Tuesday, January 17, 2012

Mat Yo Dahagakan Gol.





Mat Yo setakat ini hanya menjaringkan 1 gol sahaja.


APA yang berlegar dalam minda Norshahrul Idlan Talaha ketika ini cuma satu - mahu membocori gawang Johor FC dalam saingan Liga Super, malam ini untuk koleksi peribadi dan juga membantu cabaran Kelantan yang ‘agak bergoyah’ ketika ini. 

Penyerang sensasi Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha yang bergelar Mat Yo itu akur dia belum mencapai tahap kemampuan sebenar menggegar gawang lawan dan bertekad mahu menjaringkan gol pada setiap perlawanan selepas ini termasuk di Stadium Sultan Muhammad IV nanti.

“Saya mahu jaringkan gol untuk pasukan. Itu sasaran saya dalam setiap perlawanan bagi membolehkan Kelantan berada pada kedudukan selesa awal musim. Tapi saya juga perlu mendapat bantuan rakan sepasukan.

“Saya akan memperbaiki kelemahan diri dan berharap rakan sepasukan juga sentiasa membantu kerana kerjasama dan kesefahaman dalam padang amat penting mempamerkan rentak permainan mantap,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Bagaimanapun, penyerang berasal daripada Besut, Terengganu itu akur tekanan dirasai selepas Kelantan terikat 1-1 dengan Selangor PKNS pada 13 Januari lalu walaupun bermain di halaman sendiri. Namun ayam tambatan The Red Warriors percaya pasukannya akan bangkit dalam pertemuan menentang Johor FC, malam ini. 

“Kita harap pemain bangkit dan memberi yang terbaik ketika menentang Johor FC malah kelebihan bermain ditempat sendiri akan dimanfaatkan bagi mengembalikan kepercayaan penyokong,” katanya yang sudah menjaringkan dua gol setakat ini daripada tiga perlawanan lalu. 

Foto : Shazli Shamsuddin Photography
Ditulis oleh : Mohd Nor Asri Yaacob
Sumber : Berita Harian Online - Sukan

No comments:

Post a Comment