Wednesday, November 16, 2011

Cemuhan Supporters Indonesia Jadi Motivasi.




Pemain skuad U23 mendengar penerangan dari jurulatih Ong Kim Swee.

MESKIPUN menerima pelbagai serangan psikologi dari penyokong tuan rumah, skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara tidak sedikitpun gentar, malah menjadikan suara-suara sumbang yang mengejek dan mencaci mereka sebagai seruan semangat untuk menampilkan aksi terbaik di atas padang.

Akan bertemu dengan pasukan Garuda malam esok, pengurus pasukan, Datuk Hamidin Mohd Amin melihat skuad kendalian Ong Kim Swee itu sudah bersedia sepenuhnya selepas berjaya mencatat rekod tanpa kalah aksi peringkat kumpulan menentang Singapura, Thailand dan Kemboja.

“Mereka (Indonesia) mempunyai kelebihan bermain ditempat sendiri serta sokongan dari jutaan penyokong yang akan membanjiri Stadium Gelora Bung Karno esok, namun itu tidak menjadi sebarang masalah buat pemain kerana mereka telah sedia maklum mengenai situasi yang bakal diterima oleh mereka sebelum menjejakkan kaki ke sini (Jakarta) lagi.

“Saya yakin pemain dapat menyerap semua tekanan sama ada di dalam mahupun di luar padang, untuk memberikan aksi terbaik kerana mereka berjaya membuktikan yang provokasi serta cemuhan dari penyokong tegar tuan rumah itu hanya sekadar omong kosong selepas berjaya mencatatkan prestasi baik dalam tiga perlawanan sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Berada ditangga pertama kumpulan dengan sembilan mata, Indonesia kini sedang mencongak untuk bergelar juara Kumpulan A sebelum melangkah ke saingan separuh akhir dalam misi merebut pingat emas yang dimenangi skuad negara di kejohanan sama pada 2009 di Laos. 

Walaupun dilihat tidak perlu bersusah payah untuk mencari slot ke separuh akhir pada aksi terakhir Kumpulan A nanti, Hamidin menyifatkan peluang kedua-dua pasukan untuk mencipta kemenangan sebagai 50-50.

Mahu skuad negara bersaing habis-habisan dalam pertemuan esok, Hamidin yakin, anak buah Kim Swee yang diantaranya mempunyai pengalaman menentang Indonesia semasa kejohanan Piala AFF Suzuki tahun lalu, memiliki senjata tersendiri untuk menentang musuh tradisi itu.

“Memang ada ketika kita menghadapi saat genting dalam perlawanan termasuk pelbagai masalah sampingan seperti keadaan padang yang tidak sempurna, namun itu tidak menjadi sebarang masalah kepada pemain kerana mereka dapat menyesuaikan diri dengan pantas,” katanya.

Esok, skuad negara hanya perlu mencatatkan keputusan seri untuk layak ke separuh akhir. Singapura pula perlu mencatatkan kemenangan besar (jika Malaysia seri), sekurang-kurangnya 4-0 ke atas Thailand untuk layak.

Sumber : Sinar Harian Online - Sukan

No comments:

Post a Comment