Saturday, July 7, 2012

Kelantan Pertahan Maruah Negara.






Kesebelasan utama TRW semasa menentang Lions XII di Stadium Jalan Besar.


MALAM ini menjadi detik paling ditunggu tunggu oleh penyokong setia The Red Warriors. Tempoh 90 minit perlawanan menentang Perak di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu bakal menjadi penentu sama ada Kelantan berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super lebih awal musim ini.

Sekiranya perlawanan berakhir dengan kemenangan kepada Kelantan, ini bermakna The Red Warriors menjadi pasukan ketiga selepas Kedah (2006/07 dan 2007/08) dan Selangor (2009 dan 2010) menjadi juara Liga Super Malaysia (MSL) buat kali kedua berturut-turut.

Tidak seperti ketika saingan penentuan kejuaraan Liga Super musim lalu, di mana Kelantan perlu menunggu sehingga perlawanan terakhir sebelum menewaskan Sabah 2-1 di Kota Kinabalu, kali ini skuad bimbingan Bojan Hodak memilih mahu meraikan lebih awal biarpun masih berbaki dua perlawanan.

Dan lebih manis, kejayaan ini bakal diraikan di hadapan puluhan ribu penyokong mereka sendiri di gelanggang keramat malam ini. Namun sekiranya keputusan berkesudahan seri atau kalah, juara Piala FA musim ini perlu membuat perhitungan wajib menang ke atas Felda United FC di Stadium Hang Jebat, Melaka (10 Julai) atau bertemu Sarawak di Kota Bharu pada perlawanan terakhir 14 Julai ini.

Tidak ada sesuatu yang mustahil berlaku dalam bola sepak, seandainya trofi Liga Super berjaya diraih pasukan berstatus kelab jemputan, Lions XII, ia sudah pasti bakal menyeberangi Tambak Johor buat pertama kali.

Ketika ini, Kelantan dilihat satu-satunya pasukan yang menjadi penghalang kepada cita-cita skuad bimbingan V Sundramoorthy itu setelah empat negeri iaitu Perak, Selangor, Terengganu dan Negeri Sembilan sudah pun mengucapkan ‘selamat tinggal’ untuk misi bergelar juara musim ini.

Namun berdasarkan situasi semasa, ramai pemerhati bola sepak meramalkan Kelantan mempunyai peluang cerah untuk mengulangi sejarah musim lalu. Bagi Kelantan, meraih kejuaraan Liga Super bererti mereka menyelamatkan maruah negara daripada membenarkan piala liga paling berprestij itu terlepas kepada wakil Singapura itu.

Dengan kali terakhir Singapura berjaya membawa keluar piala (Piala Malaysia) daripada bumi Malaysia pada 1994 setelah menewaskan Pahang 4-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Shah Alam, apakah kita mahu melihat trofi Liga Super pula diusung ke Kota Singa buat pertama kali?


GANJARAN RM1 JUTA MENANTI

Tidak cukup habuan RM750,000 selaku Juara Liga Super, Kelantan juga berpeluang menerima insentif tambahan daripada Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) sebanyak RM325,024 jika bergelar juara musim ini.

Menerusi insentif yang diperkenalkan badan induk bola sepak kebangsaan awal musim ini, kesemua pasukan Liga Super bakal menerima habuan berdasarkan kedudukan liga sebaik musim berakhir dengan nilai paling rendah diterima pasukan tercorot sebanyak RM23,216.

Sebelum ini, hadiah wang tunai bagi juara Liga Super ialah RM500,000 namun bermula musim ini nilai tersebut dinaikkan menjadi RM750,000. Ini bererti secara automatik, Kelantan akan meraih ganjaran lebih daripada RM1 juta sekiranya berjaya muncul juara.


HODAK CEMERLANG BIMBING KELANTAN

Sesuatu yang menarik untuk diperkatakan, sejak mengambil alih tugas membimbing Kelantan daripada Peter Butler awal Mac lalu, Bojan Hodak mungkin boleh dinobatkan satu-satunya jurulatih paling cemerlang sepanjang Liga Super musim ini.

Dengan rekod 11 kemenangan dan empat seri (tidak termasuk kempen Piala AFC dan Piala FA) dalam Liga Super setakat ini, Hodak jelas memacu Kelantan di landasan sebenarsetelah Butler mengambil keputusan menamatkan kontraknya lebih awal penghujung Februari lalu.

Malah kejayaan Kelantan menewaskan musuh tradisinya, Selangor 1-0 pada 29 Jun lalu mengakhiri penguasaan Lions XII selama 88 hari menerajui carta liga musim ini. Dengan berbaki tiga perlawanan (termasuk malam ini), Hodak kini dalam catatan peribadi tersendiri untuk melakarkan sejarah menjadi ‘jurulatih import’ kedua selepas Datuk M Karathu melakukannya musim lalu.

Sumber : Sinar Harian Online

1 comment:

  1. sakit mata baca font merah bground hitam

    ReplyDelete