Tahap pencahayaan & papan markah elektronik SSMIV tidak menepati piawaian AFC. |
PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) menaruh harapan tinggi agar perlawanan pada Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dapat dilangsungkan di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu pada Mac tahun depan.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, meskipun peluang untuk beraksi di tempat sendiri agak tipis berikutan beberapa kemudahan di stadium yang telah berusia 44 tahun itu gagal memenuhi syarat AFC bagi melangsungkan kejohanan berkenaan, namun beliau masih menaruh harapan impian tersebut tercapai.
"Seboleh-bolehnya saya mahu Kejohanan AFC berlangsung di Kota Bharu. Tetapi persoalannya bolehkah kita bermain di sini memandangkan kita masih tidak dapat memenuhi pelbagai syarat yang diletakkan oleh pihak AFC.
"Saya dimaklumkan oleh Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim, banyak soalan yang perlu kita isi pada borang AFC, namun sukar untuk kita jawab. Misalnya bolehkah tahap pencahayaan stadium kita mencapai 1,200 lux sedangkan ketika ini hanya sekitar 800 lux sahaja.
"Begitu juga dengan scoreboard (papan markah elektronik) yang sampai sekarang tidak dibuat sejak setahun lalu.
"Memang kita dukacita, bukannya isu besar pun soal scoreboard tetapi sampai sekarang gagal dipasang. Saya akan minta Setiausaha Agung kemukakan rayuan kepada pihak AFC," katanya.
Dalam majlis undian Kejohanan AFC yang berlangsung di ibu negara tiga hari lalu, Kelantan selaku juara Liga Super musim ini diundi dalam Kumpulan H bersama dengan tiga lagi pasukan iaitu Navibank Saigon (Vietnam), Arema Malang FC (Indonesia) serta Ayeyawady United FC dari Myanmar.
Menjawab maklum balas pihak kerajaan negeri mengenai perkara tersebut, Annuar enggan mengulas lanjut, sebaliknya meminta pihak media menanyakan sendiri perkara tersebut kepada pihak berkenaan.
"Saya tidak mahu komen lebih lanjut. Yang saya tahu kita kena ada stadium kerana orang Kelantan hendak tengok bola. Kalau tidak ada pilihan, mungkin kita terpaksa cari stadium lain seperti Stadium Nasional di Bukit Jalil atau Stadium Shah Alam," jelasnya.
Sementara itu mengulas mengenai kontroversi yang melanda penjaga gol No. 1 negara, Khairul Fahmi Che Mat, Annuar menganggap itu sebahagian daripada proses biasa yang terpaksa dilalui oleh seseorang yang mula mendapat populariti ketika ini.
"Saya fikir itu merupakan satu proses yang biasa, apatah lagi dengan kewujudan pelbagai ruang alam maya seperti Facebook dan Twitter ini. Beliau perlu bijak menangani sendiri setiap isu yang melandanya.
"Dia ada keluarga, ada majikan, ada negeri. Yang pasti dia perlu jaga nama baik ketiga-tiga itu. Saya memang bercadang untuk berjumpa dengan beliau sekeluarga selepas ini," ujarnya.
Ditulis oleh : Khairi Mohamad
Sumber : Kosmo! Online - Sukan
No comments:
Post a Comment