Wednesday, January 18, 2012

Tiga Mata Berharga Buat TRW.




Kesebelasan utama pasukan Kelantan semalam.

KOTA BHARU – Jaringan penyerang terbilang, Norshahrul Idlan Talaha pada pada m-72 perlawanan memastikan The Red Warriors kembali bangkit mencatatkan kemenangan pertama mereka di hadapan penyokong sendiri dalam aksi perlawanan ketiga Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.

Dalam aksi perlawanan malam tadi, impian pasukan Johor FC untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata di Kota Bharu lebur setelah tewas 1-2 meskipun memberikan tentang sengit kepada Kelantan sepanjang 90 minit perlawanan.

Seawal m-13 perlawanan, Kelantan mempunyai peluang terbaik untuk berada di depan menerusi gerakan menarik Indra Putra Mahayuddin namun rembatannya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Johor FC.

Selang empat minit kemudian, Indra Putra sekali lagi terlepas untuk menjelmakan gol pendahuluan bagi Kelantan apabila sepakan lambung Mohd Badhri Radzi gagal ditampan oleh beliau meskipun berjaya melepasi pertahanan pasukan lawan.

Di sebalik asakan bertali arus pasukan tuan rumah, Johor FC pula mengejutkan Kelantan apabila pemain sayapnya, Mohd Syazwan Zainon menanduk masuk hantaran lintang Ahmad Fauzi Shaari pada m-27 perlawanan.

Namun pengadil perlawanan membatalkan jaringan tersebut apabila hantaran Ahmad Fauzi terlebih dahulu keluar daripada kawasan permainan. Gandingan penyerang Norshahrul Idlan Talaha dan Mohammed Ghaddar terbukti berjaya mengkucar-kacirkan benteng pertahanan pasukan pelawat dalam perlawanan malam tadi.

Gerakan solo menarik Mohammed Ghaddar pada m-31 perlawanan berjaya memperdayakan Ketua Pasukan Johor FC, Mohamad Khairul Ismail di penjuru sebelah kanan padang namun rembatan kencangnya hanya tersasar beberapa meter di atas pintu gol pasukan pelawat.

Seminit babak kedua bermula menyaksikan Kelantan kembali bertindak agresif apabila hantaran lintang Mohamad Ab Aziz ke dalam kotak penalti ditampan kemas Norshahrul Idlan namun rembatan rendahnya sempat dihalang dua pemain pertahanan Johor FC. Pasukan pelawat yang masih mengekalkan kesebelasannya turut mempunyai peluang pada m-50 menerusi Mohd Syazwan Zainon namun rembatannya tinggi melepasi pintu gol Kelantan.

Lima minit kemudian, stadium bergema dengan sorakan hampir 17,000 penyokong setia The Red Warriors apabila Indra Putra menjaringkan gol pertama untuk Kelantan. Kesilapan penjaga gol Johor FC, Muhammad Zamir Selamat yang gagal menangkap kemas hantaran lintang Norshahrul Idlan pantas dihukum menerusi tolakan mudah Indra Putra untuk gol pertama dalam perlawanan malam tadi.

Tersentak dengan jaringan tersebut pasukan pelawat kembali melancarkan serangan dan tiga minit kemudian mereka hampir berjaya menyamakan kedudukan. Hantaran lintang Eddy Helmi Abdul Manan ke dalam kotak penalti gawang Kelantan mencetuskan situasi kelam-kabut namun Mohd Daudsu Jamaluddin pantas menguis keluar bola untuk menyelamatkan gawang gol Kelantan.

Usaha Johor FC untuk menyamakan kedudukan akhirnya berhasil pada m-63 perlawanan. Berpunca sepakan penjuru yang diambil Eddy Helmi menyaksikan Mohamad Khairul bijak melonjak tinggi untuk menanduk masuk bagi gol penyamaan pasukannya.

Malah pasukan pelawat hampir menambahkan jaringan dua minit kemudian apabila bola hantaran Mohd Haris Safwan Mohd Kamal ke dalam kotak penalti memerangkap Khairul Fahmi Che Mat di posisinya namun Mohd Shahrizal Saad pula gagal menolak masuk ke dalam gawang gol Kelantan.

Aksi agresif pasukan pelawat memburu jaringan memaksa Ketua Jurulatih Kelantan, Peter Butler mengeluarkan Mohd Norfarhan Muhammad dan digantikan dengan seorang lagi pemain import, Denny Antwi bagi menghidupkan jentera tengah pasukannya. Begitu pun Norshahrul Idlan memastikan The Red Warriors unggul mencatatkan kemenangan pertama di hadapan penyokong sendiri apabila meledakkan jaringan pada m-72 perlawanan.

Penyerang yang terkenal dengan jolokan ‘The Linesman’ itu bijak memanfaatkan tandukan pendek Indra Putra di dalam kotak penalti dengan menewaskan seorang pemain pertahanan Johor FC sebelum merembat kencang ke penjuru sebelah kiri untuk memastikan Kelantan meraih tiga mata dalam perlawanan malam tadi.

Foto : Mark Deen | Kelate.Net
Dipetik dari : Kelate.Net

1 comment:

  1. http://cebagoomarket.blogspot.com/2011/11/tanah-tumpahnya-darahku.html

    ReplyDelete