dan ketika perlawanan memasuki fasa akhir sebelum wisel panjang ditiup pengadil perlawanan, gawang Malaysia bolos dengan tiga gol dalam masa 5minit.. penonton terkejut dengan gol pantas tersebut, pemain terpinga-pinga seakan-akan hilang punca, pasukan lawan sibuk meraikannya, malah tidak kurang juga pengulas-pengulas sambilan sibuk membuat analisia tentang punca kita tewas. 

Apa pun syabas kepada para pemain, dan syabas juga kepada Ultras Malaya yang sentiasa memberi yang terbaik kepada pasukan kebangsaan. Hari ini, ketika masih dalam mood bermuram durja terpampang di depan akhbar satu tajuk yang agak panas..tak pasti sama ada masalah typo atau sengaja ditulis demikian.

Ok. Tujuan entri ni ditulis bukan untuk membuat analisis perbandingan corak permainan atau taktikal yang tidak sesuai, bab ni jurulatih lebih arif dan lebih mengenali keupayaan setiap pemainnya. Sebagai penyokong dan pemerhati bola sepak tempatan gaya bebas, aku tak salahkan pemain atas kekalahan tersebut; semuanya dah lakukan yang terbaik. 

Pujian harus diberikan kepada barisan pemain yang bertungkus lumus menyerang dan bertahan sebaik mungkin walaupun terdapat beberapa pemain yang belum mencapai tahap prestasi yang sebenar akibat mengharungi jadual perlawanan yang padat.

"Ini adalah harga yang perlu dibayar" kata pengendali pasukan Ong Kim Swee ketika ditemubual oleh wartawan sejurus selepas perlawanan. Macam-macam tafsiran bermain dalam kepala aku apabila mendengar bait-bait keluhan yang terpacul dari jurulatih itu..mungkin kata-kata tersebut ditujukan kepada pihak yang berkenaan di Kelana Jaya yang gagal mentadbir bola sepak Malaysia supaya berada di jalan yang lurus.

Bayangkan sekiranya pasukan yang bertanding di kejohanan Sukan Sea yang lepas adalah pasukan yang berbeza daripada pasukan yang bermain dalam kelayakan olimpik, sekurang-kurangnya masalah kecederaan atau kelesuan pemain dapat dielakkan. Di samping itu, aku percaya akan lebih ramai pemain berbakat akan muncul. sebab apa? sebab pemain yang berbakat ini di beri peluang untuk beraksi. 

Sepatutnya misi untuk layak ke Olimpik perlu diberi keutamaan, tak kisah kalau kita gagal pertahankan pingat emas sukan Sea di sebabkan menghantar skuad Harimau Muda B yang masih kurang pengalaman, tapi tahukah anda bahawa sekurang-kurangnya pasukan ini mendapat pengalaman kerana muka-muka ini lah yang akan menggantikan skuad Harimau Muda A yang ada sekarang dan muka-muka ini lah juga yang akan membawa cabaran yang melibatkan pasukan U-23. Jika tidak di beri peluang sekarang, bila lagi?

Bukannya pihak di Kelana Jaya tersebut tidak tahu bahawa jadual perlawanan akhir sukan Sea dan perlawanan bertemu Syiria adalah sangat hampir, itupun setelah pasukan Syiria bersetuju menunda perlawanan seperti yang sudah berlangsung baru-baru ini. 

Mungkin pihak di Kelana Jaya pun ada alasan-alasan mereka yang tersendiri atas sebab-sebab yang berlaku; seperti yang kita sedia maklum, mereka memang pakar dalam bidang alasan ni! ambil satu contoh alasan yang biasa digunakan: "kita menghantar pasukan harimau muda A bertanding di sukan Sea dan seterusnya kelayakan Olimpik kerana sebagai salah satu pendedahan dan hanya ini saja pemain yang terbaik kita ada.LOL" dengan memberi alasan sebegini, lebih terang lagi bersuluh bahawa perancangan pembangunan bola sepak dari akar umbi yang selalu diuar-uarkan adalah kucar-kacir dan tiada hala tuju yang jelas.

Kita ketandusan pemain-pemain berbakat disebabkan oleh perancangan yang tidak teratur dan perlaksanaan program pembangunan yang tidak telus. Budaya subsidi menular dengan parah sehinggakan nak tengok bola pun bersubsidi; pe cer? Sentuh mengenai plan jangka panjang ni, setiap FA negeri juga bertanggungjawab untuk cari n bangunkan bakat-bakat baru. 

Perkara ini perlu dilakukan melalui akademi-akademi bola sepak yang ditubuhkan di setiap negeri dan perlu wujudkan liga untuk dedahkan pemain-pemain muda ini dengan permainan bola sepak profesional. Tapi apa yang berlaku dalam kebanyakan FA negeri di negara 1malaysia ni? Hancusss...pengurusan kewangan-FAIL.. kebajikan pemain-FAIL.. pastu merungut tak ada syarikat korporat nak taja pasukan-tak patriotik katanya. Jadi buka minda anda melihat realiti bola sepak Malaysia.

Ya, buat masa ni kita merasa menjadi raja asia tenggara..tapi untuk jangka masa 5-10 tahun dari sekarang, ke mana arah tuju kita? adakah kita akan sekali lagi menjadi pasukan belasahan atau hanya sekadar berpuas hati menjadi pelengkap jadual? kalau hanya kerana sedikit kejayaan, tetapi kita mendabik dada seolah-olah tidak perlu berbuat apa-apa lagi kerana kita sudah hebat, aku percaya kita tak akan kemana.


Gambar : KelantanFA.com
Dipetik dari :  Penglipurlara
Credit : Hanif Abdul Aziz

"Jangan Sia-Siakan Sokongan." - Ultras Malaya.




Ultras Malaya.

SHAH ALAM – Peminat-peminat sukan mengakui bahawa bola sepak adalah me­dium terbaik dan mempunyai nilai tertinggi bagi menyatupadukan rakyat Malaysia tidak kira sesiapapun.

Pengendali laman web rasmi Ultras Malaya.net, Ariff Billah berkata, penyokong-penyokong bola sepak yang datang tidak kira kaum dan agama, tetapi boleh bersama atas dasar ikatan sokongan kepada pasukan kebangsaan.

Katanya, walaupun sukan-sukan lain mempunyai sokongan yang serupa, namun bola sepak mempunyai keunikannya tersendiri kerana sukan ini diiktiraf sebagai sukan nombor satu negara dan mempunyai peminat yang cukup ramai.

“Memang bola sepak selama ini adalah pengikat kepada sesiapa. Walaupun penyokong setiap negeri ada, tetapi apabila pasukan Harimau Malaya turun ke padang, semuanya tetap bersama,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya lagi, oleh sebab itu, jangan sia-siakan soko­ngan ini kerana ikatan perpaduan rakyat akan lebih kuat selari dengan peningkatan sukan negara di peringkat dunia.


Ditulis oleh : Wartawan Sinar Harian
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Harimau Malaya

Padah Lalai 10 Minit Terakhir.




Kapten & Penjaga Gol Harimau Muda, Khairul Fahmi Che Mat terbaring kecewa setelah
gagal menepis sepakan percuma bahrain sekaligus menyamakan kedudukan 2 - 2.

LANGKAH ke Olimpik London yang bersinar pada awalnya secara tiba-tiba terpadam dalam tempoh 10 minit terakhir apabila skuad Olimpik negara kecundang buat kali ketiga berturut-turut di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Rembatan pemain muda yang semakin meningkat, Mohamad Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-30 serta jaringan Mahali Jasuli pada babak kedua cukup menceriakan penyokonng tempatan dan Bahrain yang dikendalikan Salman Shareeda kelihatan sudah bersedia untuk pulang hampa.

Mohamad Nazmi Faiz, pemain tengah berusia 17 tahun itu berjaya melepaskan rembatan kencang di luar kotak penalti sekali gus menewaskan penjaga gol pelawat, Ashraf Waheed.

Kegagalan meraih tiga mata berharga itu menyebabkan peluang kini amat tipis untuk menjadi dua pasukan terbaik dari Kumpulan C Kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia.

Jepun yang menewaskan Syria di 2-1 di Stadium Nasional, Tokyo semalam menguasai kumpulan dengan maksimum sembilan mata diikuti Syria (enam mata), Bahrain (tiga mata) dan Malaysia tanpa sebarang mata.Pada perlawanan yang disaksikan kira-kira 30,000 penyokong skuad negara, skuad kendalian Ong Kim Swee jelas menguasai permainan walaupun kehilangan beberapa tonggak utama akibat kecederaan dan penggantungan.

Tahap permainan Bahrain jelas berbeza berbanding Syria, pasukan yang menewaskan Malaysia 0-2 pada Rabu, apabila sering gagal mengawal bola dengan baik.

Situasi terbabit membuka peluang kepada skuad negara kendalian Ong Kim Swee untuk lebih banyak mengawal perlawanan dan melancarkan beberapa serangan berbahaya ke kubu lawan.

Pemain sayap kanan, Wan Zack Haikal Wan Nor sebenarnya berpeluang membuka jaringan awal pada minit kelapan selepas hanya berdepan dengan Ashraf namun sekadar melepaskan rembatan lemah.

Ia diikuti peluang terbuka pelawat menerusi gandingan Sami Mohamed dan Abdul Wahab yang berjaya mengelirukan barisan pertahanan negara yang diketuai Mohd Fadhli Shas namun berjaya dinafikan kapten negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Situasi bertambah sukar untuk pelawat pada babak kedua apabila Fahad Tareq dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan keras ke atas pemain tengah negara, Mohd Affize Faisal Mamat pada minit ke-59.

Kelebihan seorang pemain dimanfaatkan sepenuhnya skuad negara apabila meledak gol kedua menerusi cubaan tonggak pertahanan kanan, Mahali selepas penjaga gol lawan gagal menangkap kemas bola dalam kotak penalti pada minit ke-67.

Namun Bahrain akhirnya mempamerkan kekuatan sebenar apabila mendapat gol pembukaan pada minit ke-81 menerusi pemain gantian, Saad Sazah. Seorang lagi pemain gantian, Isa Ahmed pula meledak dua gol dalam masa dua minit bermula minit ke-84 menewaskan Khairul Fahmi untuk keputusan akhir skuad negara tewas 2-3.

Pesanan Penulis : Kepada skuad Harimau Muda Malaysia, jangan kecewa dengan apa yang berlaku sebaliknya jadikan pengajaran untuk tidak melakukannya di masa hadapan, berjuanglah sehingga ke tiupan wisel penamat...!!! Go Young Tigers...!!! Selamanya Harimau Malaya...!!!

Foto : Dunia Warriors
Sumber : myMetro Online - Arena Sukan

"Tak Tau Nak Cakap Apa." - Ong Kim Swee.




MURUNG...pemain Harimau Muda murung setelah tewas kepada Bahrain 2-3.

PENGENDALI skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee jelas kecewa selepas menyaksikan anak-anak buahnya kecundang pada 10 minit terakhir Kelayakan Olimpik Zon Asia kepada Bahrain, semalam.

Tiga gol dilepaskan itu membolehkan pelawat yang beraksi dengan 10 pemain memenangi perlawanan dengan keputusan 3-2 walaupun mendahului dua jaringan pada awalnya.

“Saya tidak tahu bagaimana mahu cakap. Lima minit, semuanya berubah. Saya terpaksa menerima hakikat skuad ini tidak mempunyai ramai pemain tengah,” katanya.

Tambahnya, barisan pemain muda negara kehilangan kawalan selepas penjaring gol pertama, Mohamad Nazmi Faiz Mansor dan rakannya di jentera tengah, Mohd Affize Faisal Mamat dikeluarkan kerana kecederaan. 

“Lawan bergerak dengan selesa selepas ketiadaan mereka (bermula minit ke-60), kita hilang kawalan pada bahagian tengah. 

“Manakala Irfan Fazail terpaksa menamatkan perlawanan walaupun mengalami kecederaan (sudah melakukan tiga pertukaran),” katanya. 

Sementara itu pengendali Bahrain, Salman Shareeda berkata adalah sesuatu yang menakjubkan apabila bangkit mencatatkan kemenangan pertama selepas tewas pada dua perlawanan sebelum ini.

“Sebelum datang ke sini saya sudah menyatakan kepada pemain bahawa Malaysia adalah sebuah pasukan yang bagus dan perlu bersedia. Saya gembira kerana ini kemenangan pertama kami,” katanya.

Tambahnya walaupun kehilangan seorang pemain kerana mendapat kad merah, beliau melakukan pertukaran yang membuahkan hasil apabila mengeluarkan dua pemain tengah bertahan dan memasukkan dua pemain tengah menyerang.

“Nyata ia membuahkan hasil. Pada pandangan saya, kedua-dua pasukan menang hari ini kerana mempamerkan permainan yang bagus serta jarang satu perlawanan kita dapat saksikan lima jaringan dilakukan,” katanya.

Ditulis oleh : Azlan Muhammad Zain
Sumber : myMetro Online - Arena Sukan

Bahrain Malukan Harimau Muda.




Pemain pertahnan Harimau Muda, Zubir Azmi diasak oleh pemain Bahrain
dalam aksi Kumpulan C Kelayakan Olimpik London 2012 semalam di SNBJ.

TIGA gol pasukan lawan dalam tempoh enam minit mengundang padah buat Harimau Muda apabila tewas 2-3 kepada Bahrain pada aksi Kumpulan C kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Lebih mendukacitakan, anak-anak buah Ong Kim Swee gagal menggunakan kelebihan dua gol sekalipun Bahrain terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain setelah Fahad Tareq Showaiteb dilayangkan kad merah pada awal babak kedua.

Ternyata beraksi di depan lebih 40,000 penyokong sendiri bukannya kelebihan buat Harimau Muda yang mungkin sudah boleh melupakan impian untuk menjejakkan kaki ke bumi London tahun depan.

Percaturan jurulatih Bahrain, Salman Shareeda yang membawa masuk dua penyerang gantian, Saad Salah Al-Amer dan Isa Ahmed Muthanna, dalam tempoh 10 minit membuahkan hasil apabila kedua-dua pemain itu meledak ketiga-tiga gol pasukan pelawat.

Bahrain terlebih dahulu menguji gawang negara apabila rembatan Mohamed Ali Tayeb Al-Alawi terus ke dakapan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat seawal minit kedua.

Tersentak dengan asakan itu, Harimau Muda yang kembali mengatur gerak, namun rembatan Wan Zack Haikal Wan Nor hasil hantaran cantik satu dua bersama Irfan Fazail, mudah dibaca penjaga gol pelawat, Ashraf Waheed Al-Sebaie lima minit kemudian.

Gol pendahuluan Harimau Muda akhirnya menjelma apabila rembatan deras kaki kiri Nazmi Faiz Mansor dari luar kotak penalti terus menerjah jaring Bahrain pada minit ke-30.

Jaringan itu ternyata menambah tonik Harimau Muda apabila berterusan menggandakan asakan, namun tandukan Mohamed Amer Saidin sedikit melewati palang gol hasil sepakan penjuru Mahali Jasuli pada minit ke-37.

Sebaik babak kedua bersambung, Bahrain dilihat semakin tertekan apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah Fahad dilayangkan kad merah gara-gara mengasari Mohd. Affize Faisal Mamat pada minit ke-58.

Peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya Harimau Muda yang berjaya menggandakan kelebihan apabila kesilapan mudah Ashraf Waheed yang gagal menangkap kemas bola hantaran lintang Mohd. Fandi Othman dihukum Mahali Jasuli yang tenang menyambar bola muntah untuk gol kedua pada minit ke-66.

Bahrain yang tidak berputus asa berjaya merapatkan kedudukan apabila sepakan gunting Saad Salah terus menerjah gawang Harimau Muda pada minit ke-80.

Gegak gempita di Stadium Nasional, Bukit Jalil akhirnya bertukar sunyi sepi apabila Isa Ahmed berjaya menjaringkan dua gol pantas dalam tempoh dua minit bagi memastikan tiga mata berharga buat Bahrain.

Cubaan Harimau Muda untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan tidak berhasil apabila Mohd. Ferris Danial Mat Nasir yang tidak dikawal gagal menyambut hantaran Mahali pada masa kecederaan.

Ia merupakan kekalahan ketiga berturut-turut buat Harimau Muda dalam saingan kelayakan Olimpik selepas tewas 0-2 dalam dua-dua perlawanan menentang Jepun dan Syria sebelum ini. 

Dengan keputusan itu, Harimau Muda kini kekal di tangga tercorot Kumpulan C, sementara Jepun kekal menerajui takhta apabila menjinakkan Syria 2-1 di Stadium Olimpik Nasional, Tokyo semalam.

Ditulis oleh : Nan Hidayat Nan Azmie, Ahmad Fazli Mohd Yadi
Sumber : Kosmo! Online - Sukan

Sunday, November 27, 2011

Siapa Bakal Julang Anugerah Supermokh MVP..???




Apex bakal menjadi pilihan untuk
Anugerah Supermokh MVP.

NAMA bekas penyerang tersohor negara, Allahyarham Mokhtar Dahari akan diabadikan dalam anugerah paling berprestij bagi pemain bola sepak profesional negara.

Anugerah Pemain Paling Bernilai yang bakal diberikan pada anugerah tahunan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100-Plus-Astro Arena-FAM akan dikenali sebagai Anugerah Supermokh MVP (Anugerah Pemain Paling Bernilai Supermokh).

Untuk anugerah tahun ini, penerima tahun lalu Norshahrul Idlan Talaha dan rakan sepasukannya dari Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat serta pemain Selangor, Safiq Rahim akan bersaing bagi menjulang anugerah berprestij itu yang bakal berlangsung pada 30 November ini.

Senarai calon telah diumumkan semalam selepas semua undian bagi pelbagai kategori dikira dan dimuktamadkan, manakala pemenang-pemenang akan diumumkan pada majlis penyampaian anugerah pada 30 November.

Untuk tahun ini, kesemua ketua juru- latih Liga Perdana dan Liga Super mencalonkan pemain mereka yang menunjukkan aksi cemerlang dalam pelbagai kategori.

Seperti yang dijangkakan, kebanyakan pemain yang tersenarai datang dari pasu- kan yang cemerlang pada musim ini termasuk juara liga, Kelantan, juara Piala FA, Terengganu dan juara Piala Malaysia, Negeri sembilan.

Penjaring pada aksi akhir Piala Malaysia 22011, Mohd. Hairuddin Omar turut disenarai bagi merebut Anugerah Penyerang Terbaik.

"Jurulatih dari pelbagai pasukan memerhati pemain mereka sepanjang musim ini dan mereka berada di posisi terbaik untuk memilih pemain yang layak menerima anugerah tersebut," ujar Pengurus perhubungan Koperat F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd., Cariessa Goh.

Menurutnya, beliau percaya semua peminat bola sepak tidak sabar untuk mengetahui siapa yang akan menerima anugerah berprestij tersebut pada tahun ini.

Sumber : Kosmo! Online - Sukan

Wan Zack Ikrar Robek Gawang Bahrain.




Wan Zack Haikal, baru lepas sembuh dari kecederaan.

Kami tidak gentar berdepan lawan. Itu reaksi penyerang skuad Olimpik negara, Wan Zack Haikal Wan Nor menjelang perlawanan ketiga peringkat Kumpulan C Kelayakan Olimpik 2012 menentang Bahrain, malam ini.

Katanya, mereka akan menggunakan kelebihan bermain di gelanggang sendiri untuk memerangkap lawan sekali gus mengutip tiga mata berharga yang terlepas Rabu lalu, ketika tewas 0-2 kepada Syria.

Malah katanya, kelebihan fizikal yang dimiliki pemain Bahrian bukan alasan untuk mereka tidak menampilkan aksi terbaik.

“Seperti yang kita tahu, pemain Bahrain memiliki kelebihan fizikal berbanding pemain Malaysia, namun tidak semestinya kemenangan berpihak kepada mereka.

“Jika kami bermain dengan taktikal yang betul dan ditambah dengan semangat juang tinggi, tidak mustahil kami mampu mengecewakan lawan,” katanya yang optimis skuad Harimau Muda mampu menundukkan pasukan kendalian Salman Sharida itu di hadapan penyokong sendiri.

Ditulis oleh : Iqlil Dhania Mohamad
Sumber : Sinar Harian Online - Sukan | Harimau Malaya

Malaysia Mahu "Pulun" Bahrain.




Kim Swee memberi taklimat kepada barisan pemainnya menjelang pertemuan
dengan Bahrain malam ini.

MALAYSIA akan tampil dengan corak menyerang dalam usia memburu tiga mata penuh pada aksi menentang Bahrain pada saingan Kumpulan C Kelayakan Olimpik 2012 peringkat Zon Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

"Kami akan terus menyerang sebaik wisel permulaan dibunyikan dengan harapan dapat meraih jaringan awal," jelas jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim swee.

Menurutnya, di sebalik menggunakan corak menyerang terhadap pasu- kan hebat seperti Bahrain, beliau juga tidak mahu barisan pertahanannya leka dengan membuat kesilapan kecil seperti yang berlaku pada aksi menentang Syria, Rabu lalu.

"Saya tetap mengutamakan aspek pertahanan dan sering mengingatkan semua pemain agar cuba mengelak daripada melakukan kesilapan.

"Jurang antara kita dengan pasukan-pasukan dari Asia Barat tidak begitu jauh. Oleh sebab itu, saya yakin kita mampu mencapai satu keputusan positif pada malam esok (hari ini)," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Meskipun Kim Swee kini mempunyai banyak pilihan pemain untuk disenaraikan dalam kesebelasan utamanya, namun beliau masih belum memutuskan siapa yang bakal diberi kepercayaan mengetuai jentera serangan.

Apa yang pasti, A. Thamil Arasu bakal sekali lagi diberi kepercayaan sambil Muhd. Nazmi Faiz Mansor akan kembali menerajui bahagian tengah. Khidmat pemain pertahanan, Mohd. Muslim Ahmad mungkin tidak dapat digunakan kerana pemain terbabit masih mengalami kecederaan hamstring.

"Muslim dijangka tidak dapat beraksi ekoran masalah kecederaan hamstring yang dihadapinya ketika menentang Syria pada Rabu lalu," katanya.

Tambahnya, beliau masih mempunyai pilihan untuk menggantikan posisi Muslim dan Amer Saidin yang beraksi cemerlang pada aksi menentang Syria bakal diberi kepercayaan.

Namun, pada masa yang sama, Kim Swee mengakui kehilangan khidmat perancang utama negara dan kapten Sukan SEA 2011, Baddrol Bakhtiar, 23, yang tidak dapat beraksi berdasarkan faktor umur.

"Ketiadaan Baddrol amat dirasai oleh kami, namun kami tidak mahu mengambil itu sebagai satu alasan, malah terus berazam untuk memburu kemenangan pertama di hadapan penyokong sendiri," ujarnya.

Sementara itu, jurulatih Bahrain, Shareed mengakui bukan satu tugas yang mudah untuk mencuri tiga mata berharga di Stadium Nasional pada malam ini. Katanya, meskipun menyedari Malaysia akan berjuang habis-habisan, beliau tetap optimis untuk memburu kemenangan pertama bagi menghidupkan peluang kembali untuk bersaing di dalam peringkat kumpulan.

"Malaysia satu pasukan yang sangat bagus. Corak permainan mereka sangat pantas dan memiliki barisan pertahanan yang sangat kukuh," katanya.

Ditulis oleh : Ahmad Fazli Mohd Yadi, Mohd Ikhsan Firdaus Azmi
Sumber : Kosmo! Online - Sukan

Mesti Tumpaskan Bahrain Malam Ini.




Jurulatih skuad Olimpik Negara, Ong Kim Swee.

SKUAD Olimpik negara tiada sebarang pilihan kecuali perlu mencatat kemenangan ke atas pasukan Bahrain dalam aksi ketiga Kelayakan Sukan Olimpik Londin 2012 peringkat Kumpulan C di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Pengendali pasukan, Ong Kim Swee berkata, andai anak didiknya gagal mengatasi pasukan Timur Tengah itu, peluang ke peringkat seterusnya boleh dianggap sudah tertutup.

“Kami sudah kalah dalam dua perlawanan terdahulu. Jadi, pertemuan dengan Bahrain amat penting bagi membuka peluang kami mengintai slot ke London.

“Saya lihat, gaya permainan pasukan Bahrain sama seperti Syria, tidak banyak bezanya. Mereka gemar bermain laju dan mengamalkan corak hantaran jauh. Jadi, setiap pemain harus berhati-hati ketika berdepan mereka malam ini,” katanya di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam.

Sementara itu, Kim Swee berkata, pemain kini dalam keadaan lebih cergas kecuali Muslim Ahmad, Irfan Fazail dan Syahrul Azwari Ibrahim yang masih belum 100 peratus sembuh daripada kecederaan.

“Kita akan tunggu sehingga esok (hari ini), jika mereka tidak turun menjalani latihan, berkemungkinan bakal disisihkan,” katanya.

Malaysia dijangka bermain secara menyerang dalam usaha memburu gol awal, sekali gus merakam kemenangan pertama peringkat kumpulan, selepas tewas kepada Jepun dan Syria.

Dalam pada itu, jurulatih Bahrain, Salman Shareeda bertekad meraih tiga mata daripada pasukan negara selepas turut kalah dua perlawanan sebelum ini.

Ditulis oleh : Mohd Fahmi Ismail
Sumber : Sinar Harian Online - Sukan | Harimau Malaya