Saturday, October 8, 2011

Harimau Malaya Hilang Taring.




Pemain Australia, Luke Wilkshire (kiri) mengasak penjaga gol Malaysia,
Khairul Fahmi Che Mat aka Apex pada aksi persahabatan di Canberra, semalam.
Australia menang 5-0. - AFP


KUALA LUMPUR - Pahit untuk ditelan tetapi akui sahajalah hakikat bahawa mutu bola sepak kita meskipun bergelar juara Asia Tenggara, sebenarnya masih jauh ketinggalan.

Kekalahan besar skuad kendalian Datuk K. Rajagobal 0-5 kepada Australia di Stadium Canberra, semalam, merupakan realiti yang mengejutkan kita daripada lamunan mimpi menyangka bola sepak Malaysia sudah kembali ke landasan sebenar.

Tidak sejak kita disingkirkan negara jiran, Singapura, daripada kelayakan Piala Dunia, tidak juga sewaktu kita berhempas pulas melakar keputusan seri 4-4 dengan Taiwan.

Maka terbukti benar jugalah kenapa ada pihak di Australia cuba mempersoalkan niat Socceroos mengatur pertemuan persahabatan dengan Malaysia yang dilabel sebagai pasukan kerdil dan apakah faedah kepada gergasi Asia yang menghuni ranking ke-19 dunia itu.

Tanpa nama-nama terkemuka seperti Tim Cahill, Brett Emerton, Mark Schwarzer dan Harry Kewell, Australia tetap berada di kelas berbeza dan terlalu gah untuk dicabar kesebelasan pemain Malaysia.

Tuan rumah tidak menunggu lama untuk memulakan pesta gol apabila membuka jaringan pada minit ketiga menerusi Luke Wilshere selepas mudah menolak masuk hantaran bek kanan Middlesbrough, Rhys Williams dari jarak dekat.

Gol pembukaan itu mula menyerlahkan betapa rapuhnya pertahanan Harimau Malaya menyaksikan lawan dengan mudahnya bertukaran hantaran sebanyak enam kali yang dimulakan dari luar kotak, tanpa ditekan pemain kita sehinggalah gol disumbat Wilshere.

Selang empat minit kemudian, Malaysia berpeluang menyamakan kedudukan apabila Safee Sali berjaya melepasi kawalan dua pemain pertahanan lawan dari sebelah kiri padang dan melorongkan bola cantik ke tengah, namun tiada sesiapa yang berada di kotak untuk menyudahkanya.

Bermula saat itu, Australia mula menguasai bola secara menyeluruh dan melancarkan asakan demi asakan ke gawang Malaysia, sebahagian besarnya dari kedua-dua belah sayap, sementara pemain kita pula hanya mampu tercegat dan melihat.

Andai mendapat bola di kaki mereka pun, rata-rata mereka tidak tahu kepada siapakah mahu dihantar dan kelambatan bertindak menyebabkan ia mudah dirampas atau hantaran singgah ke pemain lawan.

Ketangkasan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat acap lagi menjadi penyelamat kepada kealpaan benteng pertahanan yang dibarisi Mahali Jasuli, Norhafiz Zamani Misbah, Muslim Ahmad dan Asraruddin Putra Omar, yang jika tidak, Malaysia berkemungkinan tewas dengan jumlah jaringan lebih besar.

Memasuki minit ke-30, Australia yang melancarkan serangan bertali arus sudah pun memperoleh 10 cubaan tepat ke gawang dan kebuntuan memburu jaringan kedua akhirnya dipecahkan oleh penyerang tinggi lampai, Joshua Kennedy, angkara kesilapan Amar Rohidan yang hilang bola di suku ketiga padang.

Penyerang Shimizu S-Pulse di Liga Jepun, Alex Brosque meledak jaringan ketiga sebelum Kennedy yang juga beraksi di Liga-J untuk Nagoya Grampus, melebarkan kedudukan 4-0 sebelum berakhirnya babak pertama.

Persembahan hambar pertahanan diparahkan lagi kegagalan jentera tengah berfungsi. S. Kunalan dan Baddrol Bakhtiar gagal mengancam dari bahagian sayap sementara Joseph Kalang Tie yang diberi kepercayaan Rajagobal mengisi kekosongan besar Safiq Rahim sebagai playmaker, tidak efektif.

Gandingan dua penyerang utama Harimau Malaya, Safee dan Nor Shahrul Idlan Talaha pastinya serba tidak menjadi ekoran kegagalan bahagian tengah.

Gol terakhir Australia yang melengkapkan keputusan 5-0, merumuskan kenapa Harimau Malaya begitu mudah diratah.



Sumber : Utusan Online - Sukan

No comments:

Post a Comment