Wednesday, October 5, 2011

Songkhla FC uji Kelantan.




Songkhla FC.
KOTA BHARU - Juara bertahan, Kelantan meneruskan persiapan rapi bagi menghadapi Terengganu dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia dengan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Songkhla FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Jumaat ini. 

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Rosmadi Ismail berkata, perlawanan persahabatan tersebut merupakan sebahagian daripada persiapan dilakukan pasukan Kelantan bagi menghadapi Terengganu di tempat lawan pada 10 Oktober ini. 

“Dalam perlawanan persahabatan ini juga, kita turut menguji tiga pemain import iaitu Josip Bonasin (Croatia), Emmanuel Okine dan Denny Antwi kedua-duanya dari Ghana sama ada layak untuk menyertai pasukan Kelantan pada musim depan,” katanya semalam. 

“Namun fokus kita tetap tertumpu ke arah prestasi pasukan kerana kita berhadapan tugas penting dalam mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu. Saya melihat perlawanan ini cukup penting bagi Kelantan sebagai suntikan moral sebelum kita menghadapi Terengganu nanti,” katanya. 

Menurut Rosmadi, walau Kelantan pernah menewaskan kelab Songkhla FC 1-0 dalam perlawanan persahabatan penghujung Ramadan lalu, keputusan itu tidak diambil kira memandangkan perlawanan terpaksa dihentikan gara-gara lampu limpah padam di Stadium Tinsulanon. 

Perlawanan di Stadium Tinsulanon, Songkhla.

Kelab Songkhla FC beraksi dalam Liga Divisyen Satu di Thailand musim ini dibimbing oleh bekas pemain kebangsaan, Worrawoot T Srimaka yang juga merupakan bekas pemain import yang pernah beraksi dengan Kelantan pada 2005. 

Kehebatan Worrawoot, 39, tidak dapat dinafikan oleh setiap peminat bola sepak tempatan kerana beliau disifatkan antara pemain import terbaik yang dimiliki oleh Kelantan. 

Bersara daripada mewakili negaranya pada tahun 2002, Worrawoot mempunyai kepakaran di dalam melakukan sepakan percuma dan ini menjadi senjata utama bagi Kelantan ketika itu memperoleh jaringan menerusi situasi bola mati itu. 

Untuk perlawanan persahabatan ini, Songkhla FC dijangka menampilkan tujuh pemain import mereka. Mereka ialah Santos Chayenne (Brazil), Maeda Ryohei (Jepun), Kwawdo Boabah (Ghana), Sani Saidu ( Nigeria) selain tiga pemain dari Korea Selatan iaitu Kim Seung-Myung, Chang Seung-Weon dan Lee Hwa Seob. 

Malah, pemain tengah mereka, Santos Chayenne disifatkan cukup berbahaya kerana muncul sebagai penjaring gol terbanyak bagi pasukannya dengan 13 sol sepanjang musim ini.


Foto : Wawan Faiz for Inside Warriors
Sumber : Songkhla FC uji Kelantan  | Sinar Harian Edisi Kelantan - Sukan

No comments:

Post a Comment