Wednesday, September 14, 2011

Kelantan Usah Leka.

Daudsu tidak boleh leka.

BARISAN pertahanan dan jentera serangan Kelantan memerlukan komitmen padu untuk memastikan kemenangan ketiga apabila turun menentang Felda United di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) malam ini.

Pemain pertahanan, Mohd Daudsu Jamaludin berkata, dia bersama barisan pertahanan lain akan mengukuhkan pertahanan, selain tidak mahu bentengnya dibolosi lawan seperti yang berlaku ketika menentang Johor FC Sabtu lalu.

Katanya, pemain perlu sentiasa bersedia dengan serangan Felda United selain cuba mengelakkan kesilapan mudah yang boleh memberi ruang kepada lawan untuk membuat percubaan.

“Kita sedikit leka ketika menentang Johor FC yang membuatkan lawan berjaya mendapatkan gol, namun dalam perlawanan menentang Felda United, pertahanan perlu bekerja lebih keras.

“Saingan Piala Malaysia begitu berbeza berbanding Liga Super malah semua pasukan mempunyai kelebihan masing-masing dan kita harap Kelantan lebih bersedia untuk mempertahankan kejuaraan,” katanya.

Bagi penyerang gantian, Mohd Ramzul Zahini Adenan berkata, biarpun jarang diturunkan dalam kesebelasan utama dia tetap berhasrat mempamerkan aksi menyakinkan jika diberi peluang.

Pemain dari Pasir Pekan Hilir, Tumpat itu berkata, perlawanan malam ini dijangka sengit berikutan Kelantan terpaksa bermain di gelanggang lawan malah Felda United juga pencabar kuat dalam Kumpulan C selain Sarawak dan Johor FC.


Foto : Userun Photography

4 comments: