Wednesday, February 15, 2012

Rekod Tanpa Kalah Kelantan Lebur.





Pemain Selangor meraikan kejayaan menewaskan Kelantan 2-1.


PENAMPILAN sulung pemain import Selangor dari Croatia, Bosko Balaban nyata menjadi apabila menjaringkan satu gol membantu menewaskan Kelantan 2-1 pada saingan Liga Super di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Dua gol Selangor dijaringkan Mohd Shafiq Rahim pada minit ke-46 sebelum Selangor melebarkan cengkaman gol melalui Bosko Balaban pada minit ke-61 yang bijak melepasi perangkap offside sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol pelawat, Khairul Fahmi Che Mat.

Gol sagu hati pelawat diperolehi pada minit ke-91 melalui Subramaniam yang menolak masuk bola dalam keadaan kelam kabut di depan gawang gol tuan rumah.

Selangor memulakan gerakan untuk mencari gol pendahuluan melalui beberapa serangan dijelmakan oleh Safiq yang melorongkan bola kepada jentera pemusnah baru mereka yang berjaya mengawal bola dan membuat hantaran, namun gagal di sudah rakan.

Kelantan turut mencipta beberapa peluang melalui Norshahrul Idlan Talaha bersama gandingannya Indra Putra Mahyudin namun hampa apabila benteng pertahanan dikawal Ramez Dayoub bijak membaca hantaran.

Selepas seminit babak kedua bermula, Selangor akhirnya memperolehi jaringan pendahuluan melalui rembatan Shafiq di luar kotak penalti yang terus menerjah jaring kiri gol pelawat menewaskan Khairul Fahmi.

Tersentak dengan jaringan berkenaan Kelantan melakukan serangan bertali arus dan mempunyai beberapa peluang terhidang namun sekali lagi gagal memecah kebuntuan mendapatkan gol penyamaan.

Ketika Kelantan ghairah melancarkan serangan memburu gol penyamaan, tindakan Shafiq yang melambungkan bola pada minit ke-61 kepada Bosko yang berjaya melepasi perangkap offside melebarkan jaringan selepas Bosko melepaskan rembatan menewaskan Khairul Fahmi.

Kelantan akhirnya mendapat gol sagu hati pada minit ke-91 apabila Subramaniam menolak masuk bola bola ketika situasi kelam kabut di hadapan gawang Selangor. Usaha pelawat untuk mendapatkan gol penyamaan nyata tidak kesampaian apabila terpaksa berpuas hati dan menerima kekalahan pertama dalam Liga Super 2012.

Ditulis oleh : Subkhi Sudaji
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia

No comments:

Post a Comment