Thursday, September 15, 2011

Pengajaran Buat Pasukan Kelantan.

Felda United [2] - [0] Kelantan

Felda United 2
Farderin Kadir…min 26
D. Saavindran…min 67

Kelantan 0

Kelantan The Red Warriors yang tidak pernah tewas sejak jun lalu, akhirnya terpaksa akur apabila ditewaskan oleh “Budak Felda” pada perlawanan yang berlangsung malam tadi dengan jaringan 2 – 0 di Stadium MP Selayang. Kini Felda United mengungguli carta Kumpulan C dengan 9 mata maksimum hasil dari tiga kemenangan berturut – turut. Kelantan pula jatuh ke tangga kedua carta dengan 6 mata hasil dari dua kemenangan dan satu kekalahan.

Kekalahan Kelantan kali ini pasti menjadi mimpi ngeri buat para penyokong setia The Red Warriors apatah lagi tewas kepada pasukan yang pernah dibelasah 6 – 0 dalam perlawanan Liga Super tempohari dan disaksikan oleh hampir 10,000 penyokong setia yang memenuhi Stadium MP Selayang. Jika dilihat daripada rekod perlawanan sebelum ini, kelantan tampak gah dengan tiga kemenangan berturut – turut dan merupakan pasukan pilihan untuk mencatat kemenangan ke atas “Budak Felda”, tetapi dalam perlawanan semalam telah menentukan segala – galanya.

Kesebelasan utama Kelantan semalam.

Kelantan memulakan perlawanan dengan rentak perlahan dan berhati – hati  pada babak awal permainnan ekoran dari keadaan padang yang licin dan ditakungi air akibat hujan lebat yang turun sebelum perlawanan. Sementara Felda United pula memulakan permainan dengan aksi garang dengan membuat serangan bertubi – tubi ke arah pintu gol Kelantan sehinggalah menghasilkan gol pertama pada minit ke 26 hasil daripada rembatan padu bekas pemain Selangor, Farderin Kadir.

Tersentak dengan jaringan itu, Kelantan telah bangkit dengan aksi garang membuat serangan bertubi – tubi ke arah pintu gol Felda United tetapi berjaya dinafikan oleh penjaga gol berpengalaman Felda, Hamsani Ahmad. Deretan peluang terhidang disia – siakan oleh penyerang Kelantan termasuk kapten pasukan Kelantan, badhri Radzi yang mendapat beberapa peluang tetapi gagal menghasilan gol untuk pasukan Kelantan. Perlawanan pada separuh masa pertama berkesudahan Felda United mendahului Kelantan dengan 1 – 0.

Bermula pada separuh masa kedua, Kelantan terus membuat asakan ke arah pintu gol Felda United dengan percubaan – percubaan tepat tetapi dinafikan oleh kekentalan barisan pertahanan Felda United. Ketika Kelantan sedang rancak membuat asakan ke kubu Felda, pemain pinjaman Felda United D. Saarvindran telah menghukum kealpaan barisan pertahanan Kelantan dengan rembatan leret dari luar kawasan kotak penalti dan menewaskan Shahrizan Ismail untuk gol kedua Felda terhasil pada minit ke 67.

Aksi D. Saarvindran selepas menjaringkan gol kedua Felda.

Tertekan dengan jaringan itu, Kelantan terus mengasak kubu pasukan Felda United dengan membuat serangan bertubi – tubi untuk mencari gol pendahuluan. Kelantan mendapat kira – kira 10 percubaan tepat ke arah pintu gol Felda pada separuh masa kedua  tetapi ternyata Hamsani Ahmad begitu kebal sekali dengan beraksi cemerlang menempis segala percubaan yang dilakukan oleh pasukan Kelantan.

Kelantan mendapat peluang keemasan apabila rembatan jarak jauh dari kanan padang oleh Mohd Aziz Ismail tetapi berjaya ditepis oleh Hamsani dan terkena bucu palang seterusnya melantun keluar. Deretan peluang terhidang tetapi gagal disudahi dengan baik oleh pemain – pemain Kelantan. Ternyata tiada rezeki buat pasukan Kelantan walaupun menguasai hampir keseluruhan perlawanan semalam. Tamat perlawanan menyaksikan Kelantan tewas 0 – 2 kepada Felda United FC.

Alex dikejar oleh pemain Felda United.

Perlawanan malam tadi merupakan permainan terbaik yang ditunjukkan oleh pasukan Kelantan sejak menjuarai Liga Super 2011. Walaupun tewas, pemain Kelantan terpaksa akur bahawa pasukan “Underdog” seperti Felda United mampu mengejutkan mereka. Dengan kekalahan semalam, pemain Kelantan harus mengambil ikhtibar dari perlawanan tersebut supaya tidak memandang rendah keupayaan lawan dan sentiasa fokus dalam setiap perlawanan yang akan datang.

Kekalahan semalam juga telah membuktikan bahawa penyokong – penyokong setia Kelantan sudah boleh menerima kekalahan dan berfikir dengan rasional bahawa sesebuah pasukan itu tidak selalu memperolehi kemenangan. Walaupun semalam perlawanan terhenti seketika pada minit ke 62 perlawanan akibat dari lontaran objek ke dalam padang oleh segelintir penyokong Kelantan akibat tidak puas hati dengan beberapa  pengadil. Selepas terhenti dalam beberapa minit, perlawanan diteruskan kembali tanpa berlaku sebarang insiden.

Kumpulan C | Perlawanan 3 | Sokernet

Diharap para penyokong Kelantan dapat mengambil ikhtibar dari insiden yang berlaku dalam perlawanan semalam supaya tidak mengulangi lagi pada perlawanan – perlawanan yang akan datang kerana tindakan itu merugikan pasukan sendiri sepertimana yang terjadi pada perlawanan akhir Piala FA 2011.

Bagi perlawanan seterusnya, Kelantan akan melayan kunjungan pasukan dari bumi kenyalang iaitu Sarawak pada sabtu ini bagi perlawanan pusingan kedua saingan peringkat Kumpulan C Piala Malaysia 2011. Diharap pasukan Kelantan dapat bangkit dari kekalahan lalu dengan aksi yang lebih cemerlang untuk kembali mencabar kedudukan Felda United. Ayuh penyokong – penyokong setia The Red Warriors sama – sama kita penuhkan stadium keramat kita, Stadium Sultan Mohamed Ke – IV untuk memberi sokongan padu kepada pasukan kesayangan kita Kelantan The Red Warriors. Sokong Bia Bijok, Napok Bijok, Betindok Bijok, Main Bijok, Bijok Sokmo...Gomo Kelate Gomo...!!!

Sebahagian daripada penyokong setia TRW.


Graphic Wallpaper : abe927.com
Foto : Arepkulal, Kelate.net Photography, Dunia Sukan Online, Wawan Faiz
Ditulis oleh : Nick Hafiz

No comments:

Post a Comment