Apex pikul tugas berat. |
“TIDAK dinafikan kami sedikit hilang fokus dalam perlawanan menentang Laos kelmarin, namun, kami tidak memandang rendah dengan keupayaan skuad kendalian Hans-Peter Schaller itu,” kata penjaga gol utama skuad Bawah 23 negara, Khairul Fahmi Che Mat.
Semalam, pengendali pasukan, Ong Kim Swee menggesa anak buahnya segera menghakis sikap gemar ambil mudah kemampuan lawan, walaupun berjaya mencatat kemenangan besar 4-1 dalam perlawanan persahabatan menentang Laos di Stadium Shah Alam.
Khairul Fahmi yang lebih dikenali sebagai Apex berkata, perasaan teruja dan keinginan yang kuat untuk mempamerkan aksi cemerlang bagi mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama ke Sukan Sea 2011 Jakarta mungkin menjadi penyebab mengapa mereka dilihat seolah-olah hilang fokus pada separuh masa pertama perlawanan.
“Masing-masing (pemain) ingin menunjukkan yang terbaik kerana tahu mereka akan dinilai. Malah Laos pula merupakan antara finalis Sukan Sea yang lalu, jadi adalah mustahil bagi kami untuk menidakkan keupayaan mereka,” katanya yang percaya setiap kritikan yang diberikan oleh Ong Kim Swee adalah bertujuan untuk memperbaiki kelemahan pasukan.
Dalam perkembangan lain, Apex tetap bersikap realistik ketika ditanya mengenai pujian daripada Hans-Peter Schaller yang menganggap Malaysia antara pasukan pilihan untuk menjuarai pingat emas bola sepak dalam temasya dwitahunan itu, Isnin depan.
Tidak mahu terus dibuai dengan kemenangan-kemenangan lalu, penjaga gol sensasi negara itu menyifatkan misi mempertahankan pingat emas bagi acara bola sepak Sukan Sea bukanlah sesuatu yang mudah.
“Walaupun gembira dengan pujian yang diberikan, namun kita tidak boleh berada dalam zon selesa kerana segala kemungkinan bakal berlaku apabila berada di atas padang kelak. Oleh itu, kami perlu bekerja lebih keras untuk mengekalkan momentum kejuaraan.
“Ini kerana, misi mempertahankan kejuaraan adalah lebih sukar jika dibandingkan dengan misi memburu kejuaraan,” katanya yang menjangkakan persaingan sengit dalam perlawanan pertama saingan Sukan Sea 2011 bertemu Singapura pada 7 November sebelum berdepan Thailand, Kemboja dan Indonesia dalam Kumpulan A.
Sumber : Sinar Harian Online - Sukan
Sumber : Sinar Harian Online - Sukan
No comments:
Post a Comment