Friday, January 13, 2012

Red Warriors Rehatkan Norshahrul.




Mat Yo direhatkan untuk perlawanan malam ini.


KOTA BHARU - Peter Butler membayangkan akan membuat sedikit rombakan ke atas Kelantan pada pertemuan Liga Super dengan PKNS Selangor di Stadium Sultan Muhammed IV, hari ini.

Menurut jurulatih Red Warriors itu, dia akan merehatkan beberapa pemain utama termasuklah penggempur berbisa Norshahrul Idlan Talaha dan akan memberikan peluang kepada muka-muka baharu untuk mempamerkan sentuhan.

"Kita mesti faham Norshahrul akan beraksi dalam banyak perlawanan termasuk bersama pasukan kebangsaan.

"Jadi dia perlu berehat dan kita beri peluang kepada pemain lain untuk diturunkan. Peminat tidak perlu khuatir kita masih ada pemain lain seperti S. Chanturu, Mohd Nurul Azwan (Roya) dan Denny (Antwi)," katanya di sini semalam.

Butler memberitahu, rombakan tersebut dibuat bukan bertujuan memperkecilkan kemampuan pasukan lawan, tetapi percaya kepada kekuatan yang ada pada pemain lain dalam pasukan.

"Sama ada penyokong mengkritik tindakan saya, itu saya tidak peduli. Saya hanya fokus kepada kerja dan adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan pasukan kita menang.

"Saya tak tahu sejauh mana kekuatan mereka. Saya cuba dapatkan rakaman video atau maklumat lain serba sedikit mengenai pasukan tersebut. Yang pasti saya mahu pemain kita mencatatkan kemenangan sebagai hadiah kepada penyokong apabila kita beraksi buat pertama kali di Kota Bharu," katanya.

Sementara itu, Butler turut berharap para penyokong tidak terlalu awal mengkritik persembahan dua pemain importnya, Mohammed Ghaddar dan Denny Antwi memandangkan saingan liga baru sahaja memasuki perlawanan kedua.

"Saya faham kalau kedua-dua mereka main tak bagus, mereka berhak dikritik. Saya seorang jurulatih dan bertanggungjawab membantu dia. Tapi kalau peminat asyik mengkritik itu tidak membantu mereka sebenarnya.

"Berilah masa kepada mereka. Mereka pemain yang rajin dan berdisiplin. Ghaddar sendiri meletakkan sasaran mahu menjaringkan seberapa banyak gol untuk Kelantan. Saya tahu gandingan Ghaddar, Norshahrul Idlan dan Antwi sentiasa bekerja keras untuk pasukan kita," katanya.

Foto : Shazli Shamsuddin Photography
Ditulis oleh : Wartawan Utusan
Sumber : Utusan Online - Sukan

1 comment: