Gambar Hiasan. |
KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) memberi tempoh sehingga hujung Mac ini kepada dua tonggak importnya, Mohammad Ghaddar dan Obinna Nwaneiri untuk meningkatkan prestasi jika mahu kekal dalam pasukan tersebut.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa menegaskan, pihaknya masih memberi ruang kepada kedua-dua pemain untuk membuktikan kemampuan sebelum mengambil tindakan berhubung masa depan mereka bersama The Red Warriors.
"Sekiranya kedua-dua pemain ini masih gagal membuktikan kemampuan mereka bersama The Red Warriors, kita akan bawa masuk pemain yang lebih baik untuk sesi pendaftaran baru pemain import, April nanti.
"Kita sedang menguji beberapa pemain import dalam usaha untuk memantapkan pasukan. Kelantan memerlukan pemain yang berkualiti kerana mereka mampu menjadi penentu kekuatan pasukan di masa akan datang," katanya ketika sidang akhbar di sini kelmarin.
Tambahnya lagi, selepas ini pihaknya akan membuat penilai sewajarnya sebelum mengambil pemain import baru. Kita akan pergi tengok pemain yang sedang beraksi dalam kelab sebelum diambil untuk beraksi bersama The Red Warriors. Selain itu, kita tidak mahu mengambil risiko mendapatkan pemain daripada ejen.
"Hal ini kerana, apa yang diberitahu ejen dengan aksi yang dipamer di atas padang berbeza dengan kehendak pihak pengurusan," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Annuar memberitahu, Kafa akan menganjurkan karnival bola sepak sempena ulang tahun pertama penubuhan Akademi Al - Hambra Red Warriors (Army).
Menurutnya, karnival tersebut dijangka berlangsung pada 25 Febuari ini bertempat di perkarangan Stadium Sultan Muhammed IV. Kita akan adakan perlawanan bola sepak antara pasukan Army bawah 14 dan bawah 16 untuk memilih juara karnival. Melalui perlawanan ini kita akan memilih pemain terbaik keseluruhan akademi bagi semua posisi.
"Apa yang lebih penting untuk tahun ini kita bercadang untuk menubuhkan pasukan di bawah kelolaan Kafa. Kita akan tubuhkan pasukan belia bawah 19 dan melalui karnival kita akan tubuhkan pasukan bawah 16 dan 14,'' katanya.
Ditulis oleh : Wartawan Utusan
Sumber : Utusan Online - Sukan
bagus untuk perkembangan sukan bola sepak di Kelantan malah juga tanahair...
ReplyDelete