Saturday, January 14, 2012

FAM Lanjut Tarikh Sebulan Lagi.





Demi kepentingan kancah bola sepak negara.


DEMI kepentingan kancah bola sepak negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melanjutkan pendaftaran pemain import bagi Liga Malaysia 2012 sehingga 13 Februari depan berbanding 9 Januari sebelum ini.

Masih menetapkan undang-undang dan peraturan yang sama, Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, setelah berbincang dan memperhalusi semua rayuan daripada kelab dan persatuan negeri, Ahli Jawatankuasa FAM telah sebulat suara bersetuju untuk melanjutkan tarikh tersebut.

“Meskipun tarikh tutup pendaftaran diberikan dalam masa sebulan lagi, namun Vetting Committe akan terus membenarkan pemain import yang layak untuk bermain bersama pasukan masing-masing dengan secepat mungkin apabila pemain tersebut berjaya memenuhi syarat yang telah ditetapkan. Malah, pasukan dan kelab yang sudah sedia ada pemain import juga boleh membuat penukaran, namun ianya perlulah mengikut prosedur yang betul.

“Sehubungan itu, semua pasukan perlu merujuk kepada kesahihan pemain import mereka kepada pihak seketariat dengan secepat mungkin untuk mengelakkan sebarang kekeliruan dan juga salah faham,” katanya yang menekankan persetujuan melanjutkan tarikh pendaftaran pemain import itu bukanlah disebabkan sebarang tekanan daripada pihak luar.

Dalam masa sama, prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh persatuan dan juga kelab yang terpaksa beraksi tanpa pemain import Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad mahu pasukan dan juga kelab meletakkan tanggungjawab terhadap proses pendaftaran pemain dan tidak mengambil perkara tersebut sambil lewa.

“Seeloknya kita mahu semua pasukan mendaftarkan awal pemain mereka bagi mengelakkan berlakunya sebarang interpretasi yang berlawanan apabila timbul sebarang keraguan dan kesulitan.

“Ini merupakan peluang terakhir yang kami berikan kepada persatuan dan juga kelab bola sepak negeri untuk membuat rayuan. FAM sudah tidak mahu lagi mendengar sebarang rayuan memandangkan perkara seperti ini kerap berulang setiap tahun. Jika dibandingkan dengan AJK FAM sebelum ini, kami sudah cukup berlembut dan memberi muka,” katanya.

Menyarankan agar persatuan menggunakan agen Fifa yang berlesen, FAM berharap Liga M akan dapat berlangsung dengan lebih baik dan pasukan negeri juga dapat bertanding secara adil dan saksama selepas ini. Sementara itu, dalam perkembangan lain, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berbesar hati dan lega menerima keputusan yang dikeluarkan oleh FAM.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM kerana membenarkan semua persatuan bola sepak negeri mendaftar pemain import sehingga 13 Februari. Ia bukan sahaja melegakan PBSNT, malah semua pihak,” katanya yang melihat keputusan tersebut dapat membantu pasukan menumpukan perhatian kepada perlawanan seterusnya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, akan mengambil tindakan undang-undang ke atas FAM berhubung kekeliruan surat pekeliling yang dihantar badan induk bola sepak negara kepada PBSNT berkaitan tarikh muktamad pendaftaran pemain import untuk Liga M.

Ahmad dalam nada tegas turut meletakkan pilihan kepada FAM sama ada membayar ganti rugi atau Terengganu dan T-Team akan mengundurkan diri daripada terus menyertai kempen Liga M musim ini. Terengganu kini memiliki dua pemain import termasuk Erison Da Silva Santos Carnietto dari Brazil dan Francis Forkey Doe dari Liberia.

Ditulis oleh : Norashikin Leman & Nurul Huda Husain 
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia

No comments:

Post a Comment