Thursday, February 16, 2012

Butler Tetap Pertahan Kelantan.





BALABAN (tengah) cuba meloloskan diri daripada kawalan dua pemain Kelantan
di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin.


KEKALAHAN pertama yang direkodkan Kelantan musim ini selepas tewas 1-2 kepada Selangor pada saingan Liga Super di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin ternyata merencatkan momentum gergasi Pantai Timur itu.

Diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan tersebut ketika mereka berada dalam mood yang cukup baik selepas menewaskan jiran tetangga, Terengganu, Sabtu lalu, skuad The Red Warriors dilihat gagal mempamerkan aksi sebenar di gelanggang lawan kelmarin.

Bagaimanapun, pengendali Kelantan, Peter James Butler masih lagi tenang dan tetap mempertahankan para pemainnya yang disifatkan beraksi lebih bagus, namun nasib tidak menyebelahi mereka.

Menurutnya, sepanjang 20 minit pertama, Kelantan kerap mengancam kubu Selangor dan mencipta beberapa gerakan berbahaya, namun ketumpulan jentera hadapan menggagalkan usaha mencipta jaringan.

“Dalam bola sepak, kekalahan adalah suatu yang biasa dan semalam (kelmarin), ia kekalahan kita yang pertama dan kita menerimanya. Kekalahan ini memberi saya peluang untuk melakukan penilaian terhadap pemain.

“Saya tahu ia suatu yang me- ngecewakan bagi seluruh peminat (Kelantan) tetapi peminat juga harus mengetahui saya juga sangat kecewa,” kata Butler ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tambahnya, kesilapan yang dilakukan barisan pertahanan memberi peluang kepada Selangor menjaringkan gol pertama menerusi Safiq Rahim. Keghairahan mencari gol penyamaan menyebabkan para pemain saya terperangkap dan terpaksa melepaskan gol kedua,” jelasnya.

Butler berkata, jentera penggempurnya tidak berfungsi dengan baik dan beliau tidak menolak kemungkinan faktor keletihan selepas berhempas pulas menewaskan Terengganu tempoh hari merupakan antara penyebab mereka beraksi hambar.

Mengulas mengenai dua pemain import baharunya, Butler memberitahu, Obinna Nwaneri masih dalam proses mencapai tahap kecergasan yang optimum, manakala Nwoha Onyekachi pula dalam pemantauannya dan belum mencapai prestasi sebenar.

“Beberapa usaha yang lebih keras perlu dilakukan dalam persiapan menentang Sarawak pada aksi Piala FA Sabtu ini, dan saya mahu pemain lebih fokus dan melupakan kekalahan malam tadi (kelmarin).

“Perjalanan masih banyak, ia bukan suatu yang sudah berakhir selepas perlawanan menentang Selangor. Kita pasti akan bangkit dan mempamerkan permainan sebenar selepas ini,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai ‘ribut’ yang melanda kem The Red Warriors kononnya beliau akan meletak jawatan ekoran tekanan daripada beberapa pihak, Butler menafikan mengenai perkara tersebut.

“Saya tidak tahu dan tidak pasti dari mana cerita ini timbul. Saya punya reputasi yang baik di sini (Kelantan) dan saya tidak ada masalah dengan pemain atau pihak pengurusan.

“Tetapi sekiranya mereka (pihak pengurusan) tidak senang dengan saya, mereka boleh melakukannya (memecat) tetapi mereka kena tahu saya sentiasa bekerja keras dan memberikan yang terbaik untuk pasukan,” jelasnya.

Ditulis oleh : Khairi Mohamad
Sumber : Kosmo! Online - Sukan

Wednesday, February 15, 2012

Rekod Tanpa Kalah Kelantan Lebur.





Pemain Selangor meraikan kejayaan menewaskan Kelantan 2-1.


PENAMPILAN sulung pemain import Selangor dari Croatia, Bosko Balaban nyata menjadi apabila menjaringkan satu gol membantu menewaskan Kelantan 2-1 pada saingan Liga Super di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Dua gol Selangor dijaringkan Mohd Shafiq Rahim pada minit ke-46 sebelum Selangor melebarkan cengkaman gol melalui Bosko Balaban pada minit ke-61 yang bijak melepasi perangkap offside sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol pelawat, Khairul Fahmi Che Mat.

Gol sagu hati pelawat diperolehi pada minit ke-91 melalui Subramaniam yang menolak masuk bola dalam keadaan kelam kabut di depan gawang gol tuan rumah.

Selangor memulakan gerakan untuk mencari gol pendahuluan melalui beberapa serangan dijelmakan oleh Safiq yang melorongkan bola kepada jentera pemusnah baru mereka yang berjaya mengawal bola dan membuat hantaran, namun gagal di sudah rakan.

Kelantan turut mencipta beberapa peluang melalui Norshahrul Idlan Talaha bersama gandingannya Indra Putra Mahyudin namun hampa apabila benteng pertahanan dikawal Ramez Dayoub bijak membaca hantaran.

Selepas seminit babak kedua bermula, Selangor akhirnya memperolehi jaringan pendahuluan melalui rembatan Shafiq di luar kotak penalti yang terus menerjah jaring kiri gol pelawat menewaskan Khairul Fahmi.

Tersentak dengan jaringan berkenaan Kelantan melakukan serangan bertali arus dan mempunyai beberapa peluang terhidang namun sekali lagi gagal memecah kebuntuan mendapatkan gol penyamaan.

Ketika Kelantan ghairah melancarkan serangan memburu gol penyamaan, tindakan Shafiq yang melambungkan bola pada minit ke-61 kepada Bosko yang berjaya melepasi perangkap offside melebarkan jaringan selepas Bosko melepaskan rembatan menewaskan Khairul Fahmi.

Kelantan akhirnya mendapat gol sagu hati pada minit ke-91 apabila Subramaniam menolak masuk bola bola ketika situasi kelam kabut di hadapan gawang Selangor. Usaha pelawat untuk mendapatkan gol penyamaan nyata tidak kesampaian apabila terpaksa berpuas hati dan menerima kekalahan pertama dalam Liga Super 2012.

Ditulis oleh : Subkhi Sudaji
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia

Tuesday, February 14, 2012

Apex Janji Tak Bolos.





Khairul Fahmi Che Mat.


KOTA BHARU – Penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat berjanji mahu memastikan gawang golnya tidak dibolosi ketika Kelantan bertemu musuh tradisinya, Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Khairul Fahmi atau dikenali Apex tidak melepaskan sebarang gol sepanjang aksi 270 minit dalam tiga perlawanan lalu. Namun beliau gagal mempertahankan rekod tersebut, apabila gawang golnya bolos menerusi jaringan Abdul Manaf Mamat pada masa tambahan ketika The Red Warriors menewaskan Terengganu 2-1 di Kota Bharu Sabtu lalu.

“Saya tahu pertemuan menentang Selangor sememangnya menjanjikan aksi sengit bagi kedua-dua pasukan dan saya sudah bersedia 100 peratus untuk memastikan pintu gol Kelantan tidak dibolosi malam ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Namun semua itu tidak dapat dilakukan sekiranya tanpa bantuan daripada rakan sepasukan yang lain. Jadi saya berharap rakan sepasukan terutamanya dibenteng pertahanan bekerja keras mengekang asakan pemain Selangor.

Penjaga gol utama kebangsaan berusia 23 tahun itu berkata, pasukan yang terkenal dengan jolokan Red Giants itu sudah pasti mahu bangkit daripada terus mempamerkan aksi hambar dan berazam menjadikan Kelantan sebagai mangsanya dalam pertemuan ini.

“Kita tahu Selangor dikalahkan oleh PKNS FC 2-0 dalam pertemuan terakhir tempohari. Sudah pasti mereka tidak mahu kecundang lagi dan kita kena berhati-hati serta tidak terperangkap dengan percaturan taktikal pasukan mereka.

“Kita tidak ada pilihan selain perlu menewaskan Selangor malam ini andai mahu terus mengukuhkan kedudukan di persada liga. Kita tidak boleh tercicir mata kerana dua pencabar terdekat iaitu Perak dan Terengganu sentiasa memberi tekanan kepada kita,” katanya.

Pada masa sama, Apex turut melaungkan keazaman untuk memberikan fokus sepenuhnya ketika turun beraksi malam ini meskipun dihimpit pelbagai kontroversi termasuk terbaru insiden simbahan cat hitam di pejabatnya, Khairul Fahmi Resources (KFR) Sdn Bhd di Jalan Sri Cemerlang, dekat sini semalam.

“Sama ada gosip atau apa-apa fitnah yang dilemparkan selama ini, semuanya saya tolak ke tepi. Semua perkara itu tidak ada dalam minda saya setiap kali beraksi di atas padang. Saya hanya mahu fokus mengenai kerjaya saya selaku penjaga gol Kelantan.

“Mengenai insiden simbahan cat hitam itu, saya sudah membuat laporan polis. Jadi saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Foto oleh : Shazli @ Dunia Warriors
Ditulis oleh : Wartawan Sinar Harian
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia

TRW Mahu Kecewakan TRG.





Aksi Amri & Piya ketika perlawanan sumbangsih 2011.


KOTA BHARU – Tiada belas kasihan, sebaliknya pendahulu liga, Kelantan bersedia untuk menghadirkan sekali lagi kekecewaan kepada Selangor, apabila kedua-dua musuh utama bola sepak tempatan itu berentap dalam perlawanan Liga Super di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Meskipun menyedari Selangor ibarat harimau terluka gara-gara dimalukan kekalahan 0-2 oleh pasukan adik, PKNS FC tempohari, namun bagi The Red Warriors jelas tidak ada sedikit pun belas kasihan diberikan kepada musuh tradisinya itu untuk bangkit mencatatkan­ ­kemenangan dalam pertemuan ini.

Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim berkata, tidak ada sebab untuk pasukannya tidak dapat menumbangkan Gergasi Merah itu, jika aksi yang dipamerkan ketika membenamkan musuh tradisinya, Terengganu tempohari dipamerkan pada pertemuan malam ini.

“Selain Terengganu, permusuhan kita dengan Selangor sebenarnya tidak dapat dielakkan. Tidak sah jika kita tidak bertemu Selangor dan ia seumpama kita menjulang kejuaraan sekiranya dapat menewaskan mereka malam ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian sebelum berlepas ke ibu negara semalam.

“Perlawanan ini bukan sahaja ditunggu barisan pemain malahan penyokong setia kedua-dua pasukan. Begitupun saya mengingatkan pemain kita supaya tidak mengambil mudah perlawanan ini.

“Rekod musim lalu membuktikan ia berpihak kepada kita namun itu sudah menjadi sejarah. Malam ini cerita lain dan sudah pasti Selangor mahu membuktikan mereka masih sebuah pasukan yang kuat meskipun mempamerkan aksi hambar pada awal saingan liga musim ini,” katanya.

Menurutnya, skuad kendalian Peter Butler tetap menampilkan barisan terkuat bagi menghadapi Selangor meskipun turun tanpa tonggak pertahanan, Mohd Daudsu Jamaluddin yang terpaksa diketepikan kerana menjalani hukuman penggantungan satu perlawanan.

“Tempat beliau akan diisi oleh Mohd Farisham (Ismail) di posisi bek kanan itu. Sementara itu, Mohammed Ghaddar yang masih belum pulih daripada kecederaan kecil tetap menyertai rakan pasukan ke ibu negara,” katanya.

Pada masa sama, Azman jelas tidak mahu memikirkan mengenai percaturan taktikal di kem Selangor, yang sudah pasti kehilangan khidmat pemain import barunya, Bosco Balaban yang difahamkan masih gagal memperoleh Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) daripada kelab lamanya setakat ini.

“Sama ada Balaban diturunkan atau tidak itu bukan masalah kepada kita. Bukan dia yang menjadi perhatian tetapi kelibat pemain seperti Mohd Amri (Yahyah) yang perlu disekat oleh benteng pertahanan kita,” katanya.

Ditulis oleh : Maram Idzam Ridzal Mahmud
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia

Apex Tidak Tergugat.





Setakat ini Apex tetap konsisten walaupun dihujani dengan pelbagai kontroversi.


PENJAGA gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat mengakui tidak tergugat dengan pelbagai kontroversi dikaitkan dengan dirinya baru-baru ini dan akan memastikan gawang The Red Warrios tidak dibolosi ketika berdepan Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek berkata, dia sudah lali dengan kontroversi dan tidak pernah membawa masalah peribadi ke padang ketika beraksi dalam kejohanan antarabangsa mahupun liga tempatan.

“Saya akan pastikan segala perkara yang tiada kaitan dengan bola sepak ditinggalkan di luar padang sebelum perlawanan bermula dan sentiasa berdoa supaya berjaya membantu pasukan.

“Untuk perlawanan dengan Selangor, saya harap Kelantan berjaya mengutip tiga mata di tempat lawan,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, semalam.

Menurut Khairul Fahmi, kontroversi itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus berjaya dalam kerjaya sebagai penjaga gol nombor satu negara, malah menganggap apa yang berlaku itu membantu mematangkannya.

“Walaupun ada kalanya terkilan, saya kuatkan semangat untuk memberi persembahan terbaik kepada pasukan kebangsaan dan negeri,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan, Peter James Butler berharap anak buahnya mampu mengulangi kejayaan menewaskan Terengganu di Kota Bharu, Sabtu lalu selain optimis Kelantan, mampu meraih kemenangan.

“Saya harap kemenangan ke atas Terengganu akan menyuntik semangat pemain mengekalkan rentak permainan dan yakin pemain mampu melakukan yang terbaik,” katanya.

Foto oleh : Shazli @ Dunia Warriors
Ditulis oleh : Mohd Nor Asri Yaacob
Sumber : myMetro Online - Arena

Monday, February 13, 2012

Aksi Terbaik The Red Warriors.





Nurul Azwan Roya cemerlang dalam perlawanan malam kelmarin.

KOTA BHARU - Tiga mata yang diraih ketika menumbangkan musuh tradisi Terengganu 2-1 di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi jelas membuktikan gelaran Gergasi Pantai Timur wajar menjadi milik Kelantan.

Bukan sahaja kemenangan tersebut menggembirakan Ketua Jurulatih, Peter Butler malah aksi yang dipamerkan oleh barisan pemain The Red Warriors juga disifatkan yang terbaik setelah mengharungi tujuh perlawanan setakat ini.

Jurulatih yang pernah melatih kelab Persiba Balikpapan dalam Liga Indonesia itu menyifatkan kemenangan tersebut hadir dengan pakej yang lengkap apabila pemainnya dilihat sentiasa bekerja keras dan menampilkan disiplin tertinggi sepanjang perlawanan itu.

“Sudah pasti saya gembira dengan keputusan ini. Pemain kita bermain mengikut arahan dan saya fikir itu sebahagian daripada faktor kemenangan kita ke atas Terengganu malam ini.

“Terengganu merupakan sebuah pasukan yang sukar ditewaskan dan mereka mempunyai pemain yang berkualiti dan merbahaya. Tetapi kita sudah membuat 'kerja rumah' terlebih dahulu sebelum menghadapi mereka,” katanya ketika ditemui pemberita sejurus perlawanan berakhir malam tadi.

Ditulis oleh : Mazram Idzam Ridzal Mahmud
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia

Pejabat Apex Disimbah Cat.





Pejabat Apex disimbah cat.


KOTA BHARU – Tidak cukup difitnah menjadi punca putus tunang seorang gadis, kali ini penjaga gawang kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, 23 berhadapan dengan perbuatan khianat individu tidak bertanggungjawab apabila pejabatnya, Khairul Fahmi Resources (KFR) Sdn Bhd di Jalan Sri Cemerlang dekat sini disimbah cat.

Menurut Pengurusnya, Syed Ahmad Mohd Yusof berkata, kejadian itu disedari pekerjanya sewaktu mereka tiba di pejabat pagi semalam. Katanya, mereka amat terkejut apabila mendapati bahagian depan dan bumbung pejabat disimbah dengan dengan cat hitam.

“Ini merupakan kali ketiga pejabat ini disimbah cat yang berwarna hitam. Semuanya berlaku di dalam bulan ini iaitu pada 5,10 dan 12 Februari. Kami tidak tahu siapa yang melakukannya dan apa motif di sebalik kejadian ini,” katanya ketika dihubungi DetikPerubahan.com di sini, malam tadi.

Menurut Syed Ahmad, beliau percaya kejadian ini berlaku di antara jam 12 tengah malam sehingga 5 pagi kerana pada waktu itu kawasan perumahan yang menempatkan pejabat KFR agak sunyi.

“Apek (Khairul Fahmi) sendiri sudah melihat kejadian ini. Sebelum ini kami tidak mempunyai bukti untuk mengambil tindakan tetapi kali ini kami menemui satu bungkusan plastik cat yang boleh dijadikan bahan bukti untuk mengesan pelakunya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau dan majikannya, Khairul Fahmi telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kota Bharu kira-kira jam 12 tengah hari semalam untuk siasatan lanjut.

“Saya dan Apek telah membuat laporan polis dan kami menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat kes ini. Kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis untuk membangtu menyelesaikan kes ini,” katanya. Katanya, apa yang membimbangkan mereka ia keselamatan Khairul Fahmi. 

Apek bimbang juga bila berlaku kejadian macam ni, takut dicederakan. Sebab itu jugalah kami membuat laporan polis. Tetapi rasanya tak ada masalah lagipun Apek sekarang sudah ada pengawal peribadi. Ke mana saha dia pergi dia bersama pengawal peribadinya,” katanya.

Dipetik dari : Detik Perubahan

Butler Puji Aksi Mantap Nurul.





KAPTEN Kelantan, Mohd Badri (dua dari kiri) cuba melepasi pertahanan
Terengganu dalam saingan Liga Super, kelmarin.


Bermain cemerlang ketika bantu Kelantan tewaskan Terengganu 2-1. Pemain sayap kiri Kelantan, Nurul Azwan Roya mendapat pujian daripada ketua jurulatihnya, Peter James Butler selepas mempamerkan aksi cemerlang ketika membantu Kelantan menewaskan Terengganu 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu semalam.

Nurul Azwan berkata, dia tidak menyangka akan disenaraikan dalam kesebelasan utama namun selepas diberi kepercayaan daripada jurulatih, pemain berasal dari Pasir Puteh itu tekad membuktikan kemampuan supaya tidak menghampakan pasukan.

Pemain dari Pasir Puteh dikenali dengan kelincahannya membantu The Red Warriors di bahagian tengah selain ketua pasukan, Mohd Badri Radzi dan Mohd Shakir Shaari untuk mencipta ruang bagi mengasak kubu Terengganu.

“Saya hanya melaksanakan arahan jurulatih dan berusaha memastikan Kelantan tidak tewas kepada Terengganu selain tidak mahu menghampakan penyokong yang pastinya mahu melihat permainan terbaik daripada pemain. Saya akan cuba mengekalkan prestasi cemerlang ini berikutan Kelantan bakal berdepan Selangor, Selasa ini (esok),” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Butler juga menganggap persembahan mantap daripada Nurul yang diturunkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan terbabit menjadi faktor penting di sebalik kejayaan Kelantan. Saya gembira dan berpuas hati dengan aksi Nurul malam ini dan saya tahu dia memang bagus pada perlawanan malam ini (kelmarin).

Ditulis oleh : Mohd Nor Asri Yaacob
Sumber : Berita Harian Online - Sukan

KAFA Beri Kata Dua Kepada Import.





Gambar Hiasan.


KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memberi tempoh sehingga hujung Mac ini kepada dua tonggak importnya, Mohammad Ghaddar dan Obinna Nwaneiri untuk meningkatkan prestasi jika mahu kekal dalam pasukan tersebut.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa menegaskan, pihaknya masih memberi ruang kepada kedua-dua pemain untuk membuktikan kemampuan sebelum mengambil tindakan berhubung masa depan mereka bersama The Red Warriors.

"Sekiranya kedua-dua pemain ini masih gagal membuktikan kemampuan mereka bersama The Red Warriors, kita akan bawa masuk pemain yang lebih baik untuk sesi pendaftaran baru pemain import, April nanti.

"Kita sedang menguji beberapa pemain import dalam usaha untuk memantapkan pasukan. Kelantan memerlukan pemain yang berkualiti kerana mereka mampu menjadi penentu kekuatan pasukan di masa akan datang," katanya ketika sidang akhbar di sini kelmarin.

Tambahnya lagi, selepas ini pihaknya akan membuat penilai sewajarnya sebelum mengambil pemain import baru. Kita akan pergi tengok pemain yang sedang beraksi dalam kelab sebelum diambil untuk beraksi bersama The Red Warriors. Selain itu, kita tidak mahu mengambil risiko mendapatkan pemain daripada ejen.

"Hal ini kerana, apa yang diberitahu ejen dengan aksi yang dipamer di atas padang berbeza dengan kehendak pihak pengurusan," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Annuar memberitahu, Kafa akan menganjurkan karnival bola sepak sempena ulang tahun pertama penubuhan Akademi Al - Hambra Red Warriors (Army).

Menurutnya, karnival tersebut dijangka berlangsung pada 25 Febuari ini bertempat di perkarangan Stadium Sultan Muhammed IV. Kita akan adakan perlawanan bola sepak antara pasukan Army bawah 14 dan bawah 16 untuk memilih juara karnival. Melalui perlawanan ini kita akan memilih pemain terbaik keseluruhan akademi bagi semua posisi.

"Apa yang lebih penting untuk tahun ini kita bercadang untuk menubuhkan pasukan di bawah kelolaan Kafa. Kita akan tubuhkan pasukan belia bawah 19 dan melalui karnival kita akan tubuhkan pasukan bawah 16 dan 14,'' katanya.

Ditulis oleh : Wartawan Utusan
Sumber :  Utusan Online - Sukan

Sunday, February 12, 2012

Penyokong Sejati TRW Lulus Ujian.





Gelagat Nurul Azwan Roya.


Dalam keterujaan dengan kemenangan pertama ke atas skuad Sang Penyu pada tahun ini, sejuta pujian juga harus diberikan kepada pemilik restoran dan kedai-kedai makan milik anak Kelantan yang berada di seluruh Malaysia kerana berani menunjukkan kesetiaan dan keteguhan jati diri kepada pasukan sendiri.

Disaat pengusaha restoran atau kedai-kedai lain memilih menayangkan BPL yang melibatkan perlawanan Manchester United menentang Liverpool, mereka membuktikan keutuhan jiwa mereka kepada negeri kesayangan mereka apabila tanpa mempedulikan permintaan penyokong atau peminat bolasepak BPL untuk menayangkan siaran langsung perlawanan Kelantan menentang Terengganu.

Sikap ini sukar di cari dalam jiwa penyokong bolasepak negeri lain, mereka sanggup menolak jumlah penyokong yang ramai jika menayangkan BPL dengan memilih tayangan perlawanan pasukan kesayangan mereka. 

Tanggapan Liga Super kurang mendapat sambutan dari kalangan peminat tempatan mungkin benar jika melibatkan pasukan lain tetapi tidak kepada jiwa dan hati penyokong Kelantan, siaran langsung Arena 801 tetap menjadi pilihan seluruh rakyat Kelantan.

Walaupun banyak anjuran "Big Screen" daripada kelab-kelab penyokong kerana ingin melihat sendiri persaingan dan jumlah penyokong bagi kedua-dua siarang langsung ternyata sebagai anak Kelate penulis cukup berpuas hati apabila "Big Screen" pasukan Kelantan dapat menyamai sambutan yang di tunjukkan daripada perlawanan BPL. 

Jarak 50 meter yang memisahkan antara dua kedai yang menayangkan perlawanan berbeza dan menguji jati diri ini, mereka saling bersorakan dengan meriah sekali. Suasana yang dirasai seolah-olah dua perlawanan ini berlangsung dalam liga yang sama, biarpun perlawanan BPL dibanjiri ramai warga asing. Kekadang penyokong Kelantan mengambil sikap berani mem"booo" ke arah penyokong anak Malaysia yang lupa jati diri ini.

"Sungguh kagum dengan sikap anak-anak Kelantan" ini antara luahan perasaan penyokong BPL anak Malaysia dari negeri lain yang mengetahui pasukannya tewas semalam, bagi dirinya dia hanya ambil tahu keputusan Liga Super sahaja dan tidak pernah mengikuti perlawanan secara dekat. 

Dia berasa sungguh terharu melihat anak-anak Kelate begitu bersungguh-sungguh dengan memakai jersi dan lilitan mafla di leher bersorak seperti penyokong pasukan gergasi eropah yang lain. Jika ke negeri saya pun anda tidak akan jumpa sokongan seperti yang dtunjukkan penyokong Kelantan ini. tegasnya sekali lagi.

Jika dikaji dari segi sambutan terhadap liga tempatan pada tahun 2012, jumlah kehadiran penyokong sudah menunjukkan peningkatan meskipun ada sesetengah terlalu memilih lawan pasukan mereka, barulah mereka akan muncul ke stadium. Namun sambutan penyokong Kelantan ke atas semua perlawanan yang melibatkan pasukan mereka terus kekal malah menunjukkan makin ada peningkatan.

Tidak hairanlah jika makin banyak penaja memilih untuk menaja Kelantan kerana bukan sahaja memiliki presiden yang bijak merencana pembangunan bolasepak pasukan Kelantan malah Kelantan memiliki lubuk emas rahsia terbesar yang ingin di miliki oleh semua pengurusan bolasepak dunia iaitu "Penyokong Paling Bernilai". 

Jika status penyokong paling bernilai terus menjadi milik anak Kelantan, tidak mustahil Kelantan akan terus utuh di persada bolasepak tanahair tanpa gentar kepada sambutan penyokong lain.

Tahniah sekali lagi di atas semangat dan jati diri luar biasa yang ada dalam jiwa anda semua. Tanpa anda tiada nilai siaran langsung Liga Super Malaysia. GOMO KELATE GOMO. TERIMA KASIH ANAK-ANAK KELATE.

JATI DIRI DAN SOKONGAN ANDA SEMUA DI LEMBAH KLANG AMAT DITAGIH SELASA INI, APABILA KELANTAN AKAN BERSAING BERTEMU MUSUH TRADISI SELANGOR. KERAH SEMUA BALA TENTERA MERAH MEMENUHI STADIUM NASIONAL BUKIT JALIL SELASA INI.

Foto oleh : Shazli @ Dunia Warriors
Dipetik dari : Theredwarriors.Com

Ghaddar Tepis Andaian.





Mohammed Ghaddar.

NAMA Mohammed Ghaddar bukan asing bagi penyokong The Red Warriors (TRW), malah sering menjadi perhatian peminat di negeri Cik Siti Wan Kembang ketika beraksi di padang.

Bekas penyerang kebangsaan Lubnan itu berhijrah ke Kelantan dengan semangat baru serta mahu menimba pengalaman beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) malah kehadirannya bersama Kelantan seperti membawa tuah apabila pasukan dari pantai timur itu berada di kedudukan teratas Liga Super setakat ini. 

Walaupun menerima kritikan berhubung persembahan hambarnya bersama Kelantan selaku juara Liga Super 2011 selepas hanya mampu menjaringkan dua gol sepanjang enam perlawanan musim ini melalui sepakan penalti, dia tidak berputus asa untuk membuktikan kehebatannya bagi menepis semua andaian buruk terhadapnya.

Mohammed Ghaddar atau lebih mesra dengan nama ‘Mat Dar’ di kalangan penonton Kelantan yang mula menyertai pasukan kebangsaan Lubnan bawah 20 tahun pada 1999 sebelum diserap ke pasukan seniornya pada 2005 akan menegaskan tujuannya berhijrah ke Kelantan bukan untuk ‘makan angin’ atau mencari nama, tetapi mahu memberi khidmat sebagai pemain yang mampu mengemudi jentera serangan bersama penyerang sensasi TRW, Norshahrul Idlan Talaha dengan cemerlang.

Katanya, walaupun prestasinya sering dibandingkan dengan Norshahrul atau Matyo, namun ia tidak melemahkan semangatnya untuk beraksi bersama pemain Kelantan lain di bawah bimbingan jurulatih, Peter James Butler.

“Saya akan menggunakan segala pengalaman yang ada untuk membantu Kelantan bagi mengadapi saingan Liga Super selain Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang bakal berlangsung Mac depan.

“Saya akan membuktikan kemampuan saya,” katanya yang hanya boleh berbahasa Arab dan perlu dibantu juru bahasa ketika ditemubual. Pemain yang menyarung jersi bernombor 22 itu berkata, selepas menyertai pasukan Kelantan beliau mula merasai pasukan barunya itu mempunyai daya tarikan tersendiri malah dengan jumlah penyokong yang ramai, ia menanam azam tinggi buat dirinya.

Katanya, dia seboleh-bolehnya tidak mahu menghampakan pasukannya yang menjadi antara pasukan yang digeruni dalam saingan Liga M.

“Saya datang dengan tekad untuk membantu Kelantan dan saya tidak akan putus asa walaupun hanya mampu menjaringkan dua gol melalui sepakan penalti sepanjang musim ini malah saya juga tidak mahu menghampakan pasukan setiap kali beraksi.

“Saya akui mempunyai masalah berkomunikasi dengan rakan sepasukan. Namun selepas berlatih bersama dan diturunkan dalam setiap perlawanan, saya mula memahami trentak permainan yang diterapkan dan akan mencuba sedaya upaya untuk membantu pasukan,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu, baru-baru ini.

Selepas mengharungi enam perlawanan dalam saingan Liga Super, pemain berusia 28 tahun itu terpaksa bekerja keras untuk menyaingi rakan sepasukan yang dilihat mampu menggugat kedudukannya apatah lagi jika berdepan pihak lawan yang pasti akan mengawal ketat pergerakannya.

Bagaimanapun, Kelantan tidak boleh melupakan sumbangan keringat Mohammed Ghaddar yang banyak membantu pasukan terbabit dalam enam perlawanan sejak saingan bermula 7 Januari lalu.

Mohammed Ghaddar mengumpul dua jaringan peribadi melalui sepakan penalti pada perlawanan pertama menentang kelab Singapura Lions XII di Stadium Jalan Besar, Singapura 10 Januari lalu dan di Stadium Darul Aman ketika berdepan Kedah 20 Januari lalu.

Foto oleh : J Photography
Dipetik dari : Support Malaysia League (MSL)

TRW Kembali Terajui Liga Super.





Kapten Kelantan, Piya meraikan gol kedua Kelantan hasil jaringan beliau.


KOTA BHARU – The Red Warriors kembali merampas gelaran pendahulu liga setelah mengalahkan musuh tradisinya Terengganu 2-1 dalam aksi perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.

Kejayaan menumbangkan seteru utamanya itu ternyata memberikan signifikan tersendiri bagi Kelantan yang berjaya membalas dendam setelah dikecewakan dalam perlawanan akhir Piala FA dan saingan suku akhir Piala Malaysia pada musim lalu.

Tempoh 20 minit pertama perlawanan jelas penguasaan milik Kelantan yang melakukan asakan bertali arus menerusi dua rembatan kencang pemain sayap, S Chanturu pada minit kelapan dan m-11 namun mudah diselamatkan oleh penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

Empat minit kemudian, gerakan menarik di antara Norshahrul Idlan Talaha dan Indra Putra Mahayuddin turut berakhir dengan kehampaan apabila Mohd Sharbinee Allawee terlebih dahulu pantas meluru keluar menyelamatkan keadaan di gawang golnya.

Meski pun tertekan dengan asakan pemain tuan rumah namun pasukan dilihat Terengganu cuba mengimbangi perlawanan dan lima minit kemudian Abdul Hadi Yahaya terlepas peluang untuk menghadirkan gol bagi pasukannya apabila rembatan kencangnya sempat dihadang Mohamad Ab Aziz Ismail di depan pintu gol Kelantan.

Terengganu terus melancarkan serangan balas pantas dua minit kemudian apabila hantaran lintang Abdul Hadi pantas disambar bek kiri, Muhammad Zubir Mohd Azmi namun rembatan kencangnya sempat ditepis keluar oleh penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Pada m-34, Indra Putra terlepas peluang untuk meletakkan Kelantan di depan apabila rembatannya berpunca hantaran jauh Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi hanya tersasar beberapa meter di sebelah kiri pintu gol Terengganu.

Tiga minit kemudian, penyerang yang terkenal dengan jolokan ‘The Linesman’, Norshahrul Idlan Talaha menggamatkan sorakan hampir 15,000 penyokong setia The Red Warriors apabila merembat masuk gol pertama Kelantan dalam perlawanan malam tadi.

Berpunca hantaran pendek Mohd Nurul Azwan di dalam kotak penalti, Norshahrul Idlan pantas melakukan rembatan yang menyaksikan bola terkena salah seorang pemain pertahanan Terengganu dan mengelirukan Mohd Sharbinee Allawee di gawang golnya.

Bersambung babak kedua, Kelantan hanya memerlukan tujuh minit untuk menggandakan jaringan. Berpunca tandukan pendek Indra Putra di dalam kotak penalti, Mohd Badhri Radzi mudah menanduk masuk menewaskan Mohd Sharbinee Allawee untuk gol kedua Kelantan.

Ternyata gol kedua tersebut terus menyemarakkan semangat anak buah Peter Butler untuk menambahkan jaringan dan Indra Putra terlepas peluang untuk mencetak nama selaku penjaring gol apabila tandukannya pada m-55 perlawanan dibatalkan setelah dikesan berada dalam kedudukan ofsaid terlebih dahulu.

Ketinggalan dua gol ternyata memberi tekanan kepada pasukan pelawat untuk kembali bangkit merapatkan jurang. Kelibat penyerang import mereka, Francis Forkey Doe yang digembar-gemburkan cukup berbisa nyata tenggelam setelah dibayangi kehebatan S Subramaniam dan Obinna Nwaneri di benteng pertahanan Kelantan.

Malah Forkey Doe wajar dinobatkan selaku ‘pakar ofsaid’ dalam perlawanan malam tadi apabila tidak kurang 10 gerakan menarik yang direncananya sering terjerat dengan perangkap ofsaid oleh benteng pertahanan Kelantan.

Begitu pun pasukan pelawat tetap menjelmakan asakan merbahaya pada m-63 perlawanan menerusi rembatan pemain gantian, Abdul Manaf Mamat yang hanya tersasar beberapa meter di sebelah kanan pintu gol manakala percubaan Mohamad Ashari Samsudin lima minit kemudian jauh tersasar.

Selebihnya kemudian, giliran Kelantan pula kembali mendominasi perlawanan apabila Norshahrul Idlan mempunyai dua peluang terbaik pada m-70 dan 76 perlawanan namun gerakan menariknya memperdayakan dua pemain pasukan pelawat berakhir dengan bola rembatannya terus ke dakapan Mohd Sharbinee Allawee.

Tindakan Ketua Pasukan Terengganu, Mohd Mazuki Yusoff menarik penyerang import Kelantan, Mohammed Ghaddar pada m-85 perlawanan di dalam kotak penalti akhirnya mengundang padah apabila pengadil tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada Kelantan.

Namun Ghaddar yang diberi tanggungjawab menyempurnakan sepakan tersebut gagal menghadiahkan gol ketiga untuk Kelantan apabila sepakannya ke penjuru sebelah kiri ditepis keluar Mohd Sharbinee Allawee.

Usaha berterusan Terengganu untuk merapatkan kedudukan bagaimana berhasil apabila Abdul Manaf berjaya merembat masuk hasil sepakan penjuru rakan sepasukan untuk gol saguhati pasukannya dalam masa kecederaan.

Foto oleh : Shazli @ Dunia Warrios
Ditulis oleh : Wartawan Sinar Harian
Sumber : Sinar Harian Edisi Kelantan

Kelantan Rampas Takhta Liga.





Kesebelasan utama Kelantan semalam.

KUALA LUMPUR - Kelantan kembali menerajui kedudukan teratas Liga Super hasil kejayaan menewaskan Terengganu 2-1 di Stadium Sultan Mohamad IV, Kota Baharu malam tadi.

Pasukan terkenal dengan jolokan 'The Red Warriors' itu kini mengutip 17 mata iaitu dua mata di hadapan pencabar terdekat Perak selepas mengharungi tujuh perlawanan. Penyerang berbisa Norsharul Idlan Talaha memecah kebuntuan pasukan tuan rumah hasil jaringan pada minit ke-37 menerusi hantaran kemas Mohd Nurul Azwan Roya.

Kelantan kemudiannya menggandakan kedudukan 2-0 menerusi kapten pasukan Mohd Badhri Mohd Radzi pada minit ke-52. Gol tunggal Terengganu hanya hadir pada pada minit terakhir perlawanan menerusi jaringan Mohd Ashari Shamsudin.

Sementara itu, harapan Perak untuk terus menduduki tangga teratas liga berkecai apabila tewas 0-2 kepada T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Dua gol T-Team dijaringkan Bojan Petric pada minit ke-56 dan sepakan penalti Zairo Anuar Zailani (minit ke-88).

Di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Kelana Jaya, pasukan Selangor seperti hilang bisa apabila tewas 0-2 kepada pasukan bertaraf kelab, Selangor PKNS. Gol Selangor PKNS dijaringkan oleh Rudie Ramli pada minit ke-33 dan Helmi Remeli (minit ke-60).

Sarawak pula menewaskan Felda United 2-1 di Stadium Negeri Sarawak, Kuching. Gol pasukan tuan rumah dijaringkan oleh Vedran Murotovic pada minit ke-45 dan Asri Chuchu pada minit ke-84, Manakala gol tunggal Felda United di
sumbangkan oleh Mohd Firdaus Faudzi.

Pasukan Lions XII mengalahkan Negeri Sembilan 3-1 di Stadium Jalan Besar, Singapura. Dua tuan rumah dijaringkan oleh Mohd Shahril Ishak pada minit ke-31 dan minit ke-60 dan Shahdan Sulaiman menjaringkan gol ketiga pada minit ke-50. Negeri Sembilan memperoleh gol tunggal hasil jaringan Mohd Firdaus Azizul pada minit ke-90.

Kedah pula seri 2-2 dengan Sabah di Stadium Darul Aman, Alor Setar.Gol kedah dijaringkan oleh Mohd Khyril Muhymeen Zambri pada minit ke-38 dan Mohd Faizal Abu Bakar (minit ke-39) manakala dua gol Sabah disumbangkan oleh Sharudin Yakup pada minit 21 dan 56.

Pasukan tercorot, Kuala Lumpur terus dihantui kekalahan setelah tumpas 0-2 kepada Johor FC di Stadium Hang Jebat, Melaka. Gol Johor FC dijaringkan Mohd Haris Safuan Mohd Kamal pada minit keenam dan Jasazrin Jamaluddin pada minit ke-83. 

Foto oleh : J Photography
Ditulis oleh : Wartawan Sinar Harian
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia

Saturday, February 11, 2012

East Coast El-Classico Match.





NORSHAHRUL bakal mengetuai jentera serangan Kelantan pada pertemuan
menentang Terengganu malam ini.


SELEPAS kempunan memungut mata penuh ketika bertandang ke Kota Kinabalu (Rabu lalu), skuad The Red Warriors berpeluang mengatasi kekecewaan itu di hadapan penyokong sendiri di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini.

Namun, apa yang pasti rentak perjuangan Kelantan untuk memungut mata tidak semudah yang disangka apabila mereka dijangka turun berdepan musuh tradisi, Terengganu.

Pertembungan dua gergasi Pantai Timur yang sentiasa menjadi tumpuan sejak sekian lama bakal membuktikan siapa lebih jaguh selepas kedua-dua pasukan itu hanya dipisahkan dengan satu mata dan masing-masingnya menghuni tangga kedua dan ketiga liga ketika ini.

Pengurus pasukan, Azman Ibrahim tanpa berselindung mahu semua pemain Kelantan fokus serta memberikan persembahan yang terbaik dalam misi utama untuk merampas semula kedudukan selaku pendahulu liga daripada pasukan Perak.

Menurutnya, pertembungan kali ini juga membawa misi menebus maruah selepas Kelantan tewas dalam perlawanan Piala FA dan suku akhir Piala Malaysia musim lalu. Pemain perlu ingat, kita turun dengan misi melangsaikan hutang lalu. Biarpun ia sekadar tiga mata bukannya perlawanan merebut piala, namun kita tidak boleh tewas, terutama ketika beraksi di gelanggang sendiri.

“Terengganu sebuah pasukan yang hebat dan mantap di semua posisi dan saya yakin semua pemain menyedari perkara tersebut. Justeru, mereka perlu berusaha untuk membenam cabaran Terengganu kali ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, kehadiran penyerang import Terengganu, Francis Doe Forkey yang bergandingan bersama Abdul Manaf Mamat dan Ashaari Samsudin perlu diberi perhatian oleh benteng pertahanan Kelantan.

Katanya, Terengganu juga mempunyai pemain yang seimbang di segenap posisi terutama dua pemain kebangsaan di benteng pertahanan, Muslim Ahmad dan Zubir Azmi.

“Muhammad Ghaddar dan Shakir Shaari mengalami sedikit kecederaan dan kita harap kedua-dua mereka mampu pulih dalam tempoh terdekat dan boleh diturunkan malam esok (malam ini).

“Kita juga mengharapkan sentuhan Ghaddar akan lebih kemas dan mengharapkan gandingannya dengan Norshahrul Idlan Talaha mampu memusnahkan gawang lawan,” ujarnya.

Beliau juga menaruh harapan supaya pemain import yang beraksi di posisi pertahanan, Obinna Nwaneri dapat beraksi dengan baik dan memberikan impak kepada pasukan selain mampu menyaingi kelincahan Forkey Doe.

Bagaimanapun, apa yang meresahkan beliau adalah faktor keletihan selepas para pemain terpaksa mengharungi tempoh penerbangan yang panjang selepas aksi menentang Sabah di Kota Kinabalu tempoh hari.

“Mereka semua pemain profesional dan saya harap semua pemain dapat rehat secukupnya, makan dan tidur yang cukup untuk kembali cergas ketika menentang Terengganu. 

Saya juga ingin mengambil kesempatan menyeru para penonton supaya menjaga disiplin dan tingkah laku. Jangan melakukan provokasi, terutamanya kepada pemain sendiri kerana ia tidak memberikan sebarang keuntungan, malah merugikan pasukan,” jelasnya.

Ditulis oleh : Khairi Mohamad
Sumber : Kosmo! Online - Sukan

Red Warriors Jamin Kasi Garang.





TRW jamin aksi garang malam ini.

KELANTAN bakal menghadapi musuh tradisi dan perlu tampil dengan aksi garang untuk merampas kembali takhta liga ketika berdepan Terengganu dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.

Kelantan yang tewas kepada Terengganu pada saingan final Piala FA tahun lalu perlu memberi perkhabaran gembira kepada penyokong setia pada perlawanan malam ini selain tidak mahu keciciran mata dan kecundang di laman sendiri.

Pengurus Kelantan, Azman Ibrahim berkata, pemain perlu tampil dengan aksi mantap ketika berdepan ‘Sang Penyu’ yang dibarisi pemain berpengalaman selain awang importnya, Francis Forkey Doe yang pasti akan cuba mengucar-kacirkan benteng The Red Warriors Katanya, walau apa cara sekalipun, pemain di bawah kendalian jurulatih, Peter James Butler itu perlu menang dan mendapatkan tiga mata selain membalas dendam kekalahan merebut Piala FA musim lalu.

“Kita bukan saja perlu menang untuk mendapatkan tiga mata, malah kemenangan ini akan memastikan Kelantan kembali merampas takhta liga. Kita tahu Terengganu mempunyai pemain berpengalaman dan mantap di semua posisi dan kita harap pemain Kelantan juga mempamerkan aksi lebih mantap,” katanya.

Bagaimanapun, Azman mengingatkan pemain supaya tidak begitu ghairah untuk mencari gol malah perlu waspada terhadap asakan lawan supaya tidak melakukan kesilapan yang boleh membawa padah.

Azman yang juga Setiausaha Agung, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berkata, semua pemain perlu fokus dan bekerjasama supaya dapat melaksanakan arahan jurulatih dengan baik. Kita harap pemain memberi perhatian sepenuhnya pada perlawanan kerana kita sedar, Terengganu adalah pasukan yang mampu mencabar kemampuan kita,” katanya

Foto : Shazli Shamsuddin Photography
Ditulis oleh : Mohd Nor Asri Yaacob
Sumber : myMetro Online - Arena

Monday, February 6, 2012

Al Jabbar Penaja Rasmi Jersi TRW





Jersi TRW untuk Piala AFC ditaja oleh Al Jabbar.


SYARIKAT kesihatan Al Jabbar Group mengorak langkah apabila menjadi penaja rasmi jersi pasukan Kelantan yang akan bertanding dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada Mac depan.

Sebagai satu-satunya penaja rasmi jersi Kelantan di Piala AFC, pemain The Red Warriors akan menyarung jersi hitam dan putih yang tertera logo Al Jabbar dalam mana-mana pertandingan AFC yang disertai pasukan itu di peringkat Asia.

Pelancaran jersi itu dilakukan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu semalam sebelum perlawanan persahabatan antara Kelantan menentang kelab dari Singapura, Balestier Khalsa FC. Pegawai Khas Al Jabbar Group, Abdul Mizal Abdul Majid berkata pihaknya bersetuju meneruskan tajaan musim ini berdasarkan prestasi The Red Warriors.

“Kita bersetuju menaja pasukan Kelantan pada musim ini dengan menyumbang jersi yang akan digunakan dalam pertandingan peringkat Asia. Selain itu, kami juga akan mengeluarkan aksesori seperti topi dan jaket,” katanya. 

Abdul Mizal berkata, ia adalah sebahagian daripada usaha syarikat berkenaan untuk memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kebangkitan bola sepak negeri itu dan akan terus bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Katanya, Al-Jabbar mempunyai hak eksklusif menjual jersi terhad itu di semua butik mereka di seluruh Malaysia.

“Kepada pembeli jersi, cabutan bertuah akan dibuat dan seorang atau dua pemenang akan dibawa menonton perlawanan AFC di luar negara yang membabitkan pasukan Kelantan,” katanya.

Foto oleh : J Photography
Ditulis oleh : Muhamaad Razis Ismail
Sumber : myMetro Online - Arena