Monday, December 12, 2011

Tiada Istilah Skuad Utama.





Barisan 1st eleven menentang T-Team tempohari.


KELANTAN tidak mahu mewujudkan kesebelasan utama dalam pasukan, malah menganggap semua pemainnya layak beraksi sebagai pemain utama menghadapi saingan Liga M musim 2012.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata, sebelum menghadapi musim baru, Kelantan perlu membentuk kombinasi pemain mantap dan tidak menjejaskan kualiti persembahan biarpun terpaksa menggunakan pemain simpanan.

Katanya, tidak ada istilah kesebelasan utama kerana semua pemain adalah pemain utama malah mampu mengekalkan corak permainan seimbang meskipun terdapat pertukaran ketika perlawanan.

“Kita mahu melahirkan pemain yang mempunyai kekuatan sama pada musim depan kerana kita tidak mahu kelemahan tanpa seorang pemain menjejaskan rentak permainan.

“Jika ada pertukaran pemain ketika perlawanan, kita mahu pemain yang digantikan itu mengekalkan rentak permainan malah mampu memberikan persembahan lebih baik tanpa menjejaskan kualiti permainan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan menentang T-Team di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, kelmarin.

Pada persahabatan itu, penyerang sensasi Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha (gambar) digandingkan bersama penyerang dari Lubnan, Mohamad Ghadar untuk menguji keserasian dalam perlawanan.

Annuar berkata, kedua-dua penyerang itu masih memerlukan masa bagi mencapai keserasian namun gandingan mereka bakal memberi kejutan.

“Mereka masih mempunyai masa untuk mendapatkan keserasian sebelum liga bermula agar menjadi pasangan digeruni kelak,” katanya.

Kelantan mempamerkan bisanya apabila menundukkan T-Team 2-0 hasil jaringan Mohamad Ghadar dan Indra Putra Mahiyuddin.

Ditulis oleh : Mohd Nor Asri Yaakob
Sumber : myMetro Online - Arena Sukan

No comments:

Post a Comment