Saturday, December 3, 2011

Buruan Ke London Belum Tamat.






Skuad Olimpik kecewa setelah tewas 2-3 kepada Bahrain.

LALUAN SKUAD Harimau Muda ke temasya Olimpik London 2012 tampak sukar apabila kalah dalam tiga perlawanan berturut-turut pada sesi kelayakan peringkat Kumpulan C lalu. Bagaimanapun, harapan hanya akan kembali menyinar sekiranya mereka berjaya memenangi baki tiga perlawanan yang bermula Februari depan.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, baki tiga perlawanan perlu ditawan anak didik Ong Kim Swee bagi menebus kembali kekalahan sebelum ini.

“Saya yakin mereka mampu mencipta kemenangan setelah mendapat rehat dan latihan yang cukup. Impian kita ke London masih belum berakhir kerana saya percaya mereka akan lakukan yang terbaik dalam siri tiga perlawanan tahun depan,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas mengenai dakwaan habuan RM30,000 kepada pemain sempena kemenangan Sukan Sea 2011 menyebabkan kekalahan negara, Hamidin menegaskan ia dakwaan tidak berasas bagi menjejaskan reputasi bola sepak negara.

“Habuan yang diberikan adalah setimpal dengan apa yang mereka lakukan untuk negara. Kekalahan kepada Bahrain terjadi kerana kita terlalu leka untuk mencatat kemenangan sedangkan perlawanan masih belum tamat.

“Malah, mereka juga masih letih setelah melalui jadual perlawanan yang padat. Saya percaya pasukan akan lebih kuat dan mampu menang baki perlawanan selepas ini,” katanya.

Skuad Olimpik yang diketuai Khairul Fahmi Che Mat tiada pilihan lain andai mahu mara ke London tahun depan dengan merebut slot play off dan pemain Kim Swee perlu menang kesemua pertemuan berdepan Jepun, Syria dan Bahrain serta mengharapkan pasukan tangga kedua kumpulan, Syria tewas kesemua baki perlawanan.

Kali terakhir pasukan negara layak ke Sukan Olimpik ialah pada 1980 di Moscow, tetapi kerajaan Malaysia memboikot temasya itu kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.

Ditulis oleh : Intan Athirah Rebuwang
Sumber : Sinar Harian Online - Arena Bolasepak | Harimau Malaya

No comments:

Post a Comment