Tuesday, January 31, 2012

Ghaddar Atau Antwi...???





AKSI Ghaddar (kiri) ketika menentang Kuala Lumpur saingan Liga Super di Kota Bharu, minggu lalu.


KELANTAN mungkin menggugurkan sama ada Mohammed Ghaddar dari Lubnan atau Denny Agyare Antwi dari Ghana dalam kancah Liga Super selepas mengikat bekas pertahanan kebangsaan Nigeria, Obinna Nwaneri, semalam. 

Kelantan yang dilihat serius menerajui liga musim ini, mengambil tindakan segera mendapatkan Nwaneri dan kelibat pemain itu dapat disaksikan dalam perlawanan persahabatan dengan skuad senior kebangsaan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Begitupun, siapa yang bakal digugurkan masih menjadi teka teki dan difahamkan keputusan akan dibuat selepas dua aksi persahabatan dengan skuad kebangsaan dan kelab Balistier Khalsa FC dari Singapura di Kota Bharu, Sabtu ini.

Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim berkata, selain persiapan tambahan untuk Liga Super, The Red Warriors juga mahu menguji Nwaneri yang mengumpul 33 kaps sejak 2005 dan pernah beraksi dengan Kazma Sporting di Kuwait tahun lalu. 

“Perlawanan persahabatan ini menjadi peluang terbaik bagi kami menguji Nwaneri di posisi pertahanan tengah Kelantan, selain menguji seorang lagi pemain import, Samad Okocha Awudu yang dijangka tiba Khamis ini. 

“Kami berharap dapat melakukan pemilihan dengan lebih teliti sebelum mendaftarkannya mereka dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum 13 Februari,” kata Azman yang juga pengurus pasukan. 

Mengulas mengenai kedudukan Mohammed Ghaddar dan Antwi, dia menjelaskan pihaknya belum memutuskan nasib kedua-dua pemain itu hinggalah tarikh akhir pendaftaran import 13 Februari ini manakala dua pemain import yang didaftarkan untuk Piala AFC sebelum ini, Emmanuel Ayaah Okine (Ghana) dan Zacharia Yehya Charara (Lubnan) mungkin dipinjamkan kepada Kuala Lumpur. 

Sementara itu, Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa, dalam laman sosial Facebook, mengesahkan KAFA sudah menandatangani kontrak dengan Nwaneri, semalam. 

Ditulis oleh : Mohd Nor Asri Yaakob
Sumber : Berita Harian Online - Sukan

No comments:

Post a Comment