Aksi Mohd Farisham Ismail (tengah) ketika menyekat gerakan penyerang Felda United, Farderin Kadir di Stadium MP Selayang minggu lalu yang menyaksikan The Red Warriors kalah mengejut 0 - 2. |
KOTA BHARU - Juara bertahan, Kelantan tidak mempunyai banyak pilihan selain mencatatkan kemenangan ke atas Johor FC dalam pertemuan Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium J Corp, Pasir Gudang, Sabtu ini. Tonggak pertahanan pasukan itu, Mohd. Farisham Ismail berkata, hanya kemenangan yang menjamin tempat Red Warriors dalam senarai ke suku akhir.
"Pertemuan dengan Johor FC cukup penting kerana ia akan menjadi penentu nasib Red Warriors dalam saingan kali ini.
"Jadi kami tidak boleh ambil mudah perlawanan ini walaupun pernah menewaskan mereka.
"Rekod tersebut tidak boleh dijadikan ukuran. Bermain di tempat lawan, mereka pasti akan turun habis-habisan untuk mencipta kejutan dengan menewaskan kami," katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Tambahnya, Mohd. Farisham apa yang penting rakan-rakan sepasukan perlu memberikan tumpuan sepenuhnya bagi memastikan tiga mata menjadi milik Kelantan. Dia berjanji akan mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan Sabtu ini dengan mengekang asakan daripada jentera serangan pasukan lawan yang diketuai oleh Mohd. Khairul Ismail.
Menurutnya, kejayaan membenam Sarawak 4-0 dalam perlawanan di Stadium Sultan Mohammed IV Ahad lalu melonjakkan kembali moral pasukan, selepas tumpas mengejut kepada Felda United 14 September lalu.
"Kemenangan keatas Sarawak tempoh hari memberikan semangat kepada kami untuk meraih kemenangan dalam perlawanan Sabtu ini," ujarnya.
Mengulas mengenai keputusan ketua jurulatih kebangsaan Datuk K. Rajagobal menyenaraikan namanya bagi menghadapi perlawanan persahabatan dengan Australia pada 10 Oktober nanti, Farisham berkata, dia sudah bersedia untuk menggalas tugas sekiranya diberikan kepercayaan.
"Saya akan buat yang terbaik sekiranya dipilih untuk beraksi dalam perlawanan tersebut.
"Inilah peluang terbaik saya untuk membuktikan kemampuan sebenar seterusnya memikat hati ketua jurulatih kebangsaan itu," jelasnya.
No comments:
Post a Comment