Thursday, December 1, 2011

Apex Harus Jaga Nama Baik.




Khairul Fahmi Che Mat aka Apex.

“BELIAU perlu menjaga nama baiknya sesuai selaku ikon bola sepak negara." Demikian nasihat Kerajaan Negeri Kelantan kepada penjaga gol utama kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat disebalik pelbagai isu peribadi yang melanda pemain itu ketika ini.

Khairul Fahmi, 22, atau lebih dikenali dengan panggilan Apex dilanda dengan pelbagai kontroversi sejak kebelakangan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, sebagai pemain bola sepak yang kini menjadi perhatian masyarakat, Apex perlu mengekalkan disiplin terbaiknya bukan sahaja di padang tetapi juga di luar padang.

“Sebelum ini pun tok guru (Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) selalu sebut kita kena jaga sahsiah dan akhlak. Kita bersimpati dengan masalah peribadi yang melanda Apex ketika ini dan berharap dia tabah menghadapinya.

“Mungkin sebelum ini kita terlepas (membuat teguran) dan saya berharap pihak media juga tampil membantu menyampaikan teguran dan nasihat kepada dia. Dia bukan sahaja aset kepada Kelantan tetapi juga untuk negara.

“Harapan kita semoga beliau bukan sahaja dapat menjaga imejnya sendiri tetapi keluarga dan negeri. Kita harap dapat beri sokongan kepadanya untuk membantu mengekalkan ciri-ciri sahsiah yang baik,” katanya.

Sementara itu, Abdul Fattah turut menjelaskan, rumah dijanjikan Kerajaan Negeri kepada Apex di atas kejayaan beliau membantu skuad negara menjulang Piala AFF Suzuki buat pertama kali penghujung tahun lalu juga sudah siap sepenuhnya dan akan diserahkan pada bila-bila masa.

“Rumah itu sudah siap dibina seratus peratus malah bersedia diduduki sepenuhnya. Cuma kita sedang mencari tarikh yang sesuai untuk mengadakan majlis penyerahan kunci rumah tersebut kepadanya.” katanya.

Meskipun terpalit dengan pelbagai kontroversi sejak kebelakangan ini, namun kredibiliti Apex selaku penjaga gawang nombor satu negara tidak terjejas sebaliknya tetap utuh termasuk membantu skuad bola sepak kebangsaan mempertahankan emas pada Sukan Sea Indonesia 2011 baru-baru ini.

Ditulis oleh : Mazram Idzam Ridzal Mahmud
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Liga Malaysia

No comments:

Post a Comment