Apex dan rakan - rakan meraikan kejayaan memenangi Pingat Emas. |
JAKARTA - Anak buah Ong Kim Swee sekali lagi memalit arang di muka skuad Garuda dan me-ngecewakan 100,000 penyokong Merah Putih yang membanjiri segenap ruang stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta pada pertemuan penuh debar acara bola sepak Sukan Sea 2011, semalam. Harimau Muda mengulangi kejayaan membenam Indonesia pada aksi peringkat Kumpulan A, Khamis lalu.
Kemenangan itu sekali gus memastikan Malaysia mempertahankan kilauan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu di Laos. Perlawanan akhir ini seolah-olah mengulangi final tahun 1979 di padang sama apabila Malaysia berjaya menewaskan Indonesia hasil jaringan legenda bola sepak tanah air, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari ataupun lebih dikenali dengan nama SuperMokh.
Penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat muncul wira selepas menidakkan dua sepakan penalti Indonesia yang diambil Gunawan Dwi Cahyo dan Ferdinand Sinaga selepas perlawanan terikat 1-1 selepas masa tambahan. Tekanan semakin dirasai skuad negara selepas penyerang, Ahmad Fakri Saarani gagal menyempurnakan sepakan ketiga apabila sepakan lemahnya mudah ditangkap penjaga gol, Kurnia Meiga.
Pada perlawanan lebih 120 minit itu, Malaysia ketinggalan seawal minit ke-5 menerusi jaringan Gunawan Dwi Cahyo selepas mudah menanduk masuk bola hantaran sepakan sudut ketua pasukan, Egi Malgiansyah. Tersentak dengan jaringan itu, anak buah Kim Swee terus mengatur serangan ke arah pintu gol Indonesia untuk memburu gol penyamaan.
Permainan mantap dan tenang barisan pemain Harimau Muda wajar mendapat pujian walaupun keletihan namun terus bersemangat untuk melenyapkan sorakan ratusan ribu penyokong Indonesia yang sering kali melakukan ejekan dan provokasi kepada skuad negara. Pada minit ke-12, pemain pertahanan Asraruddin Putra Omar hampir menyamakan kedudukan namun tandukannya berjaya ditolak keluar Meiga.
Para pemain Malaysia menyanyikan Lagu Negaraku. |
Peluang terbaik Malaysia hadir pada minit ke-52 namun kegopohan Irfan melepaskan percubaan lemah menyebabkan Kim Swee tidak senang duduk. Malaysia sekali lagi melepaskan peluang keemasan pada minit ke-63 apabila Fakri yang melepasi perangkap offsaid melepaskan tendangan liar meskipun hanya berdepan penjaga gol tuan rumah.
Pada 20 minit terakhir Harimau Muda dan Garuda saling melakukan serang balas namun gagal memecah kebuntuan sehingga perlawanan terpaksa dilanjutkan ke masa tambahan. Namun skrip sama terjadi pada masa tambahan sehingga penentuan sepakan penalti terpaksa diambil bagi menentukan juara temasya kali ini. Kemenangan Malaysia semalam berjaya mengembalikan maruah negara dan merobek ego penyokong Indonesia.
Ditulis oleh : Afdah Mujap, Iqlil Dhania Mohamad
Sumber : Sinar Harian Online - Sukan
No comments:
Post a Comment