JUARA Liga Super, Kelantan bakal menutup tirai persiapan pra-musim mereka dengan bertemu Perak di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.
Pengendalinya, Peter Butler dijangka menurunkan penyerang antarabangsa Lebanon, Mohammed Ghaddar Mahmoud buat pertama kali setelah pemain tersebut melaporkan diri menyertai skuad The Red Warrior dua hari lalu.
Malah lebih menarik, Butler juga bakal menyenaraikan kembali tiga bekas pemain T-Team musim ini iaitu Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad dan Azizi Matt Rose untuk digandingkan dengan Muhd Badhri Radzi dan Mohd Shakir Shaari dalam pertembungan malam ini.
Harga tiket bagi menyaksikan perlawanan tersebut ialah RM20 (grandstand) dan RM10 (terbuka). Tiket perlawanan akan mula dijual jam 5 petang ini.
Selepas mengharungi empat perlawanan, Kelantan mengalahkan skuad kebangsaan Maldives 2-1, kelab Balistier Khalsa FC (Singapura) 3-0 dan ATM 4-2, bagaimanapun tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan dalam perlawanan persahabatan kelmarin.
Ditulis oleh : Mazram Idzam Ridzal Mahmud
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia
g0m0 klate g0m0
ReplyDelete