Tuesday, January 31, 2012

Mat Yo Mahu Ratah Kijang.





Norshahrul Idlan Talaha.


DEMI negara, pemain bola sepak paling bernilai 2011, Norshahrul Idlan Talaha bersedia ‘bermusuh’ dengan Kelantan seketika apabila skuad kebangsaan bakal diuji pasukan elit Pantai Timur itu pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Norshahrul yang dipanggil pengendali kebangsaan, Datuk K Rajagobal untuk menyertai latihan pusat bersama 26 lagi pemain bakal menjadi pertaruhan terbaik untuk menggempur pasukan majikannya itu.

Namun bagi penyerang berusia 25 tahun itu, dia sedia memberi sepenuh komitmen kepada pasukan kebangsaan dan melupakan seketika cintanya terhadap skuad The Red Warriors.

“Tidak ada masalah bagi saya apabila menentang Kelantan, memang saya nak menang. Kalau boleh saya mahu menjaringkan gol untuk pasukan kebangsaan,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan skuad kebangsaan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Norshahrul atau turut dikenali sebagai Mat Yo sudah meledak empat gol untuk membantu Kelantan menghuni tangga teratas Liga Super musim ini.

Walaupun tanpa gandingan terbaiknya, Mohd Safee Sali yang tidak disenaraikan dalam skuad kali ini, Norshahrul tetap yakin dengan kemampuan pemain lain bagi persiapan menghadapi dua lagi aksi persahabatan antarabangsa menentang Arab Saudi di Melbourne pada 24 Februari dan Filipina di Manila pada 29 Februari.

“Tanpa Safee skuad ini masih ada penyerang lain seperti Abdul Hadi (Yahaya) yang mempunyai pengalaman. Atas kertas memang Arab Saudi pasukan gergasi Asia tapi saya yakin kami mampu memberikan tentangan sengit,” katanya yang turut beraksi ketika Malaysia tewas 2-1 kepada Arab Saudi pada 2009.

Sementara itu, Rajagobal menjelaskan pihaknya masih menunggu pengesahan daripada Arab Saudi mengenai kesediaan mereka mengadakan perlawanan persahabatan.

“Setakat ini belum ada keputusan rasmi tapi kita akan tunggu hingga minggu ini. Sebelum ini Arab Saudi sudah menunjukkan tanda positif untuk mengadakan perlawanan ini,” katanya.

Perlawanan persahabatan yang diatur ini antara persiapan skuad kebangsaan bagi misi mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF pada 24 November hingga 22 Disember ini.

Ditulis oleh : Aziman Rosdi
Sumber : myMetro Online - Arena

Ghaddar Atau Antwi...???





AKSI Ghaddar (kiri) ketika menentang Kuala Lumpur saingan Liga Super di Kota Bharu, minggu lalu.


KELANTAN mungkin menggugurkan sama ada Mohammed Ghaddar dari Lubnan atau Denny Agyare Antwi dari Ghana dalam kancah Liga Super selepas mengikat bekas pertahanan kebangsaan Nigeria, Obinna Nwaneri, semalam. 

Kelantan yang dilihat serius menerajui liga musim ini, mengambil tindakan segera mendapatkan Nwaneri dan kelibat pemain itu dapat disaksikan dalam perlawanan persahabatan dengan skuad senior kebangsaan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Begitupun, siapa yang bakal digugurkan masih menjadi teka teki dan difahamkan keputusan akan dibuat selepas dua aksi persahabatan dengan skuad kebangsaan dan kelab Balistier Khalsa FC dari Singapura di Kota Bharu, Sabtu ini.

Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim berkata, selain persiapan tambahan untuk Liga Super, The Red Warriors juga mahu menguji Nwaneri yang mengumpul 33 kaps sejak 2005 dan pernah beraksi dengan Kazma Sporting di Kuwait tahun lalu. 

“Perlawanan persahabatan ini menjadi peluang terbaik bagi kami menguji Nwaneri di posisi pertahanan tengah Kelantan, selain menguji seorang lagi pemain import, Samad Okocha Awudu yang dijangka tiba Khamis ini. 

“Kami berharap dapat melakukan pemilihan dengan lebih teliti sebelum mendaftarkannya mereka dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum 13 Februari,” kata Azman yang juga pengurus pasukan. 

Mengulas mengenai kedudukan Mohammed Ghaddar dan Antwi, dia menjelaskan pihaknya belum memutuskan nasib kedua-dua pemain itu hinggalah tarikh akhir pendaftaran import 13 Februari ini manakala dua pemain import yang didaftarkan untuk Piala AFC sebelum ini, Emmanuel Ayaah Okine (Ghana) dan Zacharia Yehya Charara (Lubnan) mungkin dipinjamkan kepada Kuala Lumpur. 

Sementara itu, Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa, dalam laman sosial Facebook, mengesahkan KAFA sudah menandatangani kontrak dengan Nwaneri, semalam. 

Ditulis oleh : Mohd Nor Asri Yaakob
Sumber : Berita Harian Online - Sukan

TRW Uji Harimau Malaya.





Setiausaha Agung dan juga Pengurus pasukan Kelantan,
Tn. Haji Azman Ibrahim.


PENDAHULU Liga Super, Kelantan akan menguji kehebatan skuad senior kebangsaan dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Azman Ibrahim berkata, dalam perlawanan tersebut The Red Warriors berkesempatan menguji seorang pemain import dari Nigeria yang beraksi di posisi pertahanan.

“Ini merupakan peluang terbaik kami menguji bekas pemain pertahanan kebangsaan Nigeria, Obinna Nwaneri yang beraksi di posisi pertahanan tengah. Jika Nwaneri beraksi cemerlang, berkemungkinan dia akan mengikat kontrak bersama Kelantan,” katanya.

Pada masa sama beliau berkata, pihaknya masih mempunyai masa dua minggu sebelum tarikh tutup pendaftaran pemain import pada 13 Februari ini, bagi mengenal pasti pemain import yang sesuai untuk beraksi bersama Kelantan.

“Jadi kami berharap dapat melakukan pemilihan pemain import baru dengan lebih teliti sebelum mendaftarkannya dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak lama lagi,” katanya.

Azman yang juga pengurus pasukan berkata, selain bertemu skuad senior kebangsaan, Kelantan turut menguji kelab Balistier Khalsa FC dari Singapura dalam satu perlawanan persahabatan yang akan berlangsung di Kota Bharu, pada 4 Februari ini.

Skuad senior kebangsaan yang dibimbing Datuk K Rajagobal, kini menjalani latihan bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan bertaraf antarabangsa bertemu Arab Saudi dan Filipina tidak lama lagi.

Sementara itu, tiket perlawanan Kelantan menentang skuad senior kebangsaan berharga RM10 (terbuka) dan RM20 (grandstand) akan mula dijual jam 5 petang pada hari perlawanan.

Ditulis oleh : Mazram Idzam Ridzal Mahmud
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolesepak | Liga Malaysia

Monday, January 30, 2012

Ghaddar Hebat Tapi Tandus.





Ghaddar seorang pemain hebat tetapi masih ketandusan gol.


WALAUPUN baru mencetak dua gol, itu pun melalui sepakan penalti, tetapi ketua jurulatih Kelantan, Peter James Butler tetap menyanjung tinggi peranan dimainkan pemain import dari Lubnan, Mohammed Ghaddar dalam membantu kemenangan The Red Warriors.

Butler berkata, dia memahami kekecewaan Ghaddar yang masih gagal menambah gol, tetapi percaya hanya masa akan membuktikan kemampuan sebenar penyerang itu kerana berpendapat musim masih panjang.

“Saya tidak menafikan kehebatan Ghaddar, cuma nasib tidak menyebelahinya. Dia (Ghaddar) beraksi cemerlang dan banyak membantu mengatur gerakan kepada rakan lain seperti Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) untuk menghasilkan jaringan buat pasukan.

“Saya tahu dia (Ghaddar) hanya menjaringkan gol melalui sepakan penalti setakat ini dan itu bukan satu kegagalan. Sebaliknya, dia sudah membuktikan kemampuan dengan kemahiran tinggi dalam mengawal bola dan membantu mengatur gerakan untuk rakan menjaringkan gol buat Kelantan.

“Saya juga ingin menegaskan tidak menilai prestasi penyerang melalui jaringan, sebaliknya sesiapa yang menjaringkan gol tidak penting, tetapi yang penting pasukan menang,” katanya selepas Kelantan membenam Kuala Lumpur 3-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, malam kelmarin.

Sementara itu, jurulatih Kuala Lumpur, Razif Ismail berkata, pasukannya mengakui kehebatan pasukan Kelantan di hadapan ribuan penyokong sendiri. Saya akur keputusan malam ini (malam kelmarin) kerana kami berdepan pasukan dibarisi pemain berpengalaman. Ia belum mematahkan semangat kami bangkit semula,” katanya. 

Foto : Shazli Shamsuddin Photography
Ditulis oleh : Mohd Nor Asri Yaakob
Sumber : Berita Harian Online - Sukan

Butler Tuntut Aksi Terbaik Ghaddar.





Muhammad Ghaddar (kanan) masih gagal menambat hati jurulatih Kelantan, Peter Butler walaupun
sudah membuat lima penampilan bersama skuad The Red Warriors.


KOTA BHARU - Kegagalan penyerang import Kelantan, Mohammad Ghaddar memanfaatkan banyak peluang terhidang ketika melayan kunjungan Kuala Lumpur kelmarin mengundang keresahan ketua jurulatih The Red Warrios, Peter Butler.

Jurulatih kelahiran Halifax, England itu berkata, beliau tidak berniat menyalahkan pemain tersebut tetapi mahu anak buahnya itu terus fokus dalam perlawanan selepas ini.

Menurutnya, biarpun kecewa dengan prestasi Ghaddar, namun dia tetap optimis penggempur utama Lubnan itu mampu bangkit menjelmakan aksi terbaik, seterusnya membantu Kelantan meraih kejayaan pada musim ini.

"Saya tahu dan selalu cakap padanya orang menilai prestasi penyerang menerusi jaringan yang dihasilkan, nasib belum menyebelahi Ghaddar untuk menjaringkan gol walaupun dia memiliki banyak peluang terbaik.

"Setakat ini saya berpuas hati dengan persembahan yang dipamer Ghaddar, dia seorang pemain yang bagus dan sentiasa bekerja keras ketika latihan mahupun perlawanan tetapi dia masih perlu menjaringkan gol," katanya.

Begitupun Butler memuji gandingan Ghaddar dan Norshahrul Idlan Tahala yang bertambah baik dan mula menampakkan keserasian. Pada perlawanan tersebut, Kelantan meneruskan rentak kemenangan apabila membenam pasukan tangga tercorot, Kuala Lumpur 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.

Bagaimanapun, tuan rumah terpaksa menunggu sehingga minit ke-46 untuk memecah kebuntuan menerusi penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan. Kapten Kelantan, Mohd. Badhri Radzi dan Danny Antwi melengkapkan malam gemilang Kelantan apabila masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-72 dan 79.

Kemenangan ini memastikan Kelantan kekal meneraju Siri Super dengan mengumpul 13 mata selepas lima perlawanan, hanya satu mata meninggalkan dua pencabar rapat, Terengganu dan Perak. Mengulas kemenangan yang dilakar oleh pemainnya kelmarin, Butler memberitahu beliau gembira dengan keputusan tersebut.

Mereka mempamerkan corak perlawanan yang menarik dan beraksi dengan cemerlang sepanjang perlawanan. Tiga mata ini cukup penting buat kita untuk terus berusaha ke arah yang lebih baik. Bermain di atas padang yang cantik memberikan kelebihan buat kita untuk mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan ini," ujarnya.

Ditulis oleh : Yatimin Abdullah
Sumber : Utusan Online - Sukan

"Teamwork" Kunci Kejayaan TRW.





1st Eleven The Red Warriors.


KETUA Jurulatih Kelantan, Peter James Butler mengakui sumbangan setiap pemainnya termasuk pemain import membantu kejayaan Red Warriors membenam Kuala Lumpur 3-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, kelmarin.

Jurulatih dari England itu menegaskan, beliau tidak menilai keupayaan seseorang pemain dalam menjaringkan gol sebaliknya lebih mementingkan semangat bekerja secara berpasukan untuk meraih kemenangan bagi mengukuhkan kedudukan takhta Liga Super musim ini.

“Saya tidak nafikan penyerang dari Lubnan, Mohammad Ghaddar banyak membantu mengatur gerakan kepada rakan lain seperti Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) untuk menghasilkan jaringan buat pasukan Red Warriors.

“Saya tahu dia (Ghaddar) hanya menjaringkan gol melalui sepakan penalti tetapi penyerang dari Lubnan itu mempunyai kemahiran yang baik mengawal bola dan membantu mengatur gerakan untuk rakan menjaringkan gol buat Kelantan. Saya tidak nilai daripada jaringan yang dilakukan pemain sebaliknya kerjasama pemain dalam setiap perlawanan,” katanya.

Foto : Yusran Yusof for Kelate.Net
Ditulis oleh : Wartawan Metro
Sumber : myMetro Online - Arena

Sunday, January 29, 2012

Kelantan Terus Berkuasa.





Para pemain TRW meraikan jaringan Kapten Pasukan, Piya.


PENYANDANG juara, Kelantan meneruskan penguasaan Liga Super dan mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini selepas menewaskan Kuala Lumpur 3-0 di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi.

Bermula garang di babak pertama, deretan peluang tuan rumah bagaimanapun gagal disempurnakan barisan depan yang diterajui Norshahrul Idlan Talaha tetapi sebaik babak kedua bermula, penyerang kebangsaan itu memecah kebuntuan dengan menanduk masuk hantaran Indra Putra Mahyuddin (m-46).

Sorakan lebih 20,000 penyokong Red Warriors sekali lagi bergema pada minit ke-72 apabila kapten Mohd Badri Radzi melebarkan jaringan tuan rumah selepas memanfaatkan sepakan percuma untuk gol kedua Kelantan sebelum pemain importnya, Denny Antwi melengkapkan kemenangan pada minit ke-77.

Di Stadium Jalan Besar, Singapura, jaringan tunggal pemain import, Francis Forkey Doe pada babak kedua perlawanan sudah memadai buat Terengganu melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Lions XII.

Tuan rumah memiliki peluang untuk membuka jaringan pada minit ke-76 namun pemain gantian Agu Casmir sekadar menyepak bola melepasi palang gol ketika penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee sudah tertewas.

Sebaliknya kekalutan pada minit ke-79, Forkey Doe yang terjatuh akibat diapit dua pertahanan Lions XII pantas bangun untuk mencuri bola dan merembat leret menewaskan Izwan Mahbud untuk memastikan Terengganu pulang dengan tiga mata berharga.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, gol minit ke-78 Azidan Sarudin memastikan Selangor pulang dengan tiga mata penuh selepas menang tipis 2-1 ke atas T-Team. 

Pemain import Selangor, Ramez Jamal Dayoub membuka jaringan pada minit ke-35 selepas menyempurnakan sepakan penalti, tetapi disamakan tuan rumah juga menerusi sepakan penalti kapten, Zairo Anuar Zailani (m-49) sebelum Azidan menanduk masuk pemusnah pada minit ke-77.

Di Stadium Darulaman, tuan rumah Kedah tewas 3-1 kepada Johor FC, bermula dengan penalti Azi Shahril Azmi (m-44) untuk Johor FC mendahului 1-0 pada separuh masa pertama dan dua gol lagi menerusi Riduwan Maon (m-65) serta Kaironisam Sahabudin (m-70). Gol tunggal tuan rumah dijaringkan Khyril Muhymeen Zambri (m-81).

Di Stadium Hang Jebat, Melaka, gol sendiri Muhamad Khairan Ezuan Razali membantu Perak menewaskan FELDA United 2-1, dengan gol pertama menerusi Micheal Kubala (m-11) sebelum Farderin Kadir (m-35) menyamakan kedudukan dan Khairan tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-40.

Di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak sekali lagi kempunan mengutip mata penuh selepas seri 2-2 menentang Negeri Sembilan malam tadi. 

Dua kali ketinggalan, Sarawak bangkit menyamakan kedudukan menerusi penyerang importnya yang tampil buat kali pertama, Kalle Sone (m-50) dan Zamri Morshidi (m-83) manakala Negeri Sembilan membuka jaringan menerusi Ahmad Shakir Ali (m-45) dan Shukor Adan (81). 

Foto : Shazli Shamsuddin Photography
Ditulis oleh : Wartawan Berita Harian
Sumber : Berita Harian Online - Sukan

Saturday, January 28, 2012

Butler Enggan Cicir Mata.





Butler ingin teruskan rentak kemenangan.


KETUA jurulatih Kelantan, Peter James Butler tidak mahu keciciran mata ketika melayan pasukan Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.

Jurulatih berusia 46 tahun dari England itu tidak mahu anak buahnya mempersia-siakan kelebihan beraksi di laman sendiri bagi memburu tiga mata sekali gus mengukuhkan cengkaman takhta Liga Super.

Butler turut yakin ‘ayam tambatan’ Norshahrul Idlan Talaha atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Yo mampu meneruskan aksi cemerlang untuk meledak jaringan.

Tanpa meragui kemampuan kesebelasan utama yang bakal diturunkan malam ini, Butler optimis anak buahnya mampu mengulangi kejayaan mengalahkan Johor FC dan Kedah sebelum ini. Saya tahu Mat Yo bagus dan selalu kerja keras, malah setakat ini dia penyerang terbaik Kelantan dan saya harap dia boleh menjaringkan gol malam ini. 

Kami mempunyai rehat mencukupi, malah mempunyai kelebihan bermain di laman sendiri dan berharap pemain mempamerkan aksi terbaik mengutip tiga mata bagi mengukuhkan kedudukan selesa carta liga,” katanya.

Ketika ditanya mengenai keserasian Norshahrul bersama penyerang import, Mohammed Ghaddar, Butler mengaku kedua-dua pemain terbabit masih mempunyai masalah komunikasi kerana pemain dari Lubnan itu tidak fasih berbahasa Inggeris. 

Bagaimanapun, masalah itu bukan satu kelemahan bagi pasukannya, malah mengharapkan jentera serangan mampu menggegar gawang Kuala Lumpur.

Ditulis oleh : Mohd Nor Asri Yaacob
Sumber : myMetro Online - Arena 

KL Realistik Curi Mata.





Razip Ismail, jurulatih Kuala Lumpur.


SAYA harap pemain bangkit dan berfikiran positif. Itu reaksi pengendali Kuala Lumpur, Razip Ismail menjelang pertemuan dengan pendahulu liga, Kelantan di Kota Bharu malam ini.

Razip berkata, pemain perlu mengulangi persembahan ketika aksi menentang PKNS FC, Sabtu lalu. Pada pertemuan itu, KL berjaya mendapat mata sulung selepas bangkit mengikat skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim itu 1-1, di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Meskipun ramai yang melihat anak buah Razip bakal menghadapi ujian getir terutama tanpa kelibat awang import berbanding The Red Warriors, Razip tetap realistik dan berharap pasukannya mampu mengikat kemaraan skuad kendalian Peter James Butler itu.

Saya akui tekanan tetap dirasai memandangkan Kelantan merupakan sebuah pasukan yang hebat, lebih-lebih lagi beraksi di laman sendiri. Tapi saya mahu pemain menyekat kemaraan Kelantan dan curi satu mata,” katanya. 

Selepas empat perlawanan, skuad Warga Kota kini menghuni tangga tercorot liga dengan mengutip satu mata.

Ditulis oleh : Noorashikin Leman
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia

TRW Yakin Kekal Terajui Liga.





TRW optimis kutip 3 mata malam ini.


KETUA Jurulatih Kelantan, Peter Butler optimis The Red Warriors mampu mengekalkan kedudukan selaku peneraju liga berdasarkan prestasi semasa pasukannya yang kian memuncak ketika ini.

Bagaimanapun, menjelang pertemuan menentang Kuala Lumpur malam ini, Butler tidak mahu anak buahnya memandang rendah keupayaan skuad Warga Kota yang kini menghuni tangga tercorot liga.

Saya tahu Kuala Lumpur datang ke sini dengan misi sukar untuk mengalahkan kami. Tetapi saya sentiasa berpandangan positif, kami mampu mengatasi mereka pada perlawanan malam ini.

Apa pun, saya tidak mahu barisan pemain terlalu riak berhadapan dengan pemain muda Kuala Lumpur nanti,” katanya. Pada masa sama, Butler memaklumkan beberapa pemain yang berdepan masalah kecederaan semakin pulih.

“Tempoh rehat selama seminggu ini memberi ruang kepada beberapa pemain yang mengalami kecederaan untuk kembali pulih. Meskipun masih gagal menggunakan khidmat Azizi Matt Rose, tetapi saya gembira dengan prestasi Denny Antwi yang berjaya menjaringkan gol ketika pertemuan dengan Kedah minggu lalu,” katanya.

Foto : Shazli Shamsuddin Photography
Ditulis oleh : Mazram Idzam Ridzal Mahmud
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia

Thursday, January 26, 2012

Kelantan, Terengganu, Perak Enggan Tergelincir.





Pemain Kelantan, Mohammed Ghaddar meraikan gol jaringan beliau keatas pasukan Singapura Lion XII
dalam perlawanan Liga Super di Stadium Jalan Besar.


KUALA LUMPUR - Tiga pasukan teratas Liga Super 2012 ketika ini, Kelantan, Terengganu dan Perak tidak mahu tercicir mata dalam usaha untuk mengekalkan kedudukan mereka dipuncak liga pada perlawanan Liga Super.

Kelantan yang kini masih gah dengan rekad tanpa kalah, memiliki peluang untuk mengekalkan rekod itu pada pertemuan menentang Kuala LUmpur di Stadium Sultan Muhammad ke-IV , Kota Bharu.

Selepas menundukkan Kedah, anak buah Peter Butler tampak semakin ghairah untuk mencari kemenangan dengan jentera serangan yang diterajui penyerang sensasi negara, Norshahrul Idlan Talaha semakin berbisa dibantu pemain import dari Lubnan, Mohammed Ghaddar.

Namun, masih menjadi masalah kepada Peter James Butler untuk mencari penyelesaian kepada barisan pertahanan yang sudah melepaskan tiga gol dalam empat perlawanan Liga Super 2012.

Sementara itu, Terengganu yang dibezakan dengan satu mata dengan Kelantan kembali mendapat rentak kemenangan selepas memulakan liga dengan kekalahanan kepada Perak. Namun titik kebangkitan anak buah Mat Zan Mat Aris bermula ketika menundukkan Felda United 3-0 di Kuala Terengganu.

Skuad Peteh kini semakin lengkap dengan pertahanan yang mantap, jentera tengah yang kretif serta serangan semakin tajam. Jadi, tiada apa yang perlu dirisaukan Mat Zan pada pertemuan dengan Singapura di Jalan Besar nanti.

Perak yang baru melonjak ditangga ketiga Liga Super, pastinya tidak mahu skrip musim lalu berulang apabila persaingan terjejas dengan prestasi pemain, yang memaksa skuad itu menamatkan saingan ditangga keenam.

Berkongsi sembilan mata dengan Terengganu, jurulatihnya, Norizan Bakar miliki percaturan sendiri dalam pertemuan menentang Felda United, dengan penyerang Akmar Rizal ditagih untuk terus meledakkan gol.

Foto : Arep Kulal
Sumber : Arena.my

Saturday, January 21, 2012

Kelantan Terajui Liga Super.





Aksi Antwi selepas menjaringkan gol ketiga Kelantan semalam.


ALOR SETAR - Kelantan menerajui takhta Liga Super selepas menang selesa 3-0 ke atas Kedah pada perlawanan di Stadium Darul Aman di sini malam tadi. Kelantan berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah selepas empat perlawanan dengan mengumpul 10 mata manakala Kedah masih memburu kemenangan pertama selepas dua kali seri dan dua kalah.

Gol pembukaan Kelantan hadir menerusi sepakan penalti menerusi pemain importnya, Mohammed Mahmoud Ghaddar pada minit ke-35 setelah Norshahrul Idlan Talaha dikasari oleh pertahanan tuan rumah Mohd Fauzi Nan dalam kotak penalti.

Manakala gol kedua Kelantan hadir pada minit ke-78 yang dijaringkan Nor Shahrul yang merembat kencang ke penjuru gol Kedah, memannfaatkan hantaran oleh pemain gantian Danny Antwi. Gol ketiga Kelantan pula hadir pada minit ke-90 menerusi sepakan kencang Antwi yang menewaskan pengaja gol Mohd Helmi Eliza serta kesilapan pertahanan Kedah.

Foto : Dunia Warriors
Ditulis oleh : Wartwan Sinar Harian
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia

Thursday, January 19, 2012

Butler Resah Benteng Goyah.





NORSHAHRUL jaring gol kemenangan Kelantan bertemu Johor FC
di Stadium Sultan Mohammad ke IV, kelmarin.


KETUA jurulatih Kelantan, Peter James Butler yang berpuas hati The Red Warriors memperoleh tiga mata selepas membenam pasukan Johor FC 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam kelmarin, akur barisan pertahanan masih gementar dan memerlukan lebih banyak perlawanan untuk mengatasi masalah berkenaan.

“Saya tahu pemain sedikit gementar kerana mereka mahu menang dan masalah ini akan diatasi selepas mereka mengharungi beberapa perlawanan, malah saya yakin prestasi pasukan akan bertambah baik dalam persembahan berikutnya.

“Masalah kita adalah pertahanan menjadi gementar bila pasukan mendahului kerana mereka mempunyai tugas untuk mempertahankan kedudukan dan mengelakkan pihak lawan menyamakan kedudukan, namun selepas gol kedua dihasilkan, masalah berkenaan berjaya diatasi,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, kelmarin. 

Sementara itu, penyerang sensasi Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo menyifatkan kemenangan itu adalah hasil usaha keras rakan sepasukan yang membantunya dalam usaha mencari gol kemenangan. 

“Tahniah kepada rakan - rakan kerana bekerja keras untuk memastikan kemenangan malam ini (semalam) dan kita berjaya mengumpul tiga mata bagi memastikan Kelantan berada pada kedudukan selesa. Jaringan kedua saya malam ini (kelmarin) membuat saya lebih yakin menghadapi perlawanan seterusnya,” katanya. 

Ditulis oleh : Mohd Nor Asri Yaakob
Sumber : Berita Harian Online - Sukan

Kelantan Bakal Rombak Import.





Pemain Kelantan Daudsu Jamaludin mengasak pemain Singapura Lion XII dalam perlawanan
Liga Super di Stadium Jalan Besar Singapura. (Gambar arkib).


KUALA LUMPUR - Kelantan bakal merombak barisan pemain importnya selepas penyerang muda Danny Antwi gagal menyerlah dalam tiga perlawanan Liga Super yang lalu.

Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, (KAFA) Tan Sri Annuar Musa, dengan seorang lagi pemain import dari Nigeria, Obinna Nwaneri bakal diuji Kelantan untuk memperkuatkan barisan pertahanan.

Ia berpunca daripada kegagalan Antwi untuk menyerlah dan dengan usia Antwi masih muda iaitu 19 tahun belum untuk pemain kelahiran Ghana itu menyerap tekanan di atas padang. 

"Kelantan sebagai juara bertahan tidak boleh beraksi tidak buruk hanya kerana pemain import yang beraksi dibawah tahap sebenar."


"Saya mengakui masalah pemain import ini bukan sahaja dihadapi Kelantan sahaja, negeri lain pun sama. Ini kerana kita tidak tahu mutu yang sebenar," katanya. 

Annuar berkata, bekas pemain kebangsaan Nigeria itu akan tiba di Kota Bharu minggu depan untuk menjalani latihan serta perlawanan persahabatan.

Foto :  Arep Kulal
Sumber : Arena.my

Wednesday, January 18, 2012

Tiga Mata Berharga Buat TRW.




Kesebelasan utama pasukan Kelantan semalam.

KOTA BHARU – Jaringan penyerang terbilang, Norshahrul Idlan Talaha pada pada m-72 perlawanan memastikan The Red Warriors kembali bangkit mencatatkan kemenangan pertama mereka di hadapan penyokong sendiri dalam aksi perlawanan ketiga Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.

Dalam aksi perlawanan malam tadi, impian pasukan Johor FC untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata di Kota Bharu lebur setelah tewas 1-2 meskipun memberikan tentang sengit kepada Kelantan sepanjang 90 minit perlawanan.

Seawal m-13 perlawanan, Kelantan mempunyai peluang terbaik untuk berada di depan menerusi gerakan menarik Indra Putra Mahayuddin namun rembatannya sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Johor FC.

Selang empat minit kemudian, Indra Putra sekali lagi terlepas untuk menjelmakan gol pendahuluan bagi Kelantan apabila sepakan lambung Mohd Badhri Radzi gagal ditampan oleh beliau meskipun berjaya melepasi pertahanan pasukan lawan.

Di sebalik asakan bertali arus pasukan tuan rumah, Johor FC pula mengejutkan Kelantan apabila pemain sayapnya, Mohd Syazwan Zainon menanduk masuk hantaran lintang Ahmad Fauzi Shaari pada m-27 perlawanan.

Namun pengadil perlawanan membatalkan jaringan tersebut apabila hantaran Ahmad Fauzi terlebih dahulu keluar daripada kawasan permainan. Gandingan penyerang Norshahrul Idlan Talaha dan Mohammed Ghaddar terbukti berjaya mengkucar-kacirkan benteng pertahanan pasukan pelawat dalam perlawanan malam tadi.

Gerakan solo menarik Mohammed Ghaddar pada m-31 perlawanan berjaya memperdayakan Ketua Pasukan Johor FC, Mohamad Khairul Ismail di penjuru sebelah kanan padang namun rembatan kencangnya hanya tersasar beberapa meter di atas pintu gol pasukan pelawat.

Seminit babak kedua bermula menyaksikan Kelantan kembali bertindak agresif apabila hantaran lintang Mohamad Ab Aziz ke dalam kotak penalti ditampan kemas Norshahrul Idlan namun rembatan rendahnya sempat dihalang dua pemain pertahanan Johor FC. Pasukan pelawat yang masih mengekalkan kesebelasannya turut mempunyai peluang pada m-50 menerusi Mohd Syazwan Zainon namun rembatannya tinggi melepasi pintu gol Kelantan.

Lima minit kemudian, stadium bergema dengan sorakan hampir 17,000 penyokong setia The Red Warriors apabila Indra Putra menjaringkan gol pertama untuk Kelantan. Kesilapan penjaga gol Johor FC, Muhammad Zamir Selamat yang gagal menangkap kemas hantaran lintang Norshahrul Idlan pantas dihukum menerusi tolakan mudah Indra Putra untuk gol pertama dalam perlawanan malam tadi.

Tersentak dengan jaringan tersebut pasukan pelawat kembali melancarkan serangan dan tiga minit kemudian mereka hampir berjaya menyamakan kedudukan. Hantaran lintang Eddy Helmi Abdul Manan ke dalam kotak penalti gawang Kelantan mencetuskan situasi kelam-kabut namun Mohd Daudsu Jamaluddin pantas menguis keluar bola untuk menyelamatkan gawang gol Kelantan.

Usaha Johor FC untuk menyamakan kedudukan akhirnya berhasil pada m-63 perlawanan. Berpunca sepakan penjuru yang diambil Eddy Helmi menyaksikan Mohamad Khairul bijak melonjak tinggi untuk menanduk masuk bagi gol penyamaan pasukannya.

Malah pasukan pelawat hampir menambahkan jaringan dua minit kemudian apabila bola hantaran Mohd Haris Safwan Mohd Kamal ke dalam kotak penalti memerangkap Khairul Fahmi Che Mat di posisinya namun Mohd Shahrizal Saad pula gagal menolak masuk ke dalam gawang gol Kelantan.

Aksi agresif pasukan pelawat memburu jaringan memaksa Ketua Jurulatih Kelantan, Peter Butler mengeluarkan Mohd Norfarhan Muhammad dan digantikan dengan seorang lagi pemain import, Denny Antwi bagi menghidupkan jentera tengah pasukannya. Begitu pun Norshahrul Idlan memastikan The Red Warriors unggul mencatatkan kemenangan pertama di hadapan penyokong sendiri apabila meledakkan jaringan pada m-72 perlawanan.

Penyerang yang terkenal dengan jolokan ‘The Linesman’ itu bijak memanfaatkan tandukan pendek Indra Putra di dalam kotak penalti dengan menewaskan seorang pemain pertahanan Johor FC sebelum merembat kencang ke penjuru sebelah kiri untuk memastikan Kelantan meraih tiga mata dalam perlawanan malam tadi.

Foto : Mark Deen | Kelate.Net
Dipetik dari : Kelate.Net

Kelantan Ekori T-Team.





Aksi Norshahrul setelah menjaringkan gol kemenangan Kelantan.

Juara Liga Super 2011, Kelantan berjaya menumpaskan Johor FC 2 – 1 dalam perlawanan ketiga saingan Liga Super 2012 di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu semalam. Gol – gol Kelantan dijaringkan oleh Indraputra Mahayuddin dan penyerang sensasi Kelantan iaitu Norshahrul Idlan Talaha.

Dengan kemenangan itu, Kelantan melonjak satu anak tangga ke tangga kedua carta Liga Super 2012 mengekori rapat pasukan T-Team dengan berkongsi 7 mata hasil dari 2 menang dan 1 seri dengan kelebihan jaringan memihak kepada T-Team.

Setelah tiga perlawanan Liga Super 2012 berlalu, hanya pasukan Kelantan dan T-Team masih belum mengalami kekalahan kalah dalam saingan ini. Sementara itu, T-Team adalah merupakan pasukan tunggal yang yang memegang rekod tanpa bolos setakat tiga perlawanan.

Setakat ini, Norshahrul Idlan Talaha mendahului senarai penjaring terbanyak bagi pasukan Kelantan dengan 2 gol sementara pemain import Muhammed Ghaddar, Indraputra Mahayuddin & kapten pasukan, Muhd Badhri Radzi masing – masing dengan 1 gol. 

Bagi catatan bolos pula, penjaga gol Kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat telah mencatat bolos sebanyak 2 gol dalam dua perlawanan manakala penjaga gol muda Kelantan, Syazwan Yusoff  mencatat bolos 1 gol dalam satu perlawanan. Jaringan terkumpul pasukan Kelantan setakat ini ialah 5 gol dan bolos 3 gol.

Foto : Shazli Shamsuddin Photography
Ditulis oleh : Nick Hafiz

Tugas Getir Harimau Malaya.





Harimau Malaya.


HARIMAU Malaya bakal menerima ujian getir apabila menentang bekas juara Asia, Arab Saudi dalam siri persahabatan antarabangsa di Melbourne pada 24 Februari ini dalam usaha menilai prestasi terkini. 

Perkembangan itu disuarakan ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal yang beranggapan ia turut akan memberi peluang kepada jurulatih Olimpik negara, Ong Kim Swee yang bakal terbabit dalam pusingan kelayakan Sukan Olimpik dan bersaing di Liga Singapura, bulan depan.

Satu lagi perlawanan persahabatan adalah menentang Filipina di Manila pada 29 Februari ini. Saya yakin mereka (Arab Saudi) begitu perlukan sekurangkurangnya satu perlawanan persahabatan sebelum mereka bermain dengan Australia (29 Februari) dalam kelayakan Piala Dunia,” katanya.

Rajagobal menambah ini masa untuk dia memberi peluang kepada muka baru menyertai pasukan negara dalam dua perlawanan persahabatan ini. Kalau kita lihat, terdapat enam atau tujuh pemain yang masih lagi bermain untuk pasukan negara (Olimpik).

Kesempatan ini akan digunakan sebaik mungkin untuk melihat pemain baru yang dipilih dan kita hanya ada lebih kurang lima hari saja untuk bersiap sedia,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Logo 1 Malaysia Cardiff City (1MCC) di Bukit Kiara Equestrian, semalam. 

Ditulis oleh : Wartawan BH
Sumber : Berita Harian Online - Sukan

Tuesday, January 17, 2012

Galatasaray Minat Safee.





MASA depan Safee bersama Pelita Jaya akan diketahui selewat-lewatnya pada penghujung bulan ini.


TEKA-TEKI mengenai masa depan peledak berbisa Harimau Malaya, Mohd. Safee Sali bersama kelabnya, Pelita Jaya hanya akan diketahui selewat-lewatnya penghujung bulan ini. Pengurus peribadinya, Zakaria Ab. Rahim memberitahu, setakat ini masih belum ada kata putus mengenai lanjutan kontrak Safee bersama Pelita Jaya sebaik kontraknya tamat pada 31 Januari ini.

“Kita tunggu penghujung bulan ini. Saya akan ke sana (Indonesia) sekali lagi bagi mengadakan perbincangan lanjut bersama Pelita Jaya berhubung kontrak Safee selepas perbincangan sebelum ini masih belum menemui jalan penyelesaian,” katanya ringkas kepada Kosmo! semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan hasrat Pelita Jaya yang mahu menawarkan kontrak lanjutan selama tiga tahun bagi terus mendapatkan khidmat Safee selepas ini. Ia begitupun kurang dipersetujui kapten Pelita Jaya itu atas alasan ‘terlalu lama’ yang dikhuatiri bakal membuatkan persembahannya kekal statik tanpa sebarang peningkatan.

Selain turut diintai juara Liga Thailand 2010, Muang Thong United, Safee menerusi laporan akhbar semalam juga mengakui telah dilamar oleh tiga kelab ternama Eropah. Safee begitupun enggan mendedahkan nama ketiga- tiga kelab tersebut atas alasan ia sekadar tawaran secara lisan dan masih belum ada sebarang persembahan rasmi dibuat setakat ini.

Difahamkan, ketiga-tiga kelab yang dilaporkan berminat mendapatkan khidmat Safee ialah kelab dari Turki, Galatasaray, Panathinaikos FC (Greece) dan juga kelab Perancis, Paris Saint Germain yang baru sahaja mendapat sentuhan bekas pengendali Chelsea, Carlo Ancelotti baru-baru ini.

Zakaria begitupun enggan mengesahkan spekulasi tersebut yang ketika ini begitu rancak diperkatakan oleh peminat bola sepak tempatan di laman blog dan juga Facebook. No comment, masih terlalu awal untuk mengumumkan nama ketiga-tiga kelab tersebut. Buat masa ini, Safee masih pemain Pelita Jaya,” katanya ringkas.

Safee yang telah meledak lima gol sepanjang saingan Liga Super Indonesia (ISL) musim ini merupakan penjaring gol kedua terbanyak setakat ini, selain merupakan satu-satunya pemain dari Asia Tenggara yang berada dalam senarai 10 penjaring terbanyak ISL.

Pelita Jaya yang menduduki tangga keenam ISL dengan mengumpul 11 mata bakal berdepan cabaran pasukan di tangga kelapan, Mitra Kutai Kartanegara FC di Kalimantan hari ini.

Ketika ditanya mengenai sasaran peribadi Safee untuk mengatasi rekod tujuh gol yang diledaknya bersama Pelita Jaya musim lalu, kata Zakaria. Safee tidak meletakkan sebarang sasaran musim ini, sebaliknya berazam untuk mencetak gol setiap kali turun beraksi.”

Ditulis oleh : Nan Hidayat Nan Azmie
Sumber : Kosmo! Online - Sukan

Mat Yo Dahagakan Gol.





Mat Yo setakat ini hanya menjaringkan 1 gol sahaja.


APA yang berlegar dalam minda Norshahrul Idlan Talaha ketika ini cuma satu - mahu membocori gawang Johor FC dalam saingan Liga Super, malam ini untuk koleksi peribadi dan juga membantu cabaran Kelantan yang ‘agak bergoyah’ ketika ini. 

Penyerang sensasi Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha yang bergelar Mat Yo itu akur dia belum mencapai tahap kemampuan sebenar menggegar gawang lawan dan bertekad mahu menjaringkan gol pada setiap perlawanan selepas ini termasuk di Stadium Sultan Muhammad IV nanti.

“Saya mahu jaringkan gol untuk pasukan. Itu sasaran saya dalam setiap perlawanan bagi membolehkan Kelantan berada pada kedudukan selesa awal musim. Tapi saya juga perlu mendapat bantuan rakan sepasukan.

“Saya akan memperbaiki kelemahan diri dan berharap rakan sepasukan juga sentiasa membantu kerana kerjasama dan kesefahaman dalam padang amat penting mempamerkan rentak permainan mantap,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Bagaimanapun, penyerang berasal daripada Besut, Terengganu itu akur tekanan dirasai selepas Kelantan terikat 1-1 dengan Selangor PKNS pada 13 Januari lalu walaupun bermain di halaman sendiri. Namun ayam tambatan The Red Warriors percaya pasukannya akan bangkit dalam pertemuan menentang Johor FC, malam ini. 

“Kita harap pemain bangkit dan memberi yang terbaik ketika menentang Johor FC malah kelebihan bermain ditempat sendiri akan dimanfaatkan bagi mengembalikan kepercayaan penyokong,” katanya yang sudah menjaringkan dua gol setakat ini daripada tiga perlawanan lalu. 

Foto : Shazli Shamsuddin Photography
Ditulis oleh : Mohd Nor Asri Yaacob
Sumber : Berita Harian Online - Sukan