Khairul Fahmi Che Mat. |
JAKARTA - “Saya harapkan rakyat Malaysia mendoakan kami semua untuk berjaya. Demikian reaksi penjaga gol utama Bawah 23 Tahun negara (B-23), Khairul Fahmi Che Mat menjelang aksi final menentang Indonesia, malam ini.
Menurut Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apex, sekiranya kilauan pingat emas berjaya dipertahankan, skuad B-23 ini pastinya akan membawa bekalan moral yang tinggi untuk menentang Syria pada perlawanan kelayakan Olimpik di Kuala Lumpur. Malaysia akan bertemu Syria pada Rabu ini, 8.45 malam di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Saya cuma mengharapkan kami semua (pemain) dapat memberikan pingat emas dan seterusnya mempertahankan kejuaraan ini sebagai hadiah kepada rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui di lobi hotel penginapan skuad bola sepak negara di sini, semalam.
Pemain kelahiran Kelantan itu percaya terhadap rakan sepasukan dapat menjulang maruah negara ke tahap tertinggi di hadapan penyokong tuan rumah yang pastinya sering membuat provokasi dan ejekan terhadap Malaysia.
“Kita semua tidak akan tunduk dengan ejekan penonton mereka dan ‘boo’ itulah menjadikan kita lebih bersemangat bermain bagi tunjukkan siapa lebih hebat.
“Apa yang penting adalah fokus. Kami semua tidak mahu terlepas peluang meraih emas kerana rata-rata pemain yang menganggotai skuad ini adalah pertama kali menyertai temasya ini,” katanya.
Apex berkata semangat tidak kenal erti putus asa seperti yang dipamerkan ketika menang ke atas tuan rumah dan Myanmar kelmarin perlu dikekalkan jika mahu mengulangi kejayaan membenam skuad Garuda.
“Kami semua agak keletihan mengharungi tiga perlawanan berturut-turut dengan tempoh rehat yang singkat.
“Tapi itu bukan alasan untuk kami tidak mempamerkan aksi terbaik kerana kami di sini mahu pertahankan pingat emas serta maruah negara,” katanya.
Wallpaper : Bolasepak Malaysia
Sumber : Sinar Harian Online - Sukan
No comments:
Post a Comment