Ghaddar meraikan kejayaan Indra menjaringkan gol. |
KOTA BHARU – Dua gol masing-masing menerusi jaringan penyerang kebangsaan Lebanon, Mohammed Ghaddar Mahmoud dan Indra Putra Mahayuddin dalam babak berbeza menceritakan skrip yang terhasil oleh Kelantan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan nyata satu amaran besar kepada pasukan lain.
Natijahnya pasukan semifinalis Piala Malaysia musim ini, T-Team nyata bukan tandingan sebenar setelah tewas mudah 0-2 kepada Kelantan dalam aksi perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam semalam.
Meskipun berstatus perlawanan persahabatan biasa, stadium keramat berusia 44 tahun itu tetap penuh apabila hampir 20,000 penyokong setia The Red Warriors membanjirinya untuk melihat kelibat empat pemain import yang diturunkan buat pertama kali dalam perlawanan tersebut.
Seawal minit ketiga, pasukan Kelantan memulakan ancaman merbahaya menerusi hantaran lintang Mohamad Ab Aziz Ismail namun tandukan Mohammed Ghaddar pula tersasar tinggi di atas pintu gol pasukan T-Team.
Pada m-14 perlawanan, Mohammed Ghaddar menanduk masuk hantaran lintang Mohd Shakir Shaari namun pengadil perlawanan tidak mengesahkan jaringan tersebut setelah beliau dikesan berada dalam kedudukan ofsaid terlebih dahulu.
Selang seminit kemudian, Mohammed Ghaddar terlepas peluang sekali lagi untuk menjaringkan gol apabila ‘free header’nya berpunca hantaran cantik Norshahrul Idlan Talaha hanya menerjah jaring sisi sebelah kiri pintu gol pasukan T-Team.
Begitu pun, pasukan T-Team kembali menggandakan asakan dan hampir memperoleh gol pada m-21 perlawanan. Penyerang importnya, Zacharia Simukonda bijak mencetuskan situasi kelam-kabut didepan pintu gol Kelantan apabila membawa masuk bola ke dalam kotak penalti namun lorongannya kepada Zairo Annuar Zailani gagal menghasilkan gol apabila diselamatkan penjaga gol, Mohd Syazwan Yusoff yang beraksi cemerlang dalam perlawanan malam semalam.
Namun seminit kemudian, pintu gol pasukan T-Team bolos buat kali pertama. Mohamed Ghaddar memadamkan tiga kesilapan awalnya apabila merembat kencang untuk gol pertama Kelantan setelah menerima umpanan jauh daripada pemain sayap, Indra Putra.
Derita pasukan T-Team hampir berpanjangan tiga minit kemudian apabila bekas pemain mereka musim ini, Mohd Norfarhan Muhammad melakukan sepakan separa libas namun sedikit melewati pintu gol mereka.
Malah seminit kemudian, Norshahrul Idlan turut terlepas peluang meletakkan Kelantan lebih selesa didepan apabila rembatannya terkena tiang gol sebelah kanan meskipun pintu gol sudah ternganga angkara kesilapan penjaga gol T-Team, Mohd Iqbal Mohd Suhaimi yang gagal mengeluarkan bola dengan kemas di depan pintu golnya.
Asakan menggila yang terbukti menghiburkan penyokong setia Kelantan kembali berterusan. Kali ini giliran Indra Putra pula menguji apabila berjaya melakukan sepakan ‘first timer’ berpunca sepakan sudut Norfarhan Mohamad tetapi palang gol pula menjadi penghalang.
Meskipun tertekan dengan penguasaan pasukan Kelantan, namun pasukan T-Team turut mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan pada m-37 perlawanan namun tampanan Zacharia diselamatkan Mohd Syazwan di gawang gol Kelantan.
Empat minit bersambung babak kedua, Kelantan terus mengukuhkan kedudukan 2-0 menerusi jaringan Indra Putra. Hantaran pendek Norshahrul Idlan disempurnakan oleh Indra yang bijak menggelecek pemain pertahanan pasukan pelawat sebelum melepaskan rembatan leret menerjah ke penjuru sebelah kanan menewaskan Mohd Iqbal.
Tiga minit kemudian, giliran pemain gantian Mohd Badhri pula mencemaskan pintu gol pasukan pelawat namun rembatan separa libasnya hanya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol.
Pasukan T-Team sekali lagi terlepas peluang untuk merapatkan kedudukan pada m-55 apabila tandukan Zacharia sedikit tersasar meskipun penjaga gol Kelantan sudah tertewas di gawangnya.
Keghairahan pemain Kelantan terus membara apabila Mohd Norfarhan sempat merembat kencang pada m-66 perlawanan tetapi Mohd Iqbal pantas menampan keluar percubaan tersebut.
Pada m-81 perlawanan, gerakan menarik di antara Mohd Badhri dengan pemain import terbaru Kelantan, Zacharia Charara juga gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan apabila diselamatkan Mohd Iqbal sementara percubaan Emmanuel Ayaah Okine pada minit akhir perlawanan tinggi melewati pintu gol pasukan pelawat.
Dipetik dari : Kelate.Net
Foto : Dunia Warriors
No comments:
Post a Comment